Monday, May 23, 2011

Tips Atasi Rasa Marah

Bismillahirrahmanirrahim..

Abu Darda’ berkata: Aku bertanya kepada Rasulullah SAW: Ya Rasulullah, berikan aku suatu petunjuk berupa amalan yang dapat memasukkan diriku ke dalam syurga!

Baginda SAW lalu bersabda: Janganlah engkau marah!

Ja’far bin Muhammad pula pernah berkata: Marah itu adalah kunci semua keburukan. Namun apabila seseorang itu kehilangan kekuatan amarah dan lenyap harga diri secara total atau sama sekali tidak pernah marah untuk membela kebenaran, maka golongan ini dianggap tidak mempunyai akal yang sihat.

Sebagaimana yang diungkapkan oleh Imam Syafie: “Barangsiapa yang tidak marah terhadap sesuatu perkara yang benar (dibenarkan oleh Islam) maka samalah dia seperti seekor keldai”.

Marah yang tercela dapat dilihat tandanya pada diri seseorang seperti wajah dan matanya yang merah, tangan dan badannya yang menggeletar menahan kemarahan, dahi yang berkerut dan sebagainya. Kesimpulannya, andaikata orang yang sedang marah melihat dirinya sendiri pasti akan malu kerana hodohnya rupa orang yang sedang marah.

Seorang yang pemarah akan melahirkan ciri-ciri seperti menggunakan lisannya mengungkap perkataan yang kotor, suka memaki atau mengungkapkan apa sahaja perkataan yang tidak dilafazkan oleh orang yang sihat akalnya.Malah apabila kemarahan memuncak boleh mengakibatkan pergaduhan atau yang lebih buruk melakukan pembunuhan.

Banyak faktor yang menyebabkan kemarahan antaranya ialah sifat ujub, terlalu suka bercanda, berdebat, khianat, cemburu atau bercita-cita tinggi memelihara harta, kekuasaan dan kedudukan.Sikap-sikap tersebut harus dihadapi dengan sikap yang menjadi lawannya. Kemudian diiringi pula dengan usaha melenyapkan unsur-unsur marah seterusnya memutuskan sebab-sebab yang menimbulkan kemarahan.


Bila amarah melanda melanda berusahalah mengatasinya dan cubalah dengan cara berikut:

Pertama : Renungilah ayat al-Quran dan Hadis tentang keutamaan menahan marah, memberi maaf, berlapang dada, dan keutamaan bersabar. Imam Bukhari meriwayatkan dari hadis Ibnu Abbas ra., salah seorang datang meminta izin untuk berjumpa dengan Umar al-Khattab ra dan Umar mengizinkannya. Orang itu berkata, “Ya Ibnul Khattab, demi Allah, anda hanya memberi sedikit kepada kami, anda tidak menghukum di antara kami secara adil...”

Kata-kata itu menimbulkan kemarahan Umar dan hampir-hampir sahaja beliau memukul orang itu. Tiba-tiba, al-Hurr bin Qais berkata, “Wahai Amirul Mukminin, sesungguhnya Allah SWT berfirman kepada Nabi-Nya, “Jadilah kamu pemaaf dan suruhlah orang mengerjakan makruf serta berpalinglah dari orang yang bodoh” (Al-Araf:199).

Setelah dibacakan ayat tersebut, serta merta hilanglah kemarahan Umar lalu beliau berkata: “Lepaskanlah orang itu”.

Khalifah Umar bin Abdul Aziz juga pernah memerintahkan pegawainya agar memukul orang yang melakukan kesalahan namun apabila beliau teringat ayat di atas segera khalifah Umar bin Abdul Aziz membaca firman Allah yang bermaksud: “Orang-orang yang diampuni Allah dan masuk syurga di antaranya ialah orang-orang yang dapat menahan marahnya”. (Ali Imran: 134)

Rasulullah Saw bersabda, “Barangsiapa yang dapat menahan marah sedangkan ia mampu meredakannya, kelak dia akan dipanggil Allah di hadapan seluruh makhluk hingga dipersilakan untuk memilih mana-mana bidadari yang ia inginkan”. (HR Ar Tirmidzi, Abu Daud, Ibnu Majah dan Ahmad)

Kedua: Takutlah akan seksa Allah. Cubalah meredakan kemarahan dengan berkata, “Allah SWT sangat besar kekuasaan-Nya atas diriku. Lebih besar daripada kekuasaan aku kepada orang yang membuatku marah. Jika aku melepaskan kemarahanku kepdanya, aku tidak akan aman daripada kemurkaan Allah pada hari kiamat. Padahal masa masa itu aku amat memerlukan keampunan-Nya”.

