Saturday, December 10, 2011

Doa dalam Penantian..


Bismillahirrahmanirrahim..

Ya Rabb..
Jauhkan lelah ini dari hatiku,
Isi kembali dengan hanya kesabaran kerana keyakinanku akan janjiMu..

Andai ini cinta..
Inginku benamkan dalam hati,
Ku ingin mencintainya dalam diam,
Tanpa perlu ku umbarkan rasaku,
Sebelum Kau ikatkan hatiku dan hatinya dalam kesucian cintaMu..

Ya Rabb..
Tak ku pinta dia untuk sempurna,
Tapi jadikan kami sempurna untuk saling mengisi kekurangan kami,
Tak ku pinta dia datang dengan kemegahan atas apa yang diraihnya,
Tapi datangkan ia dengan ketulusan cinta hanya keranaMu,
Agar ku dapatkan kebaikan dunia, agama, dan akhiratku..

Amin, Ya Rabbal 'Alamin...

Wednesday, November 2, 2011

Kembali..

Bismillahirrahmanirrahim..

Assalamu'alaikum wbt..

Hari ini, saya kembali melakar kata, menekan-nekan papan kekunci untuk mengisi ruang dalam blog yang semakin terabai. Kesibukan menjalani tugasan harian, menyebabkan kekangan masa untuk saya singgah di teratak yang saya kasihi ini. Hm.. biasanya saya akan mengupdate sekurang-kurangnya satu entri baru untuk setiap bulan. Tetapi, dek kesibukan, saya tertinggal untuk mengupdate entri untuk bulan Oktober. Alangkah... tak bestnya! :(

Saat ini, saya masih tercari-cari tajuk untuk dimuatkan di sini sebagai entri baru, tapi tidak tahu apa yang ingin dikongsi, lantas menjadi punca kenapa saya hanya berceloteh begini. Hehe..

Erm.. saya rasa setakat ini sahaja untuk kali ini. Sebelum mengundur diri, saya tinggalkan buah tangan untuk pembaca yang sudi singgah di teratak saya ni.. (^_^)v


Renung-renungkan dan selamat beramal.

Jaga diri, jaga iman.. Wassalam.. b(^_^)d

Friday, September 30, 2011

Wanita, Rebutlah Persamaan Hak Di Sisi Allah

Bismillahirrahmanirrahim..

Assalamu'alaikum wbt..

Sejambak bunga yang segar jika diletakkan di atas meja untuk hiasan tentu nampak cantik dan menarik meja itu. Orang yang memandang akan dapat menikmati kecantikan dan kesegaran bunga yang dihias. Kerana pandainya orang yang empunya bunga, maka akan jadi perhiasan mata ramai dan dihargai kecantikannya.

Apa jadi kalau bunga itu dihias dalam tandas? Tentu hilanglah kemegahannya sebagai bunga yang dipuja kecantikannya dan orang akan mengatakan alangkah tidak siumannya atau kurang akal bagi orang yang tidak pandai menghargai bunga secantik itu lalu diletakkan di tempat yang sehina itu.



Wanita ibarat bunga, antara perhiasan dunia yang amat memikat lelaki. Sebagaimana hadis Rasulullah S.A.W bermaksud:
"Dunia itu perhiasan dan sebaik-baik perhiasannya itu ialah perempuan yang solehah (perempuan yang baik tentang agama, akhlak, rumahtangga, pergaulan dan sebagainya)." - (Riwayat Muslim)

Sesuatu perhiasan yang disayangi dan mahal harganya tentulah akan diletakkan di tempat yang terpelihara atau tersembunyi. Agar pencuri tidak berpeluang mengambilnya. Kalaupun didedahkan di depan umum akan diletakkan kawalan rapi agar terpelihara keselamatannya. Lebih tinggi nilai perhiasan tadi maka makin ketatlah kawalan dibuat. makin ramailah orang yang menghargainya dan makin sulitlah untuk
mendapatkannya.

Begitulah juga sepatutnya wanita. Allah ciptakan wanita berbeza dari lelaki. Dari segi fizikal dan fitrah yang Allah jadikan berbeza antara lelaki dan perempuan itu ada tujuan dan maksudnya. Tidak lain dan tidak bukan agar terbezanya tugas antara kedua makhluk Allah itu.

Wanita Allah anugerahkan dengan sifat-sifat tertentu seperti pemalu, lemah-lembut, penyabar, halus, kuat perasaan, mempunyai fizikal yang lemah, pendek akalnya dan sebagainya. Semuanya itu mempunyai maksud, iaitu untuk menyeimbangi lelaki yang Allah jadikan kuat fizikalnya, panjang akalnya, kasar dan tegas tingkah lakunya dan sebagainya.

Dengan sifat lemah lembut dan sabar yang dimiliki oleh seorang wanita menyebabkan ia mampu melayan ragam anak-anak; mampu berdepan dengan suaminya dengan baik.

Halus perasaan membolehkan dia cepat memahami hasrat dan masalah yang dialami oleh suaminya. Sifat halus menyebabkan wanita mampu melakukan kerja-kerja remeh seperti menjahit, menyulam, memasak dan menghias rumahtangga.

Sifat sabar membolehkan wanita melakukan kerja-kerja yang berulang-ulang atau yang sama setiap hari seperti memasak, membasuh, mengemas rumah dan sebagainya tanpa jemu-jemu.

Kurang akalnya wanita menyebabkan mereka suka jadi orang yang dipimpin; lemah dari segi fizikal menyababkan mereka memerlukan pada seorang lelaki sebagai pelindung diri.

Justeru kerana itu, Allah yang menciptakan kita, tentunya Dia Maha Mengetahui di mana lebihnya wanita dari lelaki, untuk dimanfaatkan; dan di mana kurangnya wanita di sisi lelaki agar kekurangan itu boleh diisi oleh lelaki. Oleh sebab itu Allah tidak membebankan wanita dengan tugas yang berat-berat yang mana hanya akan menyusahkan wanita dan tidak akan ada kemampuan mereka untuk melaksanakan dua kerja dalam satu masanya.

Sebagai bukti kasih sayang-Nya, Allah tidak bebankan wanita mencari nafkah, tidak disuruh membanting tulang empat kerat yang lemah untuk tujuan itu; semuanya itu tanggungjawab lelaki.

Persamaan hak di sisi Allah antara lelaki dan wanita, itulah persamaan hak yang patut dituntut dan dijadikan impian setiap wanita. Telah dijelaskan di dalam al-Quran bahawa Allah tidak melebihkan seseorang dengan seseorang yang lain melainkan dari segi taqwanya. Begitu juga Allah tidak membezakan jantina samada lelaki dan perempuan; semuanya sama pada pandangan Allah sekiranya mereka beriman dan bertaqwa. Firman Allah yang membawa maksud:
"Barangsiapa yang mengerjakan kebajikan, baik lelaki atau perempuan sedangkan dia orang yang beriman maka mereka itu akan masuk ke dalam syurga dan tidaklah mereka teraniaya sedikit pun." - (an-Nisa: 124)
"Barangsiapa yang beramal soleh lelaki mahupun perempuan sedangkan ia beriman pula maka mereka akan masuk syurga serta mendapat rezeki di sana dengan tiada terhingga." - (Mukmin: 40)

Tugas mengandung, bersalin, mengurus rumahtangga,melayan suami, mengurus dan mendidik anak-anak sudah cukup berat dan susah untuk dilakukan oleh seorang wanita yang lemah. Sehingga kerana itu Allah mengambil kira apa yang dibuat oleh wanita itu sama pahalanya dengan lelaki yang bergelanggang di luar rumah.

Hatta dalam hadis-hadis Rasulullah jelas menyebut wanita yang membasuh pakaian suami dan anak-anaknya, diberi pahala; wanita yang memasak makanan dan menghiris bawang sampai keluar air matanya juga mendapat pahala di sisi Allah; wanita yang bangun malam kerana mengurus anaknya seperti menyusu dan menyalin lampin dikatakan sama pahalanya dengan lelaki yang berjihad pada jalan Allah.

Pendek kata setiap pekerjaan yang dilakukan oleh wanita di dalam rumahtangga walaupun terlindung dari pandangan orang lain, semuanya itu dikira dan dinilai oleh Allah. Walaupun perkara yang dibuat itu untuk kesenangan dan keselesaan dirinya sekeluarga, dikira ibadah selagi ia melakukan kerja-kerja itu kerana memenuhi tuntutan Allah, yakni mencari keredhaan Allah.

Wanita itu walaupun di sisi manusia ia mungkin tidak terkenal sebagai seorang ahli profesional yang hebat,atau sebagai tokoh politik yang boleh menggegarkan negara atau seorang pakar dalam ekonomi dunia, atau apa saja bidang yang dimuliakan dan dianggap istimewa oleh manusia, tetapi di sisi Allah dia dikenal dan dimuliakan malaikat, para roh orang-orang soleh dan wali-wali Allah, segala makhluk Allah di darat dan di laut sentiasa mendoakan keselamatan dan keampunan untuknya.

Sehingga kerana itu dia menjadi kecintaan para kekasih Allah di alam malakut. Sementara di bumi nyata dia dikasihi oleh anak-anak, suami, jiran-jiran dan kaum keluarganya kerana khidmat dan kasih sayang yang dicurahkan pada mereka. Walaupun ia tidak memiliki ijazah yang tinggi melangit, pangkat, nama tetapi tempat kebesaran telah pun menunggunya di akhirat.

Itu semua dapat dicapai dengan melakukan tugas yang sudah sesuai dengan fitrah wanita dan sudah cukup untuk menjadikan syarat wanita diberi hak yang sama dengan lelaki di akhirat kelak.

Sebaliknya wanita kini meminta di dunia supaya mereka disama-tarafkan dan minta diberi hak yang sama dengan lelaki di semua bidang. Lelaki jadi menteri mereka juga mahu jadi menteri, mahu jadi polis, tentera, hakim, jurutera, pegawai eksekutif. Atau mahu terlibat dalam acara-acara yang dimonopoli oleh lelaki, seperti bermain bola sepak, menunggang basikal dan sebagainya dengan alasan mereka patut diberi kesempatan untuk membuat kerja yang lelaki buat. Kononnya mahu jadi srikandi pejuang bangsa.

Mereka mendakwa kaum wanita juga mempu buat apa yang lelaki boleh buat, inilah yang biasa mereka katakan (wanita boleh!) Sekiranya mereka tidak dibenarkan terlibat di bidang yang sememangnya diperuntukkan pada lelaki katanya mereka telah dianak-tirikan, diskriminasi (merendah-rendahkan kaum wanita) dan bermacam-macam lagi bantahan.

Mereka tidak sedar bahawa apabila mereka meletakkan diri di bidang yang tidak sesuai dengan fizikal dan fitrah mereka, maka terpaksalah mengorbankan banyak perasaan kewanitaan demi untuk menyesuaikan diri dengan tugas yang dipegang.

Hal ini adalah bertentangan dengan fitrah mereka, mengabaikan tugas-tugas asas sebagai wanita terhadap anak-anak, suami dan rumahtangga, seterusnya mendedahkan diri mereka kepada pergaulan bebas antara lelaki dan wanita, mendedahkan aurat dan terdedah kepada sifat keangkuhan, sombong dan bangga diri dengan jawatan atau kedudukan yang mampu mereka capai.

