Friday, November 30, 2012

Hidup Ibarat Roda

Bismillahirrahmanirrahim..

Assalamu'alaikum wbt..

Bila hari gelap bertukar terang, mentari pun mula bersinar cemerlang...
Lama sudah tangan ini tidak menari. Kalau ditari pun cuma diatas kertas kajang yang kemudian direnyuk-renyuk kerana ketandusan idea. Hari ini cuma ingin berkongsi secebis pengalaman hidup.
Saudaraku,
dalam liku ada lurusnya,
dalam pahit ada manisnya,
dalam futur ada bangunnya,
dan apabila kita melangkah, dengan izin Allah semuanya jadi nyata.
Semalam anda mungkin bersedih, rasa tiada sesiapa untuk dituju, rasa seolah-olah dunia ini terlalu sempit untuk bersembunyi, rasa bumi tidak lagi berbumbungkan langit, rasa keseorangan dan tiada kawan-kawan yang memahami, rasa andalah yang paling susah dalam dunia, dan mungkin juga semalam anda berasa anda seorang yang tidak berguna, dan anda tidak dapat menyumbang apa-apa.
Saudaraku,
dalam susah ada senangnya,
dalam sedih ada gembiranya,
Allah menguji tanda sayang pada hamba-Nya...
Begitulah warna-warna kehidupan. Ia langsung tidak pelik dan bukan pun ajaib. Allah sentiasa memberi kita ujian dari kanan dan kiri, depan dan belakang hanya untuk menguji dan menolong kita untuk menghadapi esok kerana hanya Allah yang tahu betapa hari esok itu lebih sukar buat kita dan ujian hari ini adalah untuk menguatkan jiwa-jiwa kita. Mengajar kita menjadi lebih teguh, mengasah bakat-bakat kepimpinan diri sendiri yang mungkin belum kita kuasai dan sesungguhnya Allah yang Maha Bijaksana.

Inilah yang biasa saya alami. Jatuh bangun dalam kehidupan buat saya jadi lebih matang dalam berfikir dan menilai sesuatu. Siapa sangka kalau semalam saya terasa seolah-olah hilang segala-galanya, tetapi hari ini Allah kurniakan anugerah berlipat-ganda. Sungguh benar firman Allah:
"Bersama kesusahan ada kesenangan, Sesungguhnya bersama kesulitan ada kesenangan." (Al-Insyirah :5-6)
Sewaktu datangnya susah, telinga seakan-akan tuli, hati menjadi buta dan mata tak nampak apa-apa. Telinga seperti tidak pernah mendengar bahawa Allah sentiasa memujuk kita dengan firman-Nya,
"Dan janganlah kamu merasa lemah, dan jangan (pula) bersedih hati, sebab kamu paling tinggi (darjatnya), jika kamu orang beriman." (Ali-Imran :139)
"Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya." (Al-Baqarah : 286)
Masha Allah, damainya jiwa bila membaca ayat-ayat cinta daripada Kekasih Hati. Sungguh akan hilang sendu dan senyum pun menguntum, bahagia bersemi dan damai pun bertandang. Itulah ayat-ayat Allah dalam Al-Quraanul Karim. Kita sering terlepas pandang, dalam kesibukan melalui hari-hari penuh mehnah.

Kita terlupa untuk menghayati pesanan-pesanan daripada Allah dan ingatan-ingatan daripada Rasulullah. Tapi percayalah, saat hatimu gersang dengan kemarau cinta dunia, siramlah ia dengan zikrullah dan bacaan-bacaan al-Quran agar hatimu basah dengan cinta akhirat. Kembali kepada fitrah dan asalmu. Engkau hidup bukan untuk dunia, tetapi dunia ini cuma penerus hidup untuk ke akhirat sana. Tidak berbaloi saudaraku untuk kita menjadi gila di dunia sementara. Gila materi, gila kuasa, gila pangkat, gila nama, gila glamour dan sebarang gila lagi. Entah apa yang kita kejar sebenarnya dengan kegilaan-kegilaan itu. Semuanya memenatkan hati dan menyesakkan otak yang sedia sendat dengan masalah-masalah dunia yang tidak putus-putus.

