Friday, December 26, 2014

2014 Yang Bakal Ditinggalkan

Bismillahirrahmanirrahim..
Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh..

Sama ada sedar atau tidak, kita sudah semakin hampir ke penghujung 2014. Hanya tinggal beberapa hari saja lagi untuk kita melangkah ke tahun baru 2015.

Dan.. sama ada kita sedar atau tidak, betapa banyak ujian yang ALLAH kirimkan buat kita dan buat Malaysia pada tahun ini. Isu pesawat hilang dan terhempas, serta bencana alam seperti kemarau dan baru-baru ini banjir besar, adalah antara perkara yang berlaku pada tahun 2014 di negara kita. Puting beliung juga sudah mula 'singgah' di bumi Malaysia pada tahun ini. Tidak perlu saya huraikan satu persatu kerana pasti semua sudah tahu. Saya sekadar ingin bertanya.. Sedarkah kita?

Apapun, usah sesekali melatah atau mengeluh bila ditimpakan ujian. Bukankah ujian itu tarbiyyah daripada ALLAH sebagai tanda kasih dan sayangNya kepada kita. ALLAH itu Maha Pengasih dan Maha Mengetahui apa yang terbaik buat hambaNya. Ambillah hikmah daripada setiap kejadian yang berlaku.


Bila diberikan ujian, di sinilah kita mengenal siapa diri kita yang sebenar. Orang yang kuat imannya, yang memahami siapa dirinya yang sebenar, walau seberat mana ujian yang datang, dia tetap akan tenang. Hatta maut sekalipun, dia terus akan tenang. Ini kerana dalam dirinya telah terbangun jiwa yang hebat. Rasa cinta yang begitu hebat untuk bertemu ALLAH. Segala ujian yang kita terima adalah sebuah persiapan untuk menguatkan jiwa kita menuju kepada cinta ALLAH. Indah bukan?

2014.. mungkin jadi tahun yang agak banyak mencoret kisah duka dalam hidup kita. Namun, jangan sedih.. itu bukan alasan untuk tidak meneruskan hidup seperti biasa. Dan dalam hidup yang biasa itu, jadikan iman kita 'luar biasa'. Jadikan ujian yang dilalui sebagai satu asbab untuk kita menjadi lebih tabah dan dekat di sisi ALLAH. Mungkin di sebalik apa yang berlaku, ada 'teguran' daripada ALLAH untuk kita. Mungkin ALLAH rindu dengan rintihan kita kepadaNya, maka diturunkan ujian agar kita selalu berdoa dan bermunajat memohon pertolonganNya, agar kita tidak terus jauh dariNya..

Tidak ALLAH jadikan sesuatu itu sia-sia. Bak kata Pencetus Ummah Johani, "Di sebalik sesuatu, ada sesuatu. Redha.. sangka baik." Ya.. Tentu ada hikmah di sebaliknya. Janji ALLAH itu pasti.

2015.. akan muncul jua. Jadikan 2015 sebagai permulaan untuk hidup yang lebih indah sebagai hamba ALLAH. Tinggalkan segala kemungkaran dan maksiat. Perbanyakkan amalan kebaikan. Teruskan mujahadah melawan nafsu. Teruskan usaha untuk mendekatkan diri kepada ALLAH yang Maha Satu. Moga di situ akan terbit rasa betapa indahnya hidup sebagai seorang hamba. InshaALLAH.


Sekian. Sekadar coretan hamba ALLAH yang hina di penghujung tahun 2014.

Wallahu a'lam.
Wassalam.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...