Jadilah mereka sepertimana bunga yang diletakkan di dalam tandas tadi. Hilanglah keindahan mereka sebagai seorang wanita. Jeleklah mereka pada pandangan penghuni langit, sekali pun mereka boleh beribadah seperti ibadah para Nabi. Apatah lagi kalau mereka sampai melanggar perintah Allah, dilaknat ke atas mereka oleh setiap makhluk Allah di darat dan di laut.

Umpamanya, seorang wanita yang jadi menteri, tentulah terpaksa melayan rakyatnya yang terdiri dari orang lelaki dan wanita. Jadi menteri terpaksa diiring ke sana ke mari oleh lelaki dan perempuan yang bukan suaminya. Ataupun kalau di rumah sering didatangi oleh lelaki yang menjadi rakyatnya dengan hajat itu ini. Kalau kahwin sama-sama menteri tidak apa juga. Apa halnya kalau isteri menteri tetapi suami tidak.

Tentulah tidak layak si suami hendak melayan rakyat yang hendak jumpa menteri. Yang hendak diajak berbincang ialah isterinya, menteri itu bukan si suami.

Ketika itu bagaimana perasaan si suami melihat isterinya berbincang dengan lelaki lain di rumahnya, kadang-kadang dari malam sampai ke pagi. Sedangkan dia terpaksa buat air dan jaga anak sebab isteri sedang berurusan. Ataupun kalau anak dan air diuruskan oleh orang gaji, tentu rakyat yang datang tadi tidak mahu mendengar buah fikiran atau keputusan yang dibuat oleh si suami yang bukan menteri. Tentu keputusan dan pandangan isterinya yang lebih diharapkan dan didengar.

Begitulah hina dan malangnya lelaki atau suami yang gagal meletakkan wanita di tempat yang sepatutnya. Sebaliknya berbahagialah lelaki atau suami yang pandai meletakkan wanita di tempatnya. Rasulullah S.A.W bersabda:
"Tidaklah yang memuliakan wanita, kecuali orang-orang yang mulia, dan tidaklah menghinakan wanita kecuali orang-orang yang hina."

Oleh itu sekiranya seorang wanita hendak menuntut hak yang sama di sisi Allah dengan lelaki, ia mestilah melakukan tugas yang sesuai dengan fizikal dan fitrah kejadian wanita. Yakni tugas yang tidak memerlukan dia setaraf dengan lelaki. Dan tentulah dalam melaksanakan tugas yang sesuai dengan fizikal dan fitrahnya itu syariat lahirnya juga dapat dijaga.

Ibadah-ibadah asasnya seperti sembahyang dan puasa dikerjakan sungguh-sungguh. Ibu bapa ataupun suami ditaati dan maruah diri dipelihara dari tercemar. Maka wanita itu akan dimuliakan dan diberi pangkat yang tinggi di sisi Allah seperti mana hadis Rasulullah yang menyebut seorang wanita solehah lebih baik dari seribu lelaki yang tidak soleh.

Marilah kita berusaha untuk merebut pangkat dan kemuliaan di akhirat. Kerana pangkat dan kemuliaan akhirat itulah yang boleh dibanggakan dan boleh memberi kebahagiaan yang berkekalan. Sedangkan pangkat dan kemuliaan dunia sudah banyak melalaikan dan membuat manusia lupa pada Tuhan, menjadikan mereka akan dibangkitkan hina dina di akhirat kelak. Azab neraka yang dahsyat akan menunggu-nunggu untuk memamah tubuh-tubuh mereka yang berdosa dan angkuh dengan kebolehan diri.

Itulah sebenarnya yang mereka perjuangkan di dunia dulu yakni syurga dunia tetapi api neraka di akhirat. Rugilah perjuangan yang begitu.
Wassalam..

Sumber : laman web iluvislam

Thursday, August 18, 2011

Nun Wiqaayah

Bismillahirrahmanirrahim..

Assalamu'alaikum wbt..

Cuba selak helaian kitab suci Al-Quranul Kareem. Adakah kita cukup pasti bacaan kita betul? Hari ni, saya ingin kongsikan satu perkara yang kadang2 orang terlepas pandang ketika membaca Al-Quran. Ingatlah, Al-Quran hendaklah dibaca dengan tartil. Jadi, hukum2 tajwid yang telah ditetapkan perlu dipatuhi.

Pernah dengar tak Nun Wiqaayah? Kalau tak pernah, jom baca perkongsian kali ini. Saya ambil daripada laman web ensiklopediamuslim. 

Nun Wiqaayah ialah nun yang ditambah pada bacaan apabila mana-mana kalimah yang berakhir dengan Tanwin (baris dua) bertemu dengan mana-mana kalimah yang bermula dengan Alif Lam ( ال ) atau Hamzah Wasal ( ا ) . Nun ini juga disebut dengan Nun Wasal atau Nun 'Iwadh, atau Nun Pengganti. Nun Wiqayah dibaca dengan baris bawah (kasrah). Dalam al-Qur'an al-Majid (yang telah dihapus oleh JAKIM) nun ini ditulis dengan nyata, Manakala dalam al-Qur’an al-Karim (Rasm ‎Utsmani) nun ini tidak ditulis dengan nyata tetapi dari segi bacaannya ianya ‎hendaklah dibunyikan.‎

Di antara ayat-ayat yang terdapat Nun Wiqayah;‎

‎1. Surah Al-Baqarah : ayat 180 ‎ ‎dibaca dengan ; (Khairanil wasiyyah)

2. Surah Yusuf‎ ‎: ayat 8 - 9 ‎ ‎ dibaca dengan ; (Mubiini niqtulu) 

3. Surah Kahf ‎: ayat 88‎ ‎dibaca dengan; (Jazaa’a nilhusnaa)‎

4. Surah An-Najm ‎: ayat 50‎ ‎ dibaca dengan; (‘Aadan nil uulaa)

5. Surah Al-Jumu’ah ‎: ayat 11‎ ‎dibaca dengan; (Au lahwanin faddhuu)

6. Surah Al-Ikhlas ‎: ayat 1 - 2‎ dibaca dengan; (Allahu ahadunillahus somad)

7. Surah al-A'raf : ayat 164 dibaca dengan; (Qaumanillahu muhlikuhum)

8. Surah al-A'raf : ayat 177 dibaca dengan; (matsalanil qaumul ladziina)
 

9. Surah at-taubah : ayat 24 dibaca dengan; (wa amwaaluniqtaraftumuuha)

10. Surah at-Taubah : ayat 30 dibaca dengan; ('Uzairunibnullaahi)

11. Surah Ibrahim : ayat 18 dibaca dengan; (karamaadinisy taddat)

12. Surah Al-Hijr : ayat 61 dibaca dengan; (Falammaa jaa'a aala luthi nilmursalin )

13. Surah Al-Kahfi: ayat 100-101 kalau wasal dibaca dengan ('aradha nilladzi...)

14. Surah Maryam: ayat 7 dibaca dengan (bughalaaminismuhu..)

15. Surah Maryam: ayat 61 dibaca dengan (jannaati 'adninillati..)

"Warattililqur aana Tartilan", itulah sepotong ayat dalam Al-qur'an yang Mulia, Surah Al-Muzzammil ayat 4, yang mengingatkan kepada kita umat muslim untuk senantiasa berusaha memperjelas dan memperhatikan makharijul huruf, tajwid pada saat membaca Al-Quran. Makna lainnya adalah “Agar engkau dapat memahami dan merenungkan berbagai makna dari ayat yang kau baca, maka bacalah Al Quran dengan tartil, perlahan, tidak tergesa-gesa, dan terlalu cepat. Kita dilarang membaca Al Quran terlalu cepat dan tidak tartil.”

Membaca Al Quran dengan suara merdu adalah sunnah. Suara yang merdu membantu seseorang untuk menghadirkan kekhusyukan hati dan membantunya mendengarkan Al Quran dengan baik. Mari bergabung dengan menyatukan niat untuk senantiasa berusaha dan istiqamah membaca ayat-ayat Allah dengan tartil.
InsyaAllah..

Semoga bermanfaat. Wassalam.. :)

Wednesday, August 17, 2011

Nuzul Al-Quran

Bismillahirrahmanirrahim..

Assalamu'alaikum wbt...

Peristiwa Nuzul Al-Quran adalah antara perkara penting yang harus diingat dan direnung Muslim kerana bermula dengan peristiwa itu zaman jahiliah (kegelapan) telah disinari cahaya, kesesatan digantikan kebenaran dan umat yang hidup bertuhankan hawa nafsu berubah bertuhankan Allah Yang Esa.

17 Ramadhan merupakan suatu tarikh yang amat bermakna kepada orang yang beriman iaitu Nuzul Al-Quran atau penurunan al-Quran. Kalam Allah SWT. yang berupa mukjizat, yang diturunkan melalui perantaraan malaikat Jibrail a.s. kepada Nabi Muhammad SAW. yang dikira sebagai ibadat dengan membacanya, bermula dari Surah Al-Fatihah dan berakhir dengan Surah An-Nas.

Penurunan Al-Quran dari Loh Mahfuz ke Baitul Izzah di langit dunia, berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadhan, tahun ke-41 daripada keputeraan Nabi Muhamad SAW. Perkataan ‘Nuzul’ bererti turun atau berpindah dari atas ke bawah. Bila disebut bahawa Al-Quran adalah mukjizat terbesar Nabi SAW maka ianya memberi makna terlalu besar kepada umat Islam terutamanya yang serius memikirkan rahsia Al-Quran.

"Al-Quran" bererti bacaan atau himpunan. Di dalamnya terhimpun ayat yang menjelaskan pelbagai perkara meliputi soal tauhid, ibadat, jinayat, muamalat, sains, teknologi dan sebagainya. Malah inilah sebenarnya kelebihan Al-Quran, tidak ada satu perkara pun yang dicuaikan atau tertinggal di dalam Al-Quran, dan segala isi kandungan Al-Quran itu adalah benar.

Dalam sejarah kehidupan Nabi SAW ayat Al-Quran yang mula-mula diturunkan Allah kepada Nabi Muhammad SAW melalui perantaraan malaikat Jibrail ialah lima ayat pertama daripada surah Al-‘Alaq. maksudnya:
“Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhan mu yang menciptakan (sekalian makhluk), Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; Bacalah, dan Tuhan mu Yang Maha Pemurah, Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan. Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.” (Al-‘Alaq:1-5)
Al-Quran mengandungi lebih 6,000 ayat adalah himpunan wahyu dan kitab panduan terakhir daripada Allah, diturunkan kepada Rasul-Nya, Muhamad supaya menjadi petunjuk kepada seluruh umat.

Al Quran telah diturunkan secara beransur-ansur dalam masa 22 tahun 2 bulan 22 hari atau 23 tahun, 13 tahun di Mekah dan 10 tahun di Madinah . Ayat-ayat dan surah-surah yang diturunkan sebelum peristiwa hijrah dikenali sebagai Makkiyah sedangkan yang diturunkan selepas peristiwa hijrah dikenali sebagai Madaniyyah.

