Wednesday, February 2, 2011

Antara CINTA dan RASA

Bismillahirrahmanirrahim…

Assalamu'alaikum wbt..

Rasa bukan bermakna cinta. Ada ketikanya kita perlu rasional dengan diri kita sendiri. Apabila orang sudah nyata rasa menyampahnya pada kita, itulah waktunya untuk kita melangkah pergi. Kita boleh bertahan pada rasa kita, tetapi kita juga perlu sedar rasa dia pada kita. Setelah dia menyatakan betapa dia tidak memerlukan kita lagi dalam hidupnya, itulah masanya untuk melangkah pergi.

Anda boleh bertahan pada cinta agung, tetapi kecintaan agung tiada ertinya tanpa penyambut. Cinta agung itu bermaksud dua insan satu rasa. Anda mencintainya dan dia juga mencintai anda. Saling memerlukan, saling memahami, saling memberi dan menerima, saling mengucap kata-kata indah, saling mengerti dan saling rasa diperlukan. Itulah cinta. Tanpa detik-detik seperti ini ia bukanlah cinta.

Usah keliru dengan perhatian yang diberikan. Itu biasa. Cinta berbeza dan ia berkait soal hati. Apabila cinta telah berputik ia ada rasa yang sukar diungkap, sukar dimengerti dan sukar dikembalikan kepada asal dan ia bersambut. Jika tidak disambut ia bukan cinta tapi sekadar rasa.

Rasa dirasai oleh semua orang. Para peminat artis mempunyai satu rasa tapi bukanlah cinta. Maka itu, para peminat masih terkawal dan memuja dari jauh. Meskipun tanpa sambutan mereka tetap meminati. Berbeza dengan cinta, apabila tidak bersambut ia sangat menyakitkan. Dengan rasa maka terdetiklah rasa sayang antara seseorang dengan seseorang. Itu pun belumlah cinta namanya. Cinta adalah langkah terakhir dalam rentetan perasaan. Selagi belum mendapat maklum balas yang diistilahkan sebagai mukadimah cinta, usahlah menggunung cinta di hati, kelak anda kecewa melihat dia hanyalah rasa sedangkan anda telah cinta.

Kita boleh ada rasa pada sesiapa sahaja. Ia biasa pada semua orang. Jika anda seorang pelajar dan ada rasa pada guru atau pensyarah, itu biasa dan bukanlah salah. Anda boleh rasa pada perdana menteri, ia bukanlah pelik sebab kita memang mudah mempunyai rasa pada siapa-siapa yang kita kagumi. Anda perlu lakukan sesuatu untuk mengetahui apakah rasa yang anda rasa juga rasa yang dia rasa. Jika anda tiba-tiba berasa rindu lalu menghantar SMS, tidak lama kemudian anda mendapat balasan, itu mungkin menggambarkan ada rasa yang sama-sama berputik. Anda boleh terus menguji, tapi awas kadang-kadang anda akan teruji dan teruja.

Proses hingga cinta dapat disemai adalah satu proses yang panjang dan berliku. Kadang-kadang ia berduri dan tajam bagai sembilu. Sebelum satu-satu cinta dapat dinikmati bersama, anda akan berdepan dengan pelbagai cabaran. Memanglah, kadang-kadang sesuatu yang manis di hujungnya cukup pahit pada awalnya. Beruntunglah orang yang dapat membina cinta pada pandangan pertama. Mereka adalah orang yang sangat bertuah sebab cinta bukanlah suatu benda tapi perasaan penuh ilusi, tersembunyi di balik kata-kata, tindakan dan pendirian.

Jika anda mendapat cinta tanpa perlu bersusah-payah ketahuilah jambatan anda mungkin lurus dan pendek. Ada orang jambatan cintanya panjang dan berliku serta banyak lubang. Dia selalu terjerumus sebelum sampai ke penghujung. Jika anda ada rasa dan mahu ia berakhir sebagai cinta, maka, duga, uji, ramal dan buat persepsi hingga anda yakin rasa itu turut dimilikinya. Jika anda merasakan rasa itu turut ada di hatinya, maka terus pupuk hingga timbul sayang dan cinta. Jika anda ragu-ragu, kurang percaya dan sekali sekala teruja dan teruji, maka serahkan kepada TUHAN yang mampu mengubah hati.


Lakukan sembahyang hajat dan mohon ALLAH letakkan hati anda dalam hatinya. Niatkan untuk ke jinjang pelamin dan berdoalah selalu,
“Ya ALLAH, andainya dia baik untuk aku demi duniaku dan akhiratku, maka satukanlah kami dalam istilah cinta yang akan berakhir dalam perkahwinan, andainya dia tidak baik untuk aku demi duniaku dan akhiratku, maka pisahkanlah kami dalam istilah persahabatan dan persaudaraan Islam.”
Selamat bercinta untuk cemerlang bukan bercinta untuk temberang dan tembelang.

Oleh Dr. HM Tuah Iskandar Al-Haj

:: Tiada cinta seagung cinta Illahi.. Subhanallah… ::

Wassalam..

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...