Maka mari kita celik hati. Bukan saja kena celik IT, tapi celik mata hati itu sendiri. Lihat betapa dunia ini luas dan anda tidak pernah bersendiri. Kerana firman Allah,
"Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu (Muhammad) tentang Aku, maka sesungguhnya Aku dekat. Aku kabulkan permohonan orang yg berdoa apabila dia berdoa kepadaKu. Hendaklah mereka itu memenuhi (perintah)Ku dan beriman kepadaKu, agar mereka memperoleh kebenaran." (Al-Baqarah : 186)
Betapa Allah sentiasa ada bersama kita. Allah sudah berjanji akan mengabulkan semua doa-doa kita jika kita taat pada-Nya. Maka perkataan siapakah yang lebih benar selain Allah? Oleh itu saudaraku, jangan kalian patah hati, pandang rendah pada diri sendiri, hilang visi dan misi dan meratap sendu setiap hari.


Tiada gunanya semua itu. Jadi sekarang tukar mood anda. Buang yang keruh, ambil yang jernih. Jual kereta lama, jom pandu kereta baru. Ubah suasana, mari melihat dan megkagumi kebesaran Allah pada alam ciptaan-Nya. Kita semua adalah amazing! We can do beyond the norm! Ingat tu, kita adalah amazing people! Sudahlah fikirkan hari semalam, mari mulakan hidup baru.

Mari memaknakan hidup saudaraku!!!

Wassalam.

~iluvislam~

Sunday, November 11, 2012

Tutup Buku Lama, Buka Buku Baru 1434H

Bismillahirrahmanirrahim..

Assalamu’alaikum wbt..

Tinggal beberapa hari sahaja, kita akan melangkah setapak lagi ke hadapan, menuju tahun baru Islam 1434 H. Hari ini, di kelapangan ini, saya mengambil kesempatan untuk melakar sedikit coretan sebagai penutup tirai 1433 H

Biasanya, orang jarang nak ingat tahun baru dalam kalendar Islam ni. Yang orang selalu ingat,  kalendar omputeh. Tak lama lagi 2013 kan.. Tengok je lah nanti, macam mana agaknya sambutan tahun baru 2013 yang akan datang.

Sebut saja tahun baru, selalunya orang akan tanya, “Apa azam tahun ni?” Macam2 bermain dalam kepala tatkala diajukan soalan itu. Tertanya juga di hati, setiap tahun mencipta azam, tapi sejauh mana azam itu tercapai? Hmm.. tak apalah, yang penting semangat tu ada kan.

Setiap kali berada di akhir tahun, saya akan kembali mengenang tahun yang berlalu. Apa hasil yang saya dapat sepanjang tahun ini? Sejauh mana saya menghambakan diri pada Allah dengan erti kehambaan yang sebenar? Berapa banyak amalan yang telah saya kumpul sebagai bekalan ke alam baru? Pelbagai persoalan muncul tapi sayangnya, soalan2 itu terbiar sebagai persoalan semata-mata. Allah.. lemahnya jiwa ini..

Tahun baru yang bermula, menandakan usia yang bertambah angkanya, tapi semakin singkat perjalanannya. Atau mungkin menandakan saat kematian yang semakin hampir. Kita hanya mampu mengira usia yang telah berlalu, tapi kita sama sekali tak tahu berapa usia kita yang tinggal bukan? Jadi, bersiap sedialah menghadapi saat terakhir kehidupan.

Teringat kata2 penyair Arab yang bunyi dan maksudnya lebih kurang begini,
“Kamu adalah rangkaian dari hari-hari. Jika satu hari telah berlalu, maka akan berkurang umur kamu.”
Bila terkenang masa yang berlalu, alangkah sayang dan ruginya. Terlalu banyak masa itu disia-siakan. Meletakkan dunia di tempat yang lebih tinggi daripada akhirat. Melabuhkan cinta kepada dunia melebihi cinta pada Sang Pencipta yang agung. Memikirkan dunia lebih banyak daripada memikirkan kehidupan selepasnya. Dunia.. dunia.. untuk apa terlalu memikirkannya, sedangkan dunia itu hanya tempat persinggahan sementara untuk mengutip bekalan ke sana?

Bukan itu saja, masa yang berlalu mungkin ditemani hitungan dosa yang terhimpun, Astaghfirullah.. banyak manakah pahala dikumpul jika dibandingkan dengan dosa yang semakin merimbun?