Waktu penurunan Al-Quran adalah mengikut perancangan dan ketentuan Illahi. Sesuai dengan kitab itu yang sungguh mulia, Allah juga memilih penghulu segala bulan yang terkenal dengan bulan keampunan, rahmat dan keberkatan iaitu Ramadhan untuk menurunkannya. Firman Allah bermaksud:
“Ramadhan adalah bulan diturunkan Al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan daripada pembeza (antara yang hak dan batil).” (Al-Baqarah, ayat 185)

Kenapa Allah SWT turunkan Al-Quran secara beransur-ansur ? Sudah tentu kerana ia mempunyai hikmah-hikmahnya tersendiri. Antara hikmah Al-Quran diturunkan secara beransur-ansur itu ialah :
  • Lebih mudah difahami dan dilaksanakan. Orang tidak akan melaksanakan suruhan dan larangan jika diturunkan sekali gus dengan banyak.
  • Antara ayat itu ada yang nasikh dan mansukh, sesuai dengan permasalahan waktu itu. Ini tidak dilakukan jika Al-Quran diturunkan sekali gus. (Ini menurut pendapat yang mengatakan ada nasikh dan mansukh)
  • Turun ayat sesuai dengan peristiwa yang berlaku lebih mengesankan dan berpengaruh di hati.
  • Memudahkan penghafalan. Orang Musyrik bertanya mengapakah Al-Quran tidak diturunkan sekali gus seperti disebut dalam Al-Quran yang bermaksud: “Mengapakah al-Quran tidak diturunkan kepadanya sekali gus?” Dijawab dalam ayat itu sendiri: “Demikianlah, dengan (cara) begitu Kami hendak menetapkan hatimu.” (Surah al-Furqan, ayat 32)
  • Ada antara ayat itu jawapan daripada pertanyaan atau penolakan suatu pendapat atau perbuatan seperti dikatakan Ibnu Abbas. Hal ini tidak dapat terlaksana jika Al-Quran diturunkan sekali gus.
Sehubungan itu, peristiwa Nuzul Al-Quran harus dihayati umat Islam kerana ia menjadi asas keimanan terhadap Al-Quran bahawa ia adalah kalam Allah. Bahkan, ia dilihat asas utama dalam pengakuan umat Islam terhadap kerasulan Nabi Muhammad SAW serta keyakinan Islam itu agama benar, satu-satunya agama yang diredhai di sisi Allah.

Kesalahan besar yang dilakukan oleh Umat Islam hari ini yang menyebabkan mereka gagal menjadi manusia yang hebat dan bertaqwa adalah kerana kita meninggalkan Al-Quran samada secara sedar atau tidak sedar. Imam Ibnu Katsir menjelaskan maksud meninggalkan Quran sebagai berikut :
a. Tidak membaca Al-Quran dan tidak mahu mendengarkannya.
b. Tidak beriman dengan ajaran Al-Quran.
c. Tidak mengkaji dan memahami Al-Quran.
d. Tidak membenarkan isi kandungan Al-Quran.
e. Tidak mengamalkan ajaran Al-Quran.
f. Berpaling daripada Al-Quran kepada yang lain
Bulan Ramadhan inilah peluang yang terbaik bagi kita untuk mengelakkan kita daripada tergolong dalam kalangan mereka yang meninggalkan Al-Quran. Apa yang penting kita mesti memastikan adanya peningkatan di setiap Ramadhan yang kita lalui dan yang kita tinggalkan.
 
Daripada hanya mendengar bacaan Al-Quran kepada membacanya dengan penuh keimanan. Daripada membaca kepada mengkaji dan memahami. Daripada memahami kepada membenarkannya. Daripada membenarkannya kepada mengamalkannya dan mengutamakannya daripada segala yang lain daripadanya. Jika kita masih masih memandang serong apatah lagi menentang ajaran Al-Quran maka Ramadhan sebenarnya memang bukan untuk kita, maka bersedialah kita untuk menerima pembalasan dari Allah swt. 
 
Wallahu a'lam..
 
Wassalam..

Thursday, August 11, 2011

30 Hari Mencari CINTA

Bismillahirrahmanirrahim..

Assalamu'alaikum wbt..

Hari ini, 10 Ramadhan 1432H. Alhamdulillah sudah satu pertiga bulan mulia ini kita harungi bersama. Masih ada 20 hari lagi untuk melaksanakan ibadah di bulan yang penuh barakah ini. Esok sudah masuk fasa kedua. Moga kita diberi kekuatan iman untuk menempuhi 30 hari ini dengan penuh kesabaran.

Beberapa hari yang lalu, saya meletakkan ayat “30 hari mencari CINTA” sebagai status di wall facebook saya. Tertarik saya pada soalan sahabat, “Cukupkah 30 hari ini untuk mencari cintaNya?”

Hmmm...

30 hari memang tak cukup untuk kita mencari cinta Allah SWT. CintaNya Maha Agung, tiada yang dapat mencintai kita sebaik Dia. CintaNya cinta sempurna. Justeru apa peranan kita sebagai hambaNya untuk membalas cintaNya? Mengabdikan diri pada Pencipta teragung kita, menyemai rasa kecintaan yang tidak berbelah bagi kepada yang Maha Esa, melaksanakan perintah Allah dan tentu sekali meninggalkan laranganNya. Sudahkah kita melakukannya? Sempurnakah cinta kita?

Hakikatnya, seluruh hidup pun belum dapat membalas keagungan cinta Ilahi..

Dalam selaut cinta, mungkin cinta kita hanya setitis buat Dia. Kerana itulah kita selalu lupa kepadaNya. Kita asyik mengejar nikmat dunia. Kita sering lupa tujuan kita dilahirkan, lupa tanggungjawab sebagai khalifah, lupa membezakan dosa pahala. Astaghfirullahal’azim…

"Sesungguhnya Allah menjadikan bulan Ramadhan sebagai arena perlumbaan melakukan ketaatan bagi makhlukNya, kemudian ada yang berlumba-lumba hingga menang dan ada pula orang-orang yang tertinggal lalu kecewa. Tetapi sangat menghairankan ialah peserta yang tertawa-tawa di saat orang lain memecut untuk meraih kemenangan." (Hassan al Basri)

30 hari.. kita manfaatkan untuk melakukan amal ibadah. Sekurang2nya masih ada kesedaran untuk kita menghambakan diri padaNya. Tapi, 30 hari sajakah? Sesudah Ramadhan berlalu, apa yang berlaku?

Fastabiqul Khairat!!

Berlumba-lumbalah dalam melakukan kebaikan. Pecut laju2 bila buat ibadah. Jangan berhenti. Sebulan Ramadhan kita manfaatkan sebaiknya. Dan.. Andai Ramadhan berlalu, bukan bermakna itu menjadi titik noktah kepada amalan yang telah kita lakukan di bulan penuh rahmat ini. Istiqamahlah. Siapa tahu, mungkin ini Ramadhan terakhir kita. Jadikan Ramadhan sebagai madrasah tarbiyyah untuk kita menghadapi sebelas bulan yang lain, insyaAllah..

Ayuh sama2 renung sejenak kata2 hikmah yang berbunyi.. “Jadilah kamu hamba Allah, jangan jadi hamba Ramadhan..”

Jadi.. Setakat ini sahaja perkongsian buat kali ini.. Ringkas. Tiba2 kekeringan idea untuk terus menaip. Cukuplah. Sekurang2nya perkongsian ringkas ini dapat memberi nafas kepada blog yang telah lama pengsan ini kan.. Hehe..

Apapun.. Moga misi 30 hari mencari cinta ini ada hasilnya.. Amin ya Rabb..:)

Wassalam..


Friday, July 29, 2011

Warkah Ramadhan daripada Syaitan..

Bismillahirrahmanirrahim..

Assalamu'alaikum wbt..

Jom baca.. sebagai renungan dan peringatan untuk kita sempena Ramadhan al-Mubarak.. :)

*****


Menemui sahabatku..

Bila Ramadhan menjelang, seluruh hatiku hancur,  mengenang diri yang akan terkurung, tak daya menemani sahabat  yang selama ini setia bersamaku tiap masa dan ketika. Sahabatku, yang sentiasa menerima pelawaanku melakukan dosa, membantu aku membiarkan maksiat bermaharajalela, melakukan kemungkaran tanpa mengira usia.. Wah, betapa bahagianya aku bila mempunyai sahabat sepertimu..
 
Tadi malam waktu engkau mahu tidur,  aku lihat engkau tidak membaca ayat memuji Allah dan tidak berselawat. Bagus sahabat.. kerana waktu tidur adalah waktu untuk tidur, bukan untuk membaca Al-Quran. Sesungguhnya engkau tidak membuang masa.
 
Pagi ni aku lihat kau tidak bangun sahur dan mengerjakan solat subuh. Engkau telah membuktikan bahawa engkau adalah sahabatku yang budiman. Janganlah engkau susah-susah bangun dan memendekkan tidur. Tidurlah dengan nyenyak dan nyaman. Jangan hiraukan apa sahaja yang mengejutkan engkau daripada tidurmu.

Tiada gunanya engkau berpuasa, berlapar dan menyeksa dirimu sendiri. Untuk apa bersahur sedangkan engkau boleh makan bila pun yang engkau mahu. Waktu begitu, udara masih dingin, tariklah selimutmu dan tidurlah dengan penuh kenikmatan.


Sahabat tercinta..


Aku lihat engkau tidak pernah membaca Bismillah sewaktu hendak makan. Bagus, kerana engkau tidak perlu memenatkan mulutmu. Dan bila sudah kenyang, engkau tidak pernah menyebut Alhamdulillah. Ini bagus juga. Cukuplah engkau sendawa kuat-kuat seperti lembu.

Duhai manusia,


Apabila engkau berpuasa,telah lemah seluruh urat sendiku, telah terbakar seluruh jasadku,merintihku kesakitan, setiap kali ku lihat hamba-hambaNya yang penat berpuasa di siang hari dan menghabiskan waktu malamnya dengan berzikir dan merintih mengenang dosa-dosanya yang lepas, kerana pintu taubat telah dibuka Allah dengan seluas-luasnya.

Namun,aku tetap gembira
kerana ada di antara kamu yang masih sudi menjadi temanku, melepaskan peluang rahmat Allah dengan mengucap perkataan yang sia-sia,mengumpat, tidak solat malah mencipta persengketaan.. tidak berpuasa malah mencipta kemungkaran.. tanpa aku, engkau masih mampu berdikari,

Aduhai, tubuh badanku yang terbelenggu telah segar kembali.
Cukuplah NAFSU manusia sendiri menjadi penyambung tugasku di sepanjang bulan yang dirahmati ini. Di akhirat nanti,engkau dan aku dapat berjalan bersama-sama… kita berpegang tangan menuju NERAKA JAHANAM..


sahabatmu yang tercinta,


SYAITAN LAKNATULLAH
***

“Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam agama Islam dengan selengkapnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah syaitan; sesungguhnya syaitan itu musuh bagi kamu yang terang lagi nyata.. (al-Baqarah 2:208)

Wassalam..

Friday, July 1, 2011

Tahajjud Cinta

Bismillahirrahmanirrahim..