Ketiga: Menakut-nakutkan dirinya sendiri akibat permusuhan dan dendam. Sesungguhnya setiap manusia tidak akan terlepas daripada musibah atau bencana. Takutlah dengan musibah dunia apabila tidak takut dengan musibah akhirat. Hal ini dapat menghapuskan penguasaan syahwat yang menguasai marah.

Keempat: Bayangkanlah betapa hodohnya wajah dan bentuk seseorang apabila marah. Bayangkanlah juga bagaimana buruknya diri apabila berubah seperti binatang buas yang marah kerana kelaparan. Sikap ini jauh dari perilaku dan akhlak para Anbiya. Tanyalah pada diri sendiri adakah anda suka menyerupai binatang buas yang tidak berakhlak atau menghiasi diri dengan peribadi mulia?

Kelima: Renung dan fikirkan juga sikap balas dendam yang menimbulkan kemarahan. Adakah kita telah menimbangkan seadil-adilnya sebelum melepaskan kemarahan. Jangan biarkan kata-kata syaitan membisikkan ke dalam jiwa, “Orang ini telah menghinamu, mempermain-mainkan dan merendahkan darjatmu”. Sehingga jiwa manusia menjadi merasa kecil dan terhina di hadapan manusia. Ketika itu hendaklah seseorang berkata kepada jiwanya, “Engkau merasa rendah diri lantaran sikap orang itu sekarang, tetapi tidakkah engkau merasa rendah diri tentang penghinaan pada hari kiamat. Engkau amat berwaspada dengan perasaan hina di hadapan manusia tetapi tidak waspada dengan kehinaan di hadapan Allah, malaikat dan para nabi. Ingatlah bahawa bagaimanapun keadaan marahmu, pastilah Allah akan marah padamu”.


Di atas adalah sebahagian daripada panduan mengatasi marah yang berkaitan dengan hati. Bagi perkara yang berkaitan dengan amal perbuatan pula adalah seperti sebaik-baiknya orang itu diam apabila marah. Sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Apabila kamu marah, maka berdiamlah (jangan bergerak dan jangan bercakap)”. Seterusnya mohonlah perlindungan kepada Allah.

Begitu juga apabila marah melanda, segelah mengubah posisi kedudukan. Jika sedang berdiri, duduklah, dan bila sedang duduk, berbaringlah. Kita juga diperintahkan mengambil wudhuk ketika sedang marah. Hikmah berwudhuk ketika marah telah dinyatakan di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Wa’il, “Kami sedang bersama Urwah bin Muhammad. Tiba-tiba seseorang berkata padanya yang menyebabkan ia hampir pitam. Namun, dia berdiri lalu mengambil wudhuk. Setelah datang lagi beliau berkata, “Ayah saya berkata, dari datukku, ‘Atiyyah, dia berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya marah itu adalah daripada syaitan, yang diciptakan daripada api. Dan apabila salah seorang kamu marah maka berwudhuklah”. (HR Abu Daud, Ahmad dan al-Bhaghawi)

Duduk dan berbaringlah ketika marah pula merupakan sikap yang mengingatkan seseorang dengan tanah, asal dirinya. Dia akan merasa kehinaan hingga muncul sifat tawadhuk kerana sesungguhnya marah itu berasal daripada sombong. Diriwayatkan oleh Abu Sa’id dari Rasulullah SAW, “Barangsiapa yang mendapat sedikit kemarahan, maka hendaklah dia meletakkan pipinya ke tanah”. (HR Tirmidzi, Ahmad, dan al-Baghawi)

Ini adalah sebahagian cara menghindari sikap marah dalam diri. Yakinlah pada pujian Allah terhadap orang-orang yang bersabar dan menahan marah. 

“Orang-orang yang bertaqwa dan mendapatkan syurga di antaranya ialah orang-orang yang dapat menahan amarahnya”. (Ali Imran:134)

Wassalam.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...