Namun begitu..  Allah swt telah berfirman dalam sebuah hadis qudsi :
“ Wahai anak Adam! Sekiranya engkau berdoa dan memohon keampunan dariKu, maka akan Aku ampunkan segala dosa-dosamu. Wahai anak Adam! Sekiranya dosa-dosa yang telah engkau lakukan menggunung setinggi langit kemudian kau memohon keampunan dariku, maka akan Aku ampunkan dosa-dosamu. Wahai anak Adam! Sekiranya kau datang kepadaku dengan dosa sebanyak seisi dunia dan kau tidak mensyirikkan Aku dengan sesuatu, maka akan Aku datangkan padamu maghfirahku sebanyak seisi dunia”.
Nah, begitu firman Allah SWT. Apa tindakan kita? Hanya baca dan terus sia-siakan kasih sayangNya yang maha Agung? Atau apa?

Tahun 1434 H, saya mengharapkan yang terbaik. Jauh di sudut hati, masih tertanam azam yang tinggi untuk menjadi hamba Allah, anak, adik, kakak, sahabat dan saudara yang jauh lebih baik daripada sekarang. Cuma bila godaan nafsu dan syaitan cuba mencelah mematahkan jalan, itulah yang menjadi halangan untuk mencapai apa yang diazamkan. InsyaAllah dikuatkan hati untuk menentang godaan2 itu..  Ya Allah, jadikan kami lebih baik, lebih baik dan lebih baik dari hari ke hari..


 Sebelum mengundur diri.. Saya nak mengambil peluang ni untuk ucapkan Salam Awal Muharram dan Selamat Tahun Baru 1434 H buat semua, khususnya yang beragama Islam. Moga tahun baru yang menjelma ini jadi tahun penuh rezeki dan rahmat Ilahi buat kita. Aminn..

Setakat ini dulu. Moga bertemu semula di tahun baru.. Maaf atas segala khilaf. Wassalam..

:: Jangan lupa baca doa akhir tahun dan awal tahun nanti ek.. ::

Wednesday, November 7, 2012

Bukti Keimanan Insan

Bismillahirrahmanirrahim..

Assalamu'alaikum wbt..

AL-HAKIM meriwayatkan, al-Qamah bin Haris berkata: “Aku datang kepada Rasulullah dengan tujuh orang daripada kaumku.

Kemudian setelah kami beri salam dan beliau tertarik sehingga beliau bertanya: “Siapakah kamu ini?”
Jawab kami: “Kami adalah orang beriman.”

Kemudian baginda bertanya: “Setiap perkataan ada buktinya, apakah bukti keimanan kamu?”

Jawab kami: “Buktinya ada lima belas perkara. Lima perkara yang engkau perintahkan kepada kami, lima perkara yang diperintahkan oleh utusanmu kepada kami dan lima perkara yang kami terbiasakan sejak zaman jahiliah?”
 Tanya Nabi: “Apakah lima perkara yang aku perintahkan kepada kamu itu?”

Jawab mereka: “Kamu perintahkan kami untuk beriman kepada Allah, percaya kepada malaikat-Nya, kitab-Nya, rasul-Nya, percaya kepada takdir Allah yang baik mahupun yang buruk.”

Selanjutnya tanya Nabi: “Apakah lima perkara yang diperintahkan oleh para utusanku itu?”

Jawab mereka: “Kami diperintahkan oleh para utusanmu untuk bersaksi bahawa tidak ada Tuhan selain Allah dan engkau adalah utusan Allah, hendaknya kami mendirikan solat wajib, mengerjakan puasa di bulan Ramadan, menunaikan zakat dan berhaji bila mampu.”

Tanya Nabi selanjutnya: “Apakah lima perkara yang kamu masih terbiasakan sejak zaman jahiliah?”

Jawab mereka: “Bersyukur di waktu senang, bersabar di waktu kesusahan, berani di waktu perang, reda pada waktu kena ujian dan tidak merasa gembira dengan sesuatu musibah yang menimpa pada musuh.”

Mendengar ucapan mereka yang amat menarik ini, maka Nabi berkata: “Sungguh kamu ini termasuk di dalam kaum yang amat pandai sekali dalam agama mahupun dalam tatacara berbicara. Hampir saja kamu ini serupa dengan para Nabi dengan segala macam yang kamu katakan tadi.”


Kemudian Nabi selanjutnya berkata: “Mahukah kamu aku tunjukkan kepada lima perkara amalan yang akan menyempurnakan dari yang kamu punyai?
Janganlah kamu mengumpulkan sesuatu yang tidak akan kamu makan. Janganlah kamu mendirikan rumah yang tidak akan kamu tempati, janganlah kamu berlumba-lumba dalam sesuatu yang bakal kamu tinggalkan, berusahalah untuk mencari bekal ke dalam akhirat.”
Wassalam.. :
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...