Kau datang ketika duka
dan bintang bercahya
tunjukku ke jalan syurga

Ku haus di tengah laut
lemas mencari tempat berpaut
kirimkan aku kekuatan
serta pedoman di kesesatan

Ku sunyi dalam gembira
perih pedih tanggung derita
sungguh aku bukan wali
yang suci dari hina dan benci

Terlalu lama aku mencuba
terlalu banyak cinta yang ku damba
tiada yang sempurna hanyalah fana
Tuhan, ampuni hambaMu

Ku rebah di dada malam
memecah dendam yang lama diam
ku tanggalkan baju dunia
dakapku dengan selimut syurga

Ya Tuhanku hanya padaMu
tempat mengadu segala rindu
limpahi ku rahmat kasihMu
dalam tahajjud cinta bersujud

( Siti Nurhaliza )

Best kan lagu ni.. dah lama x dengar. Jom hayati lirik lagu ni sama2. Tiba2 teringat lagu ni lepas tengok iklan cerita terbaru untuk slot zehra tv3, "Tahajud Cinta".. Minggu depan start rasanya.. Layan ja la.. hehe.. Peace! (^_^)v

Wslm..


Tuesday, June 21, 2011

Cinta Dalam Diam

Bismillahirrahmanirrahim..

Assalamu'alaikum wbt..


Bila belum bersedia melangkah lebih jauh dengan seseorang, cukup cintai ia dalam diam..

Kerana diammu adalah salah satu bukti cintamu padanya..

Kau ingin memuliakan dia, dengan tidak mengajaknya menjalin hubungan yang terlarang,

Kau tak mahu merosak kesucian dan penjagaan hatinya..

Kerana diammu memuliakan kesucian diri dan hatimu..

Menghindarkan dirimu dari hal-hal yang akan merosak izzah dan iffahmu ..

Kerana diammu bukti kesetiaanmu padanya ..

Kerana mungkin orang yang kau cinta adalah juga orang yang telah ALLAH swt pilihkan untukmu ...



Ingatkah kalian tentang kisah Fatimah dan Ali?

Yang kedua-duanya saling memendam apa yang mereka rasakan ...

Tapi pada akhirnya mereka dipertemukan dalam ikatan suci nan indah ....



Kerana dalam diammu tersimpan kekuatan ... kekuatan harapan ...

Hingga mungkin saja Allah akan membuat harapan itu menjadi nyata hingga cintamu yang diam itu dapat berbicara dalam kehidupan nyata ...

Bukankah Allah tak akan pernah memutuskan harapan hamba yang berharap padaNya??



Dan jika memang 'Cinta Dalam Diammu' itu tak memiliki kesempatan untuk berbicara di dunia nyata, biarkan ia tetap diam ...

Jika dia memang bukan milikmu, Allah, waktu akan menghapus 'Cinta Dalam Diammu' itu dengan memberi rasa yang lebih indah dan orang yang tepat ...

Biarkan 'Cinta Dalam Diammu' itu menjadi memori tersendiri dan sudut hatimu menjadi rahsia antara kau dengan Sang Pemilik hatimu ...



Cintailah dia dalam diam, dari kejauhan, dengan kesederhanaan dan keikhlasan...

Ketika cinta kini hadir tidaklah untuk Yang Maha Mengetahui, saat secercah rasa tidak lagi tercipta untuk Yang Maha Pencipta, izinkanlah hati bertanya untuk siapa dia muncul dengan tiba-tiba.. mungkinkah dengan redhaNya atau hanya mengundang murkaNya...

Jika benar cinta itu kerana Allah, maka biarkanlah ia mengalir mengikuti aliran Allah kerana hakikatnya ia berhulu dari Allah maka ia pun berhilir hanya kepada Allah..

"Dan segala sesuatu Kami ciptakan berpasang-pasangan supaya kamu mengingati kebesaran Allah." (QS. Adz Dzariyat:49)

"Dan nikahkanlah orang-orang yang sendirian di antara kamu, dan orang-orang yang layak (berkahwin) dari hamba-hamba sahayamu yang lelaki dan hamba-hamba sahayamu yang perempuan. Jika mereka miskin Allah akan memampukan mereka dengan kurniaNya. Dan Allah Maha luas (pemberian-Nya) lagi Maha Mengetahui." (QS. An Nuur: 32)

"Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikanNya di antaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir." (QS. Ar-Ruum:21)



Tapi jika memang kelemahan masih nyata dipelupuk mata maka bersabarlah... berdo'alah... berpuasalah...

"Wahai kaum pemuda, siapa saja di antara kamu yang sudah sanggup untuk menikah, maka menikahlah, sesungguhnya menikah itu memelihara mata, dan memelihara kemaluan, maka bila di antara kamu belum sanggup untuk menikah, berpuasalah, kerana ssungguhnya puasa tersebut sebagai penahannya " (Hadith)"

"Dan janganlah kamu mendekati zina; sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji. Dan suatu jalan yang buruk." (QS. Al Israa' :32)


Cukup cintai ia dalam diam...

bukan kerana membenci hadirnya.. tapi menjaga kesuciannya..

bukan kerana menghindari dunia... tapi meraih syurgaNya..

bukan kerana lemah untuk menghadapinya.. .tapi menguatkan jiwa dari godaan syaitan yang begitu halus dan menyelusup..



Cukup cintai ia dari kejauhan...

kerana hadirmu tidak mampu menjauhkannya dari cubaan..

kerana hadirmu hanya akan menggoyahkan iman dan ketenangan..



Cukup cintai ia dengan kesederhanaan...

memupuknya hanya akan menambah penderitaan

menumbuhkan harapan hanya akan mengundang kekecewaan

mengharapkan balasan hanya akan membumbui kebahagiaan para syaitan...



Maka cintailah ia dengan keikhlasan...

kerana tentu kisah Fatimah dan Ali bin Abi Talib diingini oleh hati... tapi sanggupkah jika semua berakhir seperti sejarah cinta Salman Al Farisi...?


"...Boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu. Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui. " (QS. AlBaqarah:216) "

" Wanita-wanita yang keji adalah untuk laki-laki yang keji, dan laki-laki yang keji adalah buat wanita-wanita yang keji (pula), dan wanita-wanita yang baik adalah untuk laki-laki yang baik dan laki-laki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik (pula). Mereka (yang dituduh) itu bersih dari apa yang dituduhkan oleh mereka (yang menuduh itu). Bagi mereka ampunan dan rezki yang mulia (syurga)" (QS.An Nuur:26) "



Cukup cintai ia dalam diam dari kejauhan dengan kesederhanaan dan keikhlasan...

kerana tiada yang tahu rencana Tuhan... mungkin saja rasa ini ujian yang akan melapuk atau membeku dengan perlahan kerana hati ini begitu mudah untuk dibolak-balikan... serahkan rasa yang tidak sanggup dijadikan halal itu pada Yang Memberi dan Memilikinya, biarkan Dia yang mengatur semuanya hingga keindahan itu datang pada waktunya...

"Barangsiapa menjaga kehormatan orang lain, pasti kehormatan dirinya akan terjaga." (Umar al Khattab ra.)


Wassalam...

Friday, June 17, 2011

Insaf Sekejap

Bismillahirrahmanirrahim..

Assalamu'alaikum wbt..

Benarkah wujud istilah 'insaf sekejap'? Ya, ia wujud. Ramai sahabat mengadu, bahawa mereka mengalami sindrom insaf sebentar. Sebagai contoh, insaf selepas mendengar tazkirah tapi 10 minit selepas itu, rasa insaf itu lenyap dan dia kembali kepada keadaan asal. Saya juga tidak terkecuali.

Kisah Hanzalah

Saya teringat sebuah hadis riwayat Muslim, berkenaan dengan seorang sahabat Rasulullah yang bernama Hanzalah bin Ar Rabi'. Beliau telah bertemu dengan Abu Bakar r.a lalu dia berkata, 'Hanzalah telah munafik!'. Abu Bakar terkejut lalu bertanya mengapa Hanzalah berkata begitu.

Lalu jawab Hanzalah, "Ketika berada bersama Rasulullah s.a.w, Baginda selalu mengingatkan tentang syurga dan neraka seolah-olah aku melihatnya, lalu ketika aku keluar dari hadapan Rasulullah, aku disibukkan oleh isteri, anak-anak dan mencari nafkah, maka aku menjadi lupa peringatan Baginda!

Abu Bakar terdiam lalu dia berkata, "Demi Allah, aku juga begitu". Lalu kedua sahabat itu sepakat mahu bertemu dengan Rasulullah untuk mengadu akan masalah ini.

Lalu Rasulullah bersabda, "Demi dzat yang jiwaku di tangan-Nya, andai kalian tetap seperti kalian di sisiku dan terus berzikir niscaya para malaikat akan menjabat tangan kalian, sedang kalian berada di atas tempat tidur dan di jalan raya. Akan tetapi wahai Hanzalah, ada waktumu (untuk beribadah) dan ada waktumu (untuk duniamu)"

Manusia Biasa

Kita manusia biasa. Iman kita yazid wa yanqus. Ia kadangkala naik, dan ia juga kadangkala turun. Dalam mendefinasikan perkataan insaf, saya cenderung untuk menyatakan bahawa insaf itu ialah taubat kerana di dalam sebuah keinsafan, ada suatu elemen yang dipanggil 'kesal'. Orang yang insaf ialah orang yang menyesal. Dia menyesal kerana mengerjakan perkara yang tidak sepatutnya dia kerja. Dan kesal ini adalah hakikat taubat! Maka izinkan saya menggantikan perkataan insaf dengan perkataan taubat.

Taubat Yang Berulang

Dalam sebuah hadis yang panjang, Rasulullah bercerita perihal betapa besar dan luasnya pintu keampunan Allah. Ada seorang hamba, dia melakukan dosa, lalu dia bertaubat. Tidak lama, dia melakukan dosa lagi, dan kembali bertaubat. Berulang-ulang kali. Lalu, sampai bila Allah mahu mengampunkan? Jawabnya ialah sampai hambanya jemu untuk memohon ampun!

Ya, Allah sama sekali tidak jemu untuk memberi ampun, tapi hanya manusialah yang jemu untuk bertaubat dan memohon ampun!

Mahu Kekal

Setiap orang, tempoh 'sekejap' mereka adalah berbeza-beza. Ada orang yang 'insaf sekejap'nya ialah beberapa hari dan ada juga yang 'insaf sekejap' nya cuma beberapa minit. Antara lain adalah kerana faktor persekitaran yang sangat mempengaruhi. Jadi, bagaimana kita mahu memanfaatkan tempoh yang sebentar cuma ini?

Firman Allah dalam surah Al-Maidah ayat 39 yang bermaksud :

Maka sesiapa yang bertaubat sesudah ia melakukan kejahatan itu dan memperbaiki diri, sesungguhnya Allah menerima taubatnya. Sungguh, Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Setiap taubat harus diikuti dengan pembaikian diri, atau amal soleh. Sebagai contoh, jika kita insaf kerana terbaca satu artikel yang sangat menyentuh hati dalam keadaan kita masih belum melaksanakan solat, maka segera menunaikan solat dan berdoalah supaya Allah mengurniakan kita keinsafan yang berpanjangan.

Ya, harus banyak berdoa!

Kesimpulan

Insaf sementara adalah suatu yang sentiasa berlaku dan akan berterusan berlaku kepada kita. Cuma apa yang kita pastikan ialah kita gunakan tempoh yang singkat ini untuk kita lebih mendekati-Nya dan paling penting, kita perlu berusaha supaya 'sekejap' ini tidak akan selamanya sekejap.

