Monday, May 30, 2011

Perbaiki Solat Kita

Bismillahirrahmanirrahim..

Assalamu'alaikum wbt..

Usai mengintai kalam sahabat2, tiba2 saya terasa ingin melakar sepatah dua bicara, memaksa jari kembali menari2 di atas papan kekunci ini. Minda menerawang memikirkan semua solat yang pernah dilakukan. Hati tertanya, benarkah kita sedang solat dan menyembah ALLAH swt dengan seluruh rasa kehambaan, sedangkan minda seringkali tak lepas2 memikirkan dunia?

Cuba kita fikir, betapa teraturnya duduk seorang pencari kerja, tertib sopan menjawab segala soalan yang diutarakan daripada celah bibir sang penemuduga. Dalam hati, harapan menggunung agar diri diterima bekerja. Tiada hal lain dalam fikiran. Terlalu fokus. Tak sempat memikirkan hal diri, keluarga, cinta dan seumpamanya.

Tapi, bila menghadap Allah SWT, mengapa jiwa tak sepenuhnya mengingati Dia? Mengapa sesetengah kita masih berkesempatan untuk memikirkan dunia? Mengapa tidak menanam harapan agar segala ibadah diterima? Khusyukkah kita?


Firman Allah:

"Sesungguhnya Akulah Allah, tiada Tuhan melainkan aku, oleh itu, sembahlah akan Aku, dan dirikanlah sembahyang untuk mengingati Aku." (Surah Taha : 14 )

Solat itu kita lakukan untuk mengingati dan mendekatkan diri pada Allah. Tapi, apa yang berlaku pada kita? Baru saja angkat takbir, entah ke mana fikiran kita? Melayang jauh. Habis solat, sudah satu dunia kita jelajah agaknya. Kadang2 sempat teringat benda lain, mencari barang hilang atau tersalah letak, fikir hari ni nak makan apa, lepas solat nanti nak buat apa, rasa mengantuk waktu solat, dan macam2 lagi. Apakah makna solat kita andai begitu gayanya? Astaghfirullahal'azim..


Allah berfirman lagi,

"Sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar, dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya), dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.”(Surah al-Ankabut : 45)


Tapi, bagaimana dengan solat yang tidak khusyuk seperti kita?  Rasulullah SAW pernah bersabda, Allah SWT tidak memandang solat seseorang yang hati dan badannya tidak hadir di situ. Baginda juga bersabda:

"Jika solat tidak menghalangi kejahatan dan kemungkaran seseorang, maka bertambah jauhlah dia dari Allah. Dan solat orang yang melambat-lambatkan takkan mencegah kemungkaran dan kejahatan."

Ingin saya berkongsi sesuatu yang saya baca daripada sebuah buku. Mungkin ini dapat membantu memberi jawapan kepada kita tentang cara untuk khusyuk dalam solat.

Dirawikan daripada Hatim Al-Ashom, dia ditanya tentang solatnya. Maka dia menjawab:

"Ketika tiba solat, ku sempurnakan wudhukku, aku pergi ke tempat solat, aku diam sejenak kerana hendak mengumpulkan seluruh jiwaku, lalu ku dirikan solat. Aku jadikan Kaabah dan Allah di depan mataku, titian sirat di bawah tapak kakiku, Syurga di kananku, Neraka di kiriku, Malaikat Maut di belakangku dan ku kira itu solatku yang terakhir. Kemudian, aku berdiri antara berharap dan takut, aku takbir dengan sungguh2, membaca dengan tartil, rukuk dengan tawadhu', sujud dengan khusyuk, tahiyyat awal dan akhir dengan ikhlas dan aku tidak tahu adakah solatku diterima atau tidak."



Subhanallah.. bagaimana pula dengan solat kita? Adakah diterima oleh Allah? Saya tahu, entri sebegini telah banyak dan seringkali dicoret oleh mereka yang prihatin. Jika dicari sabda dan dan firman tentang solat, mungkin tak tersenarai di sini. Jadi, sahabat2 yang saya kasihi, jika kita sedar apa nilai solat kita di mata Allah, maka berubahlah demi redhaNya. Mari sama2 perbaiki solat kita, agar dapat kita menyemai rasa kehambaan yang mendalam pada Pencipta yang Maha Agung, Allah SWT.. Semoga perkongsian ringkas ini dapat menjadi antara wasilah yang dapat membuka mata dan hati kita untuk sentiasa memperbaiki diri. Amin..

“Sesungguhnya berjayalah orang-orang beriman. (Iaitu) mereka yang khusyuk dalam solatnya” (Surah al-Mukminun : 1-2)

Wassalam..

4 comments:

  1. Sama-samalah kita pelihara solat kita. Firman Allah SWT dalam surah Al Mukminuun, ayat 9-11:

    “ dan orang-orang yang memelihara sembahyangnya(9), Mereka itulah orang-orang yang akan mewarisi (10) (ya'ni) yang akan mewarisi syurga Firdaus. Mereka kekal di dalamnya (11)”

    ReplyDelete
  2. Btul tu, moga solat kita diterima.. Amin.. :)

    ReplyDelete
  3. same2 kita perbaiki solat kite~

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...