Thursday, February 10, 2011

Kesabaran

Bismillahirrahmanirrahim.
.
Assalamu’alaikum wbt..

Sabar adalah menahan diri dan membawanya kepada yang dituntut oleh syara’ serta menghindarinya dari yang dilarangnya. Jadi sabar ialah suatu kekuatan daya yang mendorong jiwa untuk menunaikan kewajipan. Disamping itu sabar adalah suatu kekuatan atau daya yang menghalangi seseorang untuk melakukan kejahatan.

Imam Ghazali dalam perkara ini menjelaskan:
“Sabar ialah tetap tegaknya dorongan agama ketika berhadapan dengan dorongan hawa nafsu. Dorongan agama ialah hidayah Allah kepada manusia untuk mengenal-Nya, Rasul-Nya serta untuk mengetahui dan mengamalkan ajaran-Nya serta perkara-perkara yang berkenaan dengan akibatnya. Sabar iaitu sifat yang membedakan manusia dengan binatang dalam hal menundukkan hawa nafsu. Sedangkan dorongan hawa nafsu ialah tuntutan syahwat dan keinginan yang meminta dilaksanakan.”
Allah SWT kadangkala melaksanakan hukuman di dunia ini dengan memberikan ujian dan cubaan dalam bermacam bentuk, seperti:

1. Cubaan badaniah dan rohaniah yang berupa penyakit, luka, cacat pandangan salah satu anggota tubuh, rasa susah, gelisah, resah, duka cita, rasa tidak aman dan lain-lain.

2. Cubaan melalui kekayaan, seperti kehilangan, kebakaran, kekurangan, rosak dan sebagainya.

3. Cubaan melalui anak dan keluarga, seperti sakit, gila, lumpuh dan lain-lain.

Semua ujian dan cubaan tersebut mungkin terjadi kerana:

a. Hasil undangan dan kedurhakaan manusia sendiri, hasil usaha perbuatan dan kelakuannya sendiri yang dihukum di dunia ini oleh Allah sebagai pembalasan langsung dan dosa-dosanya itu. Kemungkinan ini dapat terjadi sebagai tanda kasih sayang-Nya untuk menghapus dosa kedurhakaannya di dunia ini dan ia akan keluar dan dunia ini dalam keadaan suci bersih. Kemungkinan lainnya ialah untuk meninggikan martabatnya, baik di dunia mahupun akhirat, iaitu apabila ia tidak mempunyai dosa yang harus mendapatkan hukuman.

b. Takdir Allah sendiri untuk menguji hamba-hambanya secara terus-menerus dirundung malang , dan nanti akan diganti di akhirat dengan rahmat dan keredhaan-Nya.

Apabila seseorang itu menghadapi cubaan dan penderitaan itu dengan redha, ikhlas dan mencari jalan keluar dengan cara yang sebaik-baiknya, tidak mengeluh, tidak gelisah dan sebagainya, maka Allah SWT pasti akan memudahkan baginya urusan hisabnya di hari akhirat. Allah akan segera membalas segala pahalanya, memberkati kehidupannya sehingga timbangannya tidak berat kepada kejahatan, tetapi akan berat kepada ketaatan dan pahala, yang kesudahannya akan masuk syurga. Begitu juga Allah SWT tidak akan memberikan buku catatan amalnya serta membukakan rahsianya dihadapan orang ramai.

Dalam keterangan yang lain pula di jelaskan bahawa sabar itu ada lima macam, iaitu:

1. Sabar dalam beribadah, ialah tekun mengendalikan dan melaksanakan syarat-syarat dan rukunnya.

2. Sabar ketika di timpa malapetaka atau musibah, ialah teguh hati ketika ditimpa musibah (cubaan atau ujian) baik yang berbentuk kemiskinan, kematian, diserang penyakit dan sebagainya.

3. Sabar terhadap kehidupan dunia, ialah sabar terhadap tipu daya dunia, tidak terlalu terpaut terhadap kenikmatan hidup di dunia ini dan tidak menjadikan kehidupan dunia sebagai tujuan, tetapi hanya sebagai alat untuk mempersiapkan diri menghadapi kehidupan yang kekal.

4. Sabar terhadap maksiat, ialah mengendalikan diri supaya tidak berbuat maksiat. Sabar terhadap maksiat ini bukan sahaja berkenaan dengan diri sendiri, tetapi juga berkenaan dengan diri orang lain. Iaitu berusaha supaya orang lain juga jangan sampai terjatuh ke jurang kemaksiatan, dengan melakukan amal ma’ruf nahi mungkar (mengajak manusia melakukan kebaikan dan mencegahnya dan perbuatan yang salah serta buruk).

5.Sabar dalam perjuangan, ialah menyedari sepenuhnya bahawa setiap perjuangan mengalami masa pasang surut, masa menang dan masa kalah.Sedangkan sabar dalam bentuk rohaniah itu terbagi pula kepada beberapa macam:

a. Iffah, iaitu sabar menahan nafsu dan syahwat.

b. Tasamuh, iaitu menahan diri dan lapang dada dalam menghadapi lawan.

c. Kitman, iaitu menahan diri dan memelihara rahsia, baik rahsia sendiri mahupun rahsia orang lain apa lagi rahsia suami sendiri.

d. Zuhud, iaitu menahan diri dan godaan keduniaan dalam usaha memperoleh kebahagiaan di akhirat.

e. Qana’ah, iaitu menahan diri dan hidup berlebih-lebihan dan merasa puas dengan kehidupan yang sesuai dengan hasil usaha.

Wallahu’alam..


Assobru minal iman.. Jadi, banyak2 lah bersabar ya? (^_*)

Wassalam..

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...