Mudah-mudahan ia akan berpanjangan kelak.



~ Sekadar perkongsian buat peringatan kepada diri sendiri dan sahabat yang membaca, diambil daripada laman iluvislam.

Wassalam.

Sunday, June 5, 2011

7 Perkara Ganjil Pada Mayat

Bismillahirrahmanirrahim..

Assalamu'alaikum wbt..


Terdapat seorang pemuda yang kerjanya menggali kubur dan mencuri kain kafan untuk dijual. Pada suatu hari, pemuda tersebut berjumpa dengan seorang ahli ibadah untuk menyatakan kekesalannya dan keinginan untuk bertaubat kepada Allah SWT.

Dia berkata, "Sepanjang aku menggali kubur untuk mencuri kain kafan, aku telah melihat 7 perkara ganjil yang menimpa mayat-mayat tersebut. Lantaran aku merasa sangat insaf atas perbuatanku yang sangat keji itu dan ingin sekali bertaubat."

"Yang pertama, aku lihat mayat yang pada siang harinya menghadap kiblat. Tetapi pabila aku menggali semula kuburnya pada waktu malam, aku lihat wajahnya telahpun membelakangkan kiblat. Mengapa terjadi begitu, wahai tuan guru?" tanya pemuda itu.

"Wahai anak muda, mereka itulah golongan yang telah mensyirikkan Allah SWT sewaktu hidupnya. Lantaran Allah SWT menghinakan mereka dengan memalingkan wajah mereka dari mengadap kiblat, bagi membezakan mereka daripada golongan muslim yang lain," jawab ahli ibadah tersebut.

Sambung pemuda itu lagi, "Golongan yang kedua, aku lihat wajah mereka sangat elok semasa mereka dimasukkan ke dalam liang lahad. Tatkala malam hari ketika aku menggali kubur mereka, ku lihat wajah mereka telahpun bertukar menjadi babi. Mengapa begitu halnya, wahai tuan guru?"

Jawab ahli ibadah tersebut, "Wahai anak muda, mereka itulah golongan yang meremehkan dan meninggalkan solat sewaktu hidupnya. Sesungguhnya solat merupakan amalan yang pertama sekali dihisab. Jika sempurna solat, maka sempurnalah amalan-amalan kita yang lain,"

Pemuda itu menyambung lagi, " Wahai tuan guru, golongan yang ketiga yang aku lihat, pada waktu siang mayatnya kelihatan seperti biasa sahaja. Apabila aku menggali kuburnya pada waktu malam, ku lihat perutnya terlalu gelembung, keluar pula ulat yang terlalu banyak daripada perutnya itu."

"Mereka itulah golongan yang gemar memakan harta yang haram, wahai anak muda," balas ahli ibadah itu lagi.

"Golongan keempat, ku lihat mayat yang jasadnya bertukar menjadi batu bulat yang hitam warnanya. Mengapa terjadi begitu, wahai tuan guru?"

Jawab ahli ibadah itu, "Wahai pemuda, itulah golongan manusia yang derhaka kepada kedua ibu bapanya sewaktu hayatnya. Sesungguhnya Allah s. w. t. sama sekali tidak redha kepada manusia yang menderhakai ibu bapanya."

"Golongan kelima, ku lihat ada pula mayat yang kukunya amat panjang, hingga membelit-belit seluruh tubuhnya dan keluar segala isi dari tubuh badannya," sambung pemuda itu.

"Anak muda, mereka itulah golongan yang gemar memutuskan silaturrahim. Semasa hidupnya mereka suka memulakan pertengkaran dan tidak bertegur sapa lebih daripada 3 hari. Bukankah Rasulullah SAW pernah bersabda, bahawa sesiapa yang tidak bertegur sapa melebihi 3 hari bukanlah termasuk dalam golongan umat baginda," jelas ahli ibadah tersebut.

"Wahai guru, golongan yang keenam yang aku lihat, sewaktu siangnya lahadnya kering kontang. Tatkala malam ketika aku menggali semula kubur itu, ku lihat mayat tersebut terapung dan lahadnya dipenuhi air hitam yang amat busuk baunya,"

"Wahai pemuda, itulah golongan yang memakan harta riba sewaktu hayatnya," jawab ahli ibadah tadi.

"Wahai guru, golongan yang terakhir yang aku lihat, mayatnya sentiasa tersenyum dan berseri-seri pula wajahnya. Mengapa demikian halnya wahai tuan guru?" tanya pemuda itu lagi.

Jawab ahli ibadah tersebut, "Wahai pemuda, mereka itulah golongan manusia yang berilmu. Dan mereka beramal pula dengan ilmunya sewaktu hayat mereka. Inilah golongan yang beroleh keredhaan dan kemuliaan di sisi Allah SWT. baik sewaktu hayatnya mahupun sesudah matinya."

Ingatlah, sesungguhnya daripada Allah SWT kita datang dan kepadaNya jualah kita akan kembali. Kita akan dipertanggungjawabkan atas setiap amal yang kita lakukan, hatta amalan sebesar zarah.

Wallahu a'lam..

Wassalam..

Tuesday, May 31, 2011

Erti Sebuah Tangisan

Bismillahirrahmanirrahim..

Assalamu'alaikum wbt...

Menangislah kamu…

Detik waktu bersama kelahiran seorang bayi dihiasi tangisan. Nyaring berkumandang menghiasi telinga si ibu. Merakah tersenyum hatinya gembira penawar sakit dan lesu serta berjuang dengan maut. Lalu mulailah sebuah kehidupan yang baru didunia dengan sebuah risiko pahit dan kejamnya kehidupan ini, bercucurkan darah dan titis air mata.

Air mata adakalanya penyubur hati, penawar duka. Adakalanya buih kekecewaan yang menhimpit perasaan dan kehidupan ini. Air mata seorang manusia hanyalah umpama air kotor diperlimpahan. Namun setitis air mata kerana takut kepada ALLAH persis permata indahnya gemerlapan terpancar dari segala arah dan penjuru.

Penghuni Syurga ialah mereka yang banyak mencucurkan air mata demi ALLAH dan Rasulnya bukan semata kerana harta dan kedudukan. Pencinta dunia menangis kerana dunia yang hilang. Perindu akhirat menangis kerana dunia yang datang. Alangkah sempitnya kuburku, keluh seorang batil. Alangkah sedikitnya hartaku, kesal si hartawan (pemuja dunia). Dari mata yang mengintai setiap kemewahan yang mulus penuh rakus, mengalirlah air kecewa kegagalan. Dari mata yang redup merenung Hari Akhirat yang dirasakan dekat, mengalirkan air mata insaf mengharap kemenangan, serta rindu akan RasulNya.

“Penghuni Syurga itulah orang-orang yang menang.” (al- Hasr: 20)

Tangis adalah basahan hidup, justeru hidup dimulakan dengan tangis, Dicela oleh tangis dan diakhiri dengan tangis.Manusia sentiasa dalam dua tangisan. Sabda Rasulullah s.a.w. “Ada dua titisan yang ALLAH cintai, pertama titisan darah para Syuhada dan titisan air mata yang jatuh kerana takutkan ALLAH.”

Nabi Muhammad bersabda lagi : “Tangisan seorang pendosa lebih ALLAH cintai daripada tasbih para wali.”

Oleh kerana itu berhati-hatilah dalam tangisan, kerana ada tangisan yang akan mengakibatkan diri menangis lebih lama dan ada tangisan yang membawa bahagia untuk selama-lamanya. Seorang pendosa yang menangis kerana dosa adalah lebih baik daripada Abid yang berangan-angan tentang Syurga mana kelak ia akan bertakhta.

Nabi bersabda : “Kejahatan yang diiringi oleh rasa sedih, lebih ALLAH sukai dari satu kebaikan yang menimbulkan rasa takbur.”

Ketawa yang berlebihan tanda lalai dan kejahilan. Ketawa seorang ulamak dunia hilang ilmu, hilang wibawanya. Ketawa seorang jahil, semakin keras hati dan perasaannya. Nabi Muhammad bersabda : “Jika kamu tahu apa yang aku tahu nescaya kamu banyak menangis dan sedikit ketawa.”

Seorang Hukama pernah bersyair : “Aku hairan dan terperanjat, melihat orang ketawa kerana perkara-perkara yang akan menyusahkan, lebih banyak daripada perkara yang menyenangkan.”

Salafussoleh menangis walaupun banyak beramal, takut-takut tidak diterima ibadatnya, kita ketawa walaupun sedar diri kosong daripada amalan. Lupakah kita Nabi pernah bersabda : “Siapa yang berbuat dosa dalam ketawa, akan dicampakkan ke neraka dalam keadaan menangis.”

Kita gembira jika apa yang kita idamkan tercapai. Kita menangis kalau yang kita cita-citakan terabai. Nikmat disambut ria, kedukaan menjemput duka.

Bukankah Nabi pernah bersabda: “Neraka dipagari nikmat, syurga dipagari bala.”

Menangislah wahai diri, agar senyumanmu banyak di kemudian hari. Kerana engkau belum tahu, nasibmu dihisab kanan atau hisab kiri. Di sana, lembaran sejarahmu dibuka satu persatu, menyemarakkan rasa malu berabad- abad lamanya bergantung kepada syafaat Rasulullah yang dikasihi Tuhan. Kenangilah, sungai-sungai yang mengalir itu banjiran air mata Nabi Adam yang menangis bertaubat, suburlah dan sejahteralah bumi kerana terangkatnya taubat.

Menangislah seperti Saidina Umar yang selalu memukul dirinya dengan berkata: "Kalau semua masuk ke dalam syurga kecuali seorang, aku takut akulah orang itu.”

Menangislah sebagaimana Ummu Sulaim apabila ditanya : “Kenapa engkau menangis?” “Aku tidak mempunyai anak lagi untuk saya kirimkan ke medan Perang,” jawabnya.

Menangislah sebagaimana Ghazwan yang tidak sengaja terpandang wanita rupawan. Diharamkan matanya dari memandang ke langit seumur hidup, lalu berkata “Sesungguhnya engkau mencari kesusahan dengan pandangan itu.”

Ibnu Masud r.a.berkata : “Seorang yang mengerti al Quran dikenali waktu malam ketika orang lain tidur, dan waktu siangnya ketika orang lain tidak berpuasa, sedihnya ketika orang lain sedang gembira dan tangisnya di waktu orang lain tertawa. Diamnya di waktu orang lain berbicara, khusyuknya di waktu orang lain berbangga, seharusnya orang yang mengerti al Quran itu tenang, lunak dan tidak boleh menjadi seorang keras, kejam, lalai, bersuara keras dan marah. Tanyalah orang-orang soleh mengapa dia tidak berhibur : “Bagaimana hendak bergembira sedangkan mati itu di belakang kami, kubur di hadapan kami, kiamat itu janjian kami, neraka itu memburu kami dan perhentian kami ialah ALLAH.”

Wahai diri.. Menangislah di sini, sebelum menangis di sana!

Wassalam..

Monday, May 30, 2011

Perbaiki Solat Kita

Bismillahirrahmanirrahim..

Assalamu'alaikum wbt..

Usai mengintai kalam sahabat2, tiba2 saya terasa ingin melakar sepatah dua bicara, memaksa jari kembali menari2 di atas papan kekunci ini. Minda menerawang memikirkan semua solat yang pernah dilakukan. Hati tertanya, benarkah kita sedang solat dan menyembah ALLAH swt dengan seluruh rasa kehambaan, sedangkan minda seringkali tak lepas2 memikirkan dunia?

Cuba kita fikir, betapa teraturnya duduk seorang pencari kerja, tertib sopan menjawab segala soalan yang diutarakan daripada celah bibir sang penemuduga. Dalam hati, harapan menggunung agar diri diterima bekerja. Tiada hal lain dalam fikiran. Terlalu fokus. Tak sempat memikirkan hal diri, keluarga, cinta dan seumpamanya.

Tapi, bila menghadap Allah SWT, mengapa jiwa tak sepenuhnya mengingati Dia? Mengapa sesetengah kita masih berkesempatan untuk memikirkan dunia? Mengapa tidak menanam harapan agar segala ibadah diterima? Khusyukkah kita?


Firman Allah:

"Sesungguhnya Akulah Allah, tiada Tuhan melainkan aku, oleh itu, sembahlah akan Aku, dan dirikanlah sembahyang untuk mengingati Aku." (Surah Taha : 14 )

Solat itu kita lakukan untuk mengingati dan mendekatkan diri pada Allah. Tapi, apa yang berlaku pada kita? Baru saja angkat takbir, entah ke mana fikiran kita? Melayang jauh. Habis solat, sudah satu dunia kita jelajah agaknya. Kadang2 sempat teringat benda lain, mencari barang hilang atau tersalah letak, fikir hari ni nak makan apa, lepas solat nanti nak buat apa, rasa mengantuk waktu solat, dan macam2 lagi. Apakah makna solat kita andai begitu gayanya? Astaghfirullahal'azim..


Allah berfirman lagi,

"Sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar, dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya), dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.”(Surah al-Ankabut : 45)


Tapi, bagaimana dengan solat yang tidak khusyuk seperti kita?  Rasulullah SAW pernah bersabda, Allah SWT tidak memandang solat seseorang yang hati dan badannya tidak hadir di situ. Baginda juga bersabda:

"Jika solat tidak menghalangi kejahatan dan kemungkaran seseorang, maka bertambah jauhlah dia dari Allah. Dan solat orang yang melambat-lambatkan takkan mencegah kemungkaran dan kejahatan."

Ingin saya berkongsi sesuatu yang saya baca daripada sebuah buku. Mungkin ini dapat membantu memberi jawapan kepada kita tentang cara untuk khusyuk dalam solat.

Dirawikan daripada Hatim Al-Ashom, dia ditanya tentang solatnya. Maka dia menjawab:

"Ketika tiba solat, ku sempurnakan wudhukku, aku pergi ke tempat solat, aku diam sejenak kerana hendak mengumpulkan seluruh jiwaku, lalu ku dirikan solat. Aku jadikan Kaabah dan Allah di depan mataku, titian sirat di bawah tapak kakiku, Syurga di kananku, Neraka di kiriku, Malaikat Maut di belakangku dan ku kira itu solatku yang terakhir. Kemudian, aku berdiri antara berharap dan takut, aku takbir dengan sungguh2, membaca dengan tartil, rukuk dengan tawadhu', sujud dengan khusyuk, tahiyyat awal dan akhir dengan ikhlas dan aku tidak tahu adakah solatku diterima atau tidak."



Subhanallah.. bagaimana pula dengan solat kita? Adakah diterima oleh Allah? Saya tahu, entri sebegini telah banyak dan seringkali dicoret oleh mereka yang prihatin. Jika dicari sabda dan dan firman tentang solat, mungkin tak tersenarai di sini. Jadi, sahabat2 yang saya kasihi, jika kita sedar apa nilai solat kita di mata Allah, maka berubahlah demi redhaNya. Mari sama2 perbaiki solat kita, agar dapat kita menyemai rasa kehambaan yang mendalam pada Pencipta yang Maha Agung, Allah SWT.. Semoga perkongsian ringkas ini dapat menjadi antara wasilah yang dapat membuka mata dan hati kita untuk sentiasa memperbaiki diri. Amin..

“Sesungguhnya berjayalah orang-orang beriman. (Iaitu) mereka yang khusyuk dalam solatnya” (Surah al-Mukminun : 1-2)

Wassalam..

Friday, May 27, 2011

Jom Semak Arah Kiblat 28 Mei 2011



Bismillahirrahmanirrahim..
Assalamu'alaikum wbt..

Arah Qiblat boleh disemak dengan tepat ketika Istiwa A'zam.Penentuan arah qiblat yang tepat sangat penting kerana ia merupakan antara syarat sah solat samada solat fardhu atau sunnat. Jadi umat ISLAM mesti memastikan kedudukan arah qiblatnya tepat mengadap Ka’bah.

Alhamdulillah, setiap tahun ada 2 waktu yang telah ALLAH SWT tentukan kedudukan matahari betul-betul tepat di atas Ka’bah. Fenomena ini dipanggil Istiwa A’zam (Istiwa Utama).

Alhamdulillah, dengan ketentuan ALLAH ‘Azza wa Jalla ini, membolehkan ummat ISLAM di seluruh muka bumi sejak dahulu hingga hari kiamat memeriksa dan menyemak arah qiblat dengan mudah dan tepat. SubhanALLAH…

Bilakah Istiwa A’zam berlaku?


Di Malaysia, waktu berlakunya fenomena ini ialah pada:
  • 28 MEI setiap tahun, tepat pukul 5.16 petang, dan
  • 16 JULAI setiap tahun, tepat pukul 5.28 petang.
Ihsan Falak Online

Apa yang perlu dilakukan untuk menyemak qiblat dengan tepat?

Sebelum

Pastikan jam yang selalu dibuat rujukan oleh tuan/puan mengikuti waktu piawai yang tepat. Untuk menentukan ketepatan waktu, tuan/puan boleh memeriksanya dengan SIRIM atau boleh juga merujuk kepada waktu yang terpapar di televisyen atau radio. Ketepatan waktu yang mengikut piawai adalah penting untuk mendapat hasil yang betul. Justeru, betulkan jam tuan/puan mengikut waktu piawai yang betul.
  • Cari objek lurus yang keras seperti batang kayu, tiang atau pen.
  • Pacakkan objek tersebut secara menegak (bersudut 90°) di atas permukaan yang rata.
  • Pastikan bayang-bayang yang terhasil dari objek tersebut jelas boleh dilihat dengan terang dan jelas.
  • Dan pastikan juga tuan/puan boleh melihat matahari dari kedudukan tempat tuan/puan pacakkan objek lurus tersebut dan tidak terlindung.
  • Tunggu dengan sabar waktu yang disebutkan di atas.

Ketika peristiwa ini berlaku:
  • Perhatikan bayang-bayang yang terhasil dari objek lurus yang dipacakkan tersebut.
  • Arah qiblat adalah arah yang bertentangan dengan jatuhnya bayang-bayang itu. (Rujuk gambar di atas)
  • Tandakan arah qiblat.

Selepas.

Yakinlah bahawa itu merupakan arah qiblat yang tepat.

Bersyukurlah kepada ALLAH subhanahu wata’ala yang telah memberikan peluang untuk tuan/puan memeriksa arah qiblat melalui kaedah ini.

Hadapkanlah tubuh tuan/puan ke arah qiblat tersebut dengan penuh khusyuk ketika solat fardhu dan sunnat.

Mudah-mudahan perkongsian ini bisa memberikan manfaat buat tuan/puan yang mahu mengambil manfaat. Sebarkan, insyaALLAH…

Sumber : tranungkite

Wassalam...

Wednesday, May 25, 2011

Mengejar Cahaya

Bismillahirrahmanirrahim...

Ku berlari dengan nafas lelah
Mengejar cahaya yang menjauh
Dalam pelarian,
Sempat ku mengikir mata akal
Agar tajamnya membunuh khilaf
Semakin subur dalam fikiran..

Ku cuba bernaung
Di bawah himpunan sabda dan firman
Lari dari bara api nafsu
Dan hembusan hasutan syaitan
Saat di qalbu ada perang menawan iman
Dan..
Imanku selalu tewas
Alangkah.. !!

Ku hitung usia yang semakin lunyai
Dikunyah waktu yang lapar
Menatap cermin tamsilan kendiri
Terlihat hanya sekujur tubuh penuh dosa
Mana ruang suci pada inci tubuh hina ini?

Ya Rabb..
Andai diri ini hina di mataMu,
Layakkah kaki ini melangkah di bumiMu?
(T_T)

-Qurratu 'Ain-


Tragedi Hulu Langat

Bismillahirrahmanirrahim..

Assalamu'alaikum wbt..

Salam sejahtera kepada pembaca yang saya kasihi. Apa khabar? Semoga semuanya sihat dan gembira sentiasa. Tapi, dalam kegembiraan itu, jangan lupa pada insan yang sedang bersedih. Mungkin di sini kita ketawa, tapi ingatlah di sana ada yang sedang menangis.

Rasanya semua sudah sedia maklum tentang kejadian tanah runtuh yang berlaku di Rumah Persatuan Anak Yatim Al-Takwa, FELCRA Semungkis, Batu 14, Hulu Langat Selangor baru2 ini. Kejadian yang sangat menyayat hati bukan? 

Di dada2 akhbar, kaca televisyen, corong radio, dan sebagainya setia melaporkan kejadian tersebut kepada kita sehingga ke hari ini. Tiada siapa menyangka 21 Mei 2011 akan menjadi satu tarikh yang penuh tragedi di negara ini, khususnya kepada warga Al-Takwa itu sendiri. 

Firman Allah SWT :
Sungguh akan Kami berikan cubaan kepada kalian, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar. (yaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan: “Inna lillaahi wa innaa ilaihi raaji’uun” (Sesungguhnya kami adalah milik Allah dan hanya kepada-Nya kami kembali) . Mereka itulah orang-orang yang mendapat shalawat dan rahmat dari Tuhan mereka dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk.(Al-Baqarah : 155-157)
Berikut ialah senarai nama penuh mangsa kejadian.
Enam belas yang terkorban ialah :

1) Mohd Kamarul Amizan, 11 tahun
2) Nurahimi Rosdi, 14
3) Dzahir Haziq M. Muin, 11
4) Ahmad Lokman Hakim, 11
5) Farid Ibrahim, 34
6) Mohd Azret Azahari, 8
7) Wan Ahmad Hasril Hazim, 11
8) Zahid Assawal Zamri, 19
9) Mohd Mustakim Mamat, 12
10) Mohd Naerzein M. Nor, 8
11) Mohd Aiman Abdullah, 10
12) Shahrul Nurimran Adnan, 9
13) Mohd Zaid Azahari, 14
14) Mohd Imal Fahad, 9
15) Mohd Riezman Abdul Latif, 9
16) Mohd Hazim Sapri, 10

Sembilan yang terselamat iaitu:

1) Aizat Khusairi, 12
2) M. Allaudin Sobri, 14
3) M. Syatiq Ibrahim, 21
4) Khairul Anuar Nasri, 9
5) M. Harris Izuddin Sahrul, 11
6) Zulkhairi Aminuddin, 13
7) Izzuddin Abdullah, 30
8) Izuan Zakaria, 33
9) Mohd Akmal Mohd Jefri, 10

Di sini saya sertakan beberapa gambar tragedi tersebut. Sukar digambarkan perasaan bila menatap gambar2 ini. Tiada kata yang dapat dilafazkan. Biarlah gambar2 ini yang menceritakan segalanya.

Sekitar kawasan tanah runtuh...



Mangsa kejadian...



Yang terkorban...



Dan.. gambar ini akan hanya tinggal kenangan..


Takziah buat semua hamba Allah yang ditimpa musibah ini. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh mereka, sekaligus mengurniakan ganjaran yang besar untuk yang terkorban dan kepada ahli keluarga yang berkenaan.

Ingatlah, setiap yang berlaku tentu ada hikmahnya. Bersabarlah dengan setiap ujian dan dugaan yang dicubakan ke atas kita. Jangan sesekali menyalahkan takdir atau mempersoalkan ketentuan Allah SWT.

مَا أَصَابَ مِنْ مُصِيبَةٍ إِلَّا بِإِذْنِ اللَّهِ وَمَنْ يُؤْمِنْ بِاللَّهِ يَهْدِ قَلْبَهُ وَاللَّهُ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيم

Bermaksud: Tidak ada suatu musibah pun yang menimpa seseorang kecuali terjadi dengan izin Allah; dan barangsiapa yang beriman kepada Allah niscaya Dia akan memberi petunjuk kepada hatinya. dan Allah Maha mengetahui segala sesuatu.(At-Taghabun :11)
Kepada pembaca, semoga tragedi ini memberi peringatan kepada kita tentang kuasa Allah SWT. Ketahuilah, ajal dan maut akan datang bila2 masa saja bila waktunya telah tiba. Tak siapa tahu. Jadi, mari sama2 bermuhasabah, menginsafi diri dan persiapkan diri kita dengan amalan2 kebaikan sebagai bekalan ke taman abadi..

Wassalam..

Tuesday, May 24, 2011

Gaya Bahasa Dalam Sajak

Bismillahirrahmanirrahim..

Assalamu'alaikum wbt..

Tiba2 pulak tulis entri berkaitan sastera. Kenapa agaknya? Hehe. Sebenarnya.. tadi, saya terasa nak tulis sajak lagi. Atas sebab tu, saya mencari2 sesuatu dengan hujung jari, bertanya pada Pak Cik Google tentang gaya bahasa dalam sajak, nak refresh balik tentang gaya bahasa dalam sajak yang pernah saya belajar zaman2 study dulu. Dah banyak terlupa.. Maklumlah, dah tua. Hee.. Jadi, saya terjumpa sesuatu yang saya rasa nak kongsikan bersama kat sini.



PEMILIHAN DIKSI

Kata Asing

Perkataan asing yang selalu di temui dalam sajak ialah Bahasa Inggeris, Arab, Jawa dan sebagainya. Dalam antologi sajak Cermin Diri .sajak yang bertajuk ‘Kiss of fire' karya Faridah Hamid.

Dalam rangkulan kabus
kuning
merah jambu
putih
kau telah dewasa
indah dan menawan
atas kehebatan namamu
Kiss of fire


Kata Tempatan

Dialek tertentu digunakan penyajak berhubung dengan dirinya atau lingkungannya
Contohnya:
¨ Di bawah pepohon yang limbu

Singkatan ( Sinkof )

Pemilihan kata-kata yang disingkatkan supaya lebih ekonomis dan indah didengar.
Contohnya:
¨ Daun-daun – Dedaun
¨ Jari-jari – Jejari
¨ Pohon-pohon – Pepohon
¨ Matahari – Mentari
¨ Hendak – nak
¨ Mahu – Mau
¨ Akan - kan

Gandaan

Gandaan merupakan kata-kata yang berganda atau berulang-ulang. Tujuannya ialah memberikan penekanan terhadap mesejnya.
¨ Hari-hari
¨ Malam-malam

Onomatopia

Onomatopia berasal dari bahasa Yunani yang bermaksud kata-kata yang digunakan untuk meniru suara atau bunyi yang dihasilkan oleh sesuatu objek, gerak atau manusia.
Contohnya:
¨ Bunyi jam seperti ting, ting, ting

Simbol

Simbol biasanya merujuk kepada kata-kata yang dipilih memberi erti yang lain disebaliknya. Simbol disebut juga lambang.

INGATAN : CONTOH YANG DIBERIKAN DALAM PENGUNAAN SIMBOL TIDAK SEMESTINYA TETAP.

Dari segi Warna.
¨ Merah lambang kepada berani, bahaya, gelora garang dan cemas
¨ Putih lambang kepada suci, bersih, harapan, gembira dan mengaku kalah.
¨ Hitam lambang kepada kotor, durjana, celaka, sengsara, hantu dan noda.

Dari segi Masa
¨ Senja – peralihan dari bahagia kepada sengsara.
¨ Malam – Derita, sengsara, kecewa, putus asa, dan kemusnahan
¨ Pagi – hidup baru

Dari segi Alam.
¨ Embun – Kemurnian dan harapan
¨ Api – perang, bahaya, marah, kejahatan dan cabaran
¨ Laut dan ombak – luas, cabaran
¨ Gagak-gagak hitam – kejahatan
¨ Bunga – wanita, gadis

Disonansi

Disonansi merupakan susunan bunyi yang tidak sama dalam sesuatu perkataan. Bunyi ini berselang-seli dan menghasilkan rentak yang tidak selaras.
¨ Bukit-bukau, bengkang-bengkok dan gunung- ganang dan sebagainya.


FRASA
(Bebarapa patah perkataan atau baris yang digunakan. )

Personifikasi

Satu unsur dalam kesusasteraan yang menggunakan kiasan untuk memberi sifat-sifat manusia sama ada dari segi perasaan, perwatakan mahupun tindak-tanduk kepada objek-objek mati atau kepada binatang, idea atau benda-benda yang abstrak. Hakikatnya ia memanusiakan pekara-pekara yang bukan manusia atau menjadikan sesuatu yang bukan manusia bertindak sebagai manusia biasa. Objek-objek mati, binatang digambarkan berperibadi, mempunyai fikiran dan emosi seperti manusia biasa. ( Mesti ada kata kerja )

Dalam Sajak Pak Tua karya A. Rahim Hamid
¨ Angin laut mendayu sayu
¨ Di gigi air meniti buih

Dalam Sajak Ketika Menjelang Tua karya A.S Isma
¨ Usia memanjat tua
¨ Kaki dan sepatu tua mengheret kami

Contoh yang lain
¨ Pagi yang pekat ingin bercerita
¨ Panas meniti dari jendela

Paradoks

Pandangan atau pernyataan yang bertentangan dengan pendapat yang diterima umum tetapi benar.
¨ Mati dalam hidup
¨ Kanak-kanak ialah bapa kepada manusia.
¨ Benci tapi rindu.
" Engkau bakal melihat dengan memejamkan mata
" Kerana selama jaga kita mimpi


Ambiguiti

Mengandung banyak makna iaitu sesuatu yang memiliki lebih daripada satu pengertian.

Papatung
dalam rumah tua
masih bernyawa
adalah perhiasan
untuk tuntutan zaman.


Patung yang dimaksudkan diatas mungkin memberi maksud patung wayang kulit yang sudah lama atau orang tua yang sudah tidak bertenaga lagi untuk berfikir dan bergerak.


PERBANDINGAN
( Bahasa Kiasan )

Simile
Kiasan perbandingan yang dengan langsung menggunakan perkataan-perkataan seperti, bagai, sebagai, serupa, sama, laksana, macam, semacam, umpama, bak, ibarat dan sebagainya .
¨ Garang seperti singa
¨ Merdu bagai buluh perindu
¨ Engkau bagai dalam sangkar


Metafora

Kiasan perbandingan yang tidak menggunakan kata-kata bandingan seperti, macam, laksana, umpama, dan sebagainya.
¨ Rimba buas ( Keadaan luas yang tidak menjanjikan ketentraman )
¨ Kota ganas ( Keadaan sebuah bandar yang penuh dengan kemodenan dan kehidupan)

Hiperbola

Kiasan yang mengungkapkan kata-kata secara berlebih-lebihan. Ianya bertujuan untuk menegaskan perasaan, pandangan dan pemikiran penyair terhadap sesuatu pekara sama ada ia menyukai atau tidak dengan harapan dapat memberikan gambaran tersebut .
¨ Semut melompat bergoncang bumi
¨ Agas menghirup kering lautan



PERULANGAN

Asonansi

Pengulangan bunyi huruf vokal dalam sesuatu baris sajak sebanyak dua kali atau lebih secara berturutan. Huruf dan bunyi vokal ini biasanya terdapat di tengah-tengah atau di hujung perkataan.

Pagi yang pekat ingin bercerita. ( vokal e)
tentang anak penuh bercinta ( vokal e )
kepada ibu bapa ( vokal a)
dan rumahnya ( vokal a)
Di dalam buku dan kertas serta tinta (vokal a)

Aliterasi

Pengulangan bunyi dan huruf dan huruf konsonan dalam satu baris sajak sebanyak dua kali atau lebih.

Dalam suara damai aku khusyuk dan tawaduk
(pengulangan konsonan d )

Kalau kali ini kau memberi salam
( pengulangan konsonan k)

Anafora

Pengulangan kata-kata pada setiap awal baris dalam satu-satu rangkaps sajak khususnya secara berikutan.
Dalam antologi sajak Cermin Diri sajak yang bertajuk ‘Dunia semakin sempit’ karya Julaihi Abdullah

Ke mana perginya kemanisan
Ke mana perginya kasih sayang
Ke mana perginya kemesraan


Epifora

Pengulangan perkataan di hujung baris dalam satu rangkap sajak secara berturutan sebanyak dua kali atau lebih.

Di depan Mu
Di rumah Mu
Engkau lah penyayang
Engkaulah Pemurah

( Pengulangan Mu )

Sumber : Kredit untuk  Sofian Ahmad

Kepada yang mencari, semoga perkongsian ini membantu.. :)

Wassalam..

Monday, May 23, 2011

Tips Atasi Rasa Marah

Bismillahirrahmanirrahim..

Abu Darda’ berkata: Aku bertanya kepada Rasulullah SAW: Ya Rasulullah, berikan aku suatu petunjuk berupa amalan yang dapat memasukkan diriku ke dalam syurga!

Baginda SAW lalu bersabda: Janganlah engkau marah!

Ja’far bin Muhammad pula pernah berkata: Marah itu adalah kunci semua keburukan. Namun apabila seseorang itu kehilangan kekuatan amarah dan lenyap harga diri secara total atau sama sekali tidak pernah marah untuk membela kebenaran, maka golongan ini dianggap tidak mempunyai akal yang sihat.

Sebagaimana yang diungkapkan oleh Imam Syafie: “Barangsiapa yang tidak marah terhadap sesuatu perkara yang benar (dibenarkan oleh Islam) maka samalah dia seperti seekor keldai”.

Marah yang tercela dapat dilihat tandanya pada diri seseorang seperti wajah dan matanya yang merah, tangan dan badannya yang menggeletar menahan kemarahan, dahi yang berkerut dan sebagainya. Kesimpulannya, andaikata orang yang sedang marah melihat dirinya sendiri pasti akan malu kerana hodohnya rupa orang yang sedang marah.

Seorang yang pemarah akan melahirkan ciri-ciri seperti menggunakan lisannya mengungkap perkataan yang kotor, suka memaki atau mengungkapkan apa sahaja perkataan yang tidak dilafazkan oleh orang yang sihat akalnya.Malah apabila kemarahan memuncak boleh mengakibatkan pergaduhan atau yang lebih buruk melakukan pembunuhan.

Banyak faktor yang menyebabkan kemarahan antaranya ialah sifat ujub, terlalu suka bercanda, berdebat, khianat, cemburu atau bercita-cita tinggi memelihara harta, kekuasaan dan kedudukan.Sikap-sikap tersebut harus dihadapi dengan sikap yang menjadi lawannya. Kemudian diiringi pula dengan usaha melenyapkan unsur-unsur marah seterusnya memutuskan sebab-sebab yang menimbulkan kemarahan.


Bila amarah melanda melanda berusahalah mengatasinya dan cubalah dengan cara berikut:

Pertama : Renungilah ayat al-Quran dan Hadis tentang keutamaan menahan marah, memberi maaf, berlapang dada, dan keutamaan bersabar. Imam Bukhari meriwayatkan dari hadis Ibnu Abbas ra., salah seorang datang meminta izin untuk berjumpa dengan Umar al-Khattab ra dan Umar mengizinkannya. Orang itu berkata, “Ya Ibnul Khattab, demi Allah, anda hanya memberi sedikit kepada kami, anda tidak menghukum di antara kami secara adil...”

Kata-kata itu menimbulkan kemarahan Umar dan hampir-hampir sahaja beliau memukul orang itu. Tiba-tiba, al-Hurr bin Qais berkata, “Wahai Amirul Mukminin, sesungguhnya Allah SWT berfirman kepada Nabi-Nya, “Jadilah kamu pemaaf dan suruhlah orang mengerjakan makruf serta berpalinglah dari orang yang bodoh” (Al-Araf:199).

Setelah dibacakan ayat tersebut, serta merta hilanglah kemarahan Umar lalu beliau berkata: “Lepaskanlah orang itu”.

Khalifah Umar bin Abdul Aziz juga pernah memerintahkan pegawainya agar memukul orang yang melakukan kesalahan namun apabila beliau teringat ayat di atas segera khalifah Umar bin Abdul Aziz membaca firman Allah yang bermaksud: “Orang-orang yang diampuni Allah dan masuk syurga di antaranya ialah orang-orang yang dapat menahan marahnya”. (Ali Imran: 134)

Rasulullah Saw bersabda, “Barangsiapa yang dapat menahan marah sedangkan ia mampu meredakannya, kelak dia akan dipanggil Allah di hadapan seluruh makhluk hingga dipersilakan untuk memilih mana-mana bidadari yang ia inginkan”. (HR Ar Tirmidzi, Abu Daud, Ibnu Majah dan Ahmad)

Kedua: Takutlah akan seksa Allah. Cubalah meredakan kemarahan dengan berkata, “Allah SWT sangat besar kekuasaan-Nya atas diriku. Lebih besar daripada kekuasaan aku kepada orang yang membuatku marah. Jika aku melepaskan kemarahanku kepdanya, aku tidak akan aman daripada kemurkaan Allah pada hari kiamat. Padahal masa masa itu aku amat memerlukan keampunan-Nya”.

Ketiga: Menakut-nakutkan dirinya sendiri akibat permusuhan dan dendam. Sesungguhnya setiap manusia tidak akan terlepas daripada musibah atau bencana. Takutlah dengan musibah dunia apabila tidak takut dengan musibah akhirat. Hal ini dapat menghapuskan penguasaan syahwat yang menguasai marah.

Keempat: Bayangkanlah betapa hodohnya wajah dan bentuk seseorang apabila marah. Bayangkanlah juga bagaimana buruknya diri apabila berubah seperti binatang buas yang marah kerana kelaparan. Sikap ini jauh dari perilaku dan akhlak para Anbiya. Tanyalah pada diri sendiri adakah anda suka menyerupai binatang buas yang tidak berakhlak atau menghiasi diri dengan peribadi mulia?

Kelima: Renung dan fikirkan juga sikap balas dendam yang menimbulkan kemarahan. Adakah kita telah menimbangkan seadil-adilnya sebelum melepaskan kemarahan. Jangan biarkan kata-kata syaitan membisikkan ke dalam jiwa, “Orang ini telah menghinamu, mempermain-mainkan dan merendahkan darjatmu”. Sehingga jiwa manusia menjadi merasa kecil dan terhina di hadapan manusia. Ketika itu hendaklah seseorang berkata kepada jiwanya, “Engkau merasa rendah diri lantaran sikap orang itu sekarang, tetapi tidakkah engkau merasa rendah diri tentang penghinaan pada hari kiamat. Engkau amat berwaspada dengan perasaan hina di hadapan manusia tetapi tidak waspada dengan kehinaan di hadapan Allah, malaikat dan para nabi. Ingatlah bahawa bagaimanapun keadaan marahmu, pastilah Allah akan marah padamu”.


Di atas adalah sebahagian daripada panduan mengatasi marah yang berkaitan dengan hati. Bagi perkara yang berkaitan dengan amal perbuatan pula adalah seperti sebaik-baiknya orang itu diam apabila marah. Sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Apabila kamu marah, maka berdiamlah (jangan bergerak dan jangan bercakap)”. Seterusnya mohonlah perlindungan kepada Allah.

Begitu juga apabila marah melanda, segelah mengubah posisi kedudukan. Jika sedang berdiri, duduklah, dan bila sedang duduk, berbaringlah. Kita juga diperintahkan mengambil wudhuk ketika sedang marah. Hikmah berwudhuk ketika marah telah dinyatakan di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Wa’il, “Kami sedang bersama Urwah bin Muhammad. Tiba-tiba seseorang berkata padanya yang menyebabkan ia hampir pitam. Namun, dia berdiri lalu mengambil wudhuk. Setelah datang lagi beliau berkata, “Ayah saya berkata, dari datukku, ‘Atiyyah, dia berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya marah itu adalah daripada syaitan, yang diciptakan daripada api. Dan apabila salah seorang kamu marah maka berwudhuklah”. (HR Abu Daud, Ahmad dan al-Bhaghawi)

Duduk dan berbaringlah ketika marah pula merupakan sikap yang mengingatkan seseorang dengan tanah, asal dirinya. Dia akan merasa kehinaan hingga muncul sifat tawadhuk kerana sesungguhnya marah itu berasal daripada sombong. Diriwayatkan oleh Abu Sa’id dari Rasulullah SAW, “Barangsiapa yang mendapat sedikit kemarahan, maka hendaklah dia meletakkan pipinya ke tanah”. (HR Tirmidzi, Ahmad, dan al-Baghawi)

Ini adalah sebahagian cara menghindari sikap marah dalam diri. Yakinlah pada pujian Allah terhadap orang-orang yang bersabar dan menahan marah. 

“Orang-orang yang bertaqwa dan mendapatkan syurga di antaranya ialah orang-orang yang dapat menahan amarahnya”. (Ali Imran:134)

Wassalam.

Sunday, May 22, 2011

Sebuah Langkah

Bismillahirrahmanirrahim...

Menyingkap diari perjalanan usia
Melewati langkah penuh pancaroba
Jasad terpalit lumpur noda
Hinanya aku Ya Allah..
Hingga malu menyelubungiku untuk bertemuMu..

Berikan aku peluang
Untuk membasuh jiwa yang keruh
Dikotori segala mazmumah
Dorongan nafsu yang dicakar durjana..

Ya Ghafur..
Permudahkan langkahku agar tak lagi tersasar
Moga sebelum jasadku kaku di penghujung usia
Sempat ku melangkah ke pintu taubat itu
Menagih keampunanMu..

-Qurratu 'Ain-

Wednesday, May 18, 2011

Hidup Kita Hanya Satu Jam?

Bismillahirrahmanirrahim..

Assalamu'alaikum wbt..
Nisbah Hari Dunia : Hari Akhirat

Firman Allah,

و إن يوما عند ربك كألف سنة مما تعدّون

Dan sesungguhnya satu hari (mengikut perhitungan) Tuhanmu adalah seperti 1000 tahun mengikut perkiraanmu. (Surah al-Haj ayat 47)- Rujuk juga ayat 5 surah as-Sajdah.


Hidup kita di dunia ini tidak lama. Cuba kita hitung nisbah hari dunia dan akhirat,

1 hari akhirat = 1000 tahun dunia mengikut perkiraan kita

Satu tahun di dunia biasa 365 hari. Cuba kita darabkan. 1000 x 365 = 365000 hari

Bermakna satu hari akhirat = 365000 hari dunia

Cuba kita andaikan, jika 1 hari akhirat juga ada 24 jam.

Bermakna, setiap jam akhirat adalah - 1000 tahun / 24 = 41.7 tahun dunia.

Umur umat akhir zaman adalah lebih kurang 60 ke 70 tahun sahaja, atau HANYA satu jam lebih mengikut perhitungan akhirat.

Hakikat Kehidupan Dunia


Firman Allah,

و ما الحياة الدنيا إلا لعب و لهو و للدار الأخرة خير للذين يتقون أفلا تعقلون

Dan tiadalah kehidupan dunia ini melainkan main-main dan senda gurau belaka. Dan sesungguhnya negeri akhirat itu adalah terlebih baik bagi orang yang bertaqwa. Maka tidakkah kamu memahaminya? (Surah al-An'am ayat 32)

و ما الحياة الدنيا إلا متاع الغرور

Dan tiadalah kehidupan dunia itu melainkan kesenangan yang memperdayakan. (Surah Ali Imran ayat 185 )

أرضيتم بالحيوة الدنيا من الأخرة فما متاع الحيوة الدنيا في الأخرة إلا قليل

Apakah kamu puas dengan kehidupan dunia sebagai ganti kehidupan di akhirat? Padahal kenikmatan hidup di dunia ini (dibandingkan dengan kehidupan) di akhirat hanyalah sedikit. (Surah at-Taubah ayat 38)



Terdapat banyak lagi ayat yang Allah jadikan ia sebagai peringatan kepada kita agar tidak terpedaya dengan muslihat dan tipudaya dunia.

Namun jangan pula kita menyangka bahawa untuk kejar akhirat, kita harus tinggalkan pekerjaan, tinggalkan bermuamalah, bergaul dengan sahabat handai dan sebagainya dan hanya duduk di tikar sejadah dan memegang tasbih sepanjang masa. Islam adalah agama yang sempurna, melengkapi keperluan ukhrawi dan duniawi. Kita sebagai manusia yang dikurniakan akal, harus matang dalam membahagikan masa antara ibadah dan muamalah sesama manusia.

Persoalannya

Berapa banyakkah persediaan yang telah kita lakukan untuk ke sana?

Berapa banyakkah masa yang terbuang begitu sahaja tanpa diisi perkara atau amalan
yang bermanfaat?

Fikir-fikirkanlah!

Sumber : Daripada seorang sahabat. Terima kasih untuk perkongsian yang sangat bermakna ini. :)

Wassalam..
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...