Monday, December 31, 2012

Perginya 2012

Bismillahirrahmanirrahim..

Assalamu'alaikum wbt..

Pejam celik, pejam celik, pejam celik.. masih pejam celik lagi? Sudahlah tu.. Hehe. Cuma nak cakap, antara sedar dan tak sedar, rupa-rupanya kita sudah tiba ke penghujung tahun 2012. Cepatnya masa berlalu kan? Tak terasa tahun 2013 akan menjenguk kita pada esok hari.

Hurm.. Macam mana dengan azam tahun 2012? Dah tercapai semua? Kalau dah, Alhamdulillah.. tahniah. Semoga segala azam yang tercapai tu hanyalah perkara-perkara baik, bukan perkara yang terlarang dan tak mendatangkan kebaikan langsung kepada diri, agama, masyarakat dan negara. Ok?

So.. bagaimana dengan persediaan menuju tahun baru? Ada azam baru lagi ke? Kalau azam yang lepas tu belum tercapai, selesaikan yang tu dulu ye. Jangan hanya menyenaraikan azam panjang berjela, tapi satu pun tak terlaksana.

Sebenarnya, tahun baru adalah saat yang tepat untuk berhijrah melakukan perubahan paradigma dan pola fikir, serta perubahan sikap dan tingkahlaku ke arah kebaikan, untuk mengharap dan menggapai redha Ilahi. Bukan saat terbaik untuk berpesta meraikan tahun baru secara besar-besaran dan melalaikan diri tanpa sebarang makna pengabdian diri kepada yang Maha Esa.

Allah SWT berfirman,
"Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kalian kepada Allah, dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang telah disiapkan untuk hari esok (akhirat), dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kalian kerjakan." (QS 59: 18)
 
Khalifah Umar Al-Khattab menyatakan,
"Hitunglah diri kalian sebelum kalian dihitung. Timbanglah amal kalian sebelum kalian ditimbang. Bersiaplah untuk  menghadapai hari yang amat dahsyat. Pada hari itu, segala sesuatu yang ada pada diri kalian menjadi jelas, tidak ada yang tersembunyi."

Rasulullah SAW bersabda,
"Tidaklah melangkah kaki seorang anak Adam pada hari kiamat sebelum ditanyakan kepadanya empat perkara ; tentang umurnya, untuk apa dihabiskan, tentang masa mudanya, untuk apa digunakan, tentang hartanya, dari mana diperoleh dan ke mana dihabiskan, dan tentang ilmunya, untuk apa dimanfaatkan." (HR Tirmidzi)
 
Rasulullah SAW juga  menjelaskan,
"Sebaik-baik manusia ialah yang panjang umurnya dan baik amalannya, sedangkan seburuk-buruk manusia adalah yang panjang umurnya tetapi buruk amalannya." (HR Tirmidzi)
 
Sahabat sekalian, mari kita bersama memanfaatkan waktu yang tersisa dan berusaha meningkatkan kuantiti dan kualiti ibadah kita kepada Allah SWT serta menjadikan momentum tahun baru untuk mengingati mati (zikrulmaut). Bukankah orang yang paling bijak ialah orang yang selalu mengingati mati? Segala pengalaman yang dikutip daripada tahun yang berlalu wajar dijadikan ibrah untuk menginsafi diri ke arah yang lebih sempurna. Ayuh, berhijrahlah ke arah kebaikan. Berusaha untuk menjadikan diri lebih baik, lebih baik dan lebih baik dari semasa ke semasa. Yang paling penting, semua yang kita lakukan itu hanyalah semata-mata kerana Allah Ta'ala.
 
Selamat Tahun Baru 2013. Moga Allah merahmati kita di sepanjang usia. Allahumma Amin.
 
Wassalam.
 
 

Wednesday, December 12, 2012

12.12.12

Bismillahirrahmanirrahim..

Assalamu'alaikum wbt...


Mata menjenguk di sana sini, saya terperasan sesuatu. Ya.. masing2 menjadikan tarikh 12.12.12 sebagai sesuatu yang istimewa. Di laman muka buku mahupun di sini, tarikh ini umpama menjadi satu perkara wajib untuk diperkatakan pada hari ini.

12.12.12... Cantik bukan? Angka yang sama. Namun ada apa pada angka? Ada apa pada nombor? Sedarkah kita, di sebalik nombor itu, usia kita telah bertambah satu hari lagi? Fikirkan, apa perkara terbaik yang telah kita laksanakan sebagai hamba Allah ketika usia kita bertambah pada hari ini?

Jangan terlalu excited menghitung angka. Hitunglah banyak mana bekalan yang sedang kita kumpul sebagai persiapan untuk ke 'sana'.

Malam ini, sekadar catatan ringkas. Semoga bertemu kembali dalam detakan papan kekunci yang akan datang. InsyaAllah.. :)

Wassalam..


Friday, November 30, 2012

Hidup Ibarat Roda

Bismillahirrahmanirrahim..

Assalamu'alaikum wbt..

Bila hari gelap bertukar terang, mentari pun mula bersinar cemerlang...
Lama sudah tangan ini tidak menari. Kalau ditari pun cuma diatas kertas kajang yang kemudian direnyuk-renyuk kerana ketandusan idea. Hari ini cuma ingin berkongsi secebis pengalaman hidup.
Saudaraku,
dalam liku ada lurusnya,
dalam pahit ada manisnya,
dalam futur ada bangunnya,
dan apabila kita melangkah, dengan izin Allah semuanya jadi nyata.
Semalam anda mungkin bersedih, rasa tiada sesiapa untuk dituju, rasa seolah-olah dunia ini terlalu sempit untuk bersembunyi, rasa bumi tidak lagi berbumbungkan langit, rasa keseorangan dan tiada kawan-kawan yang memahami, rasa andalah yang paling susah dalam dunia, dan mungkin juga semalam anda berasa anda seorang yang tidak berguna, dan anda tidak dapat menyumbang apa-apa.
Saudaraku,
dalam susah ada senangnya,
dalam sedih ada gembiranya,
Allah menguji tanda sayang pada hamba-Nya...
Begitulah warna-warna kehidupan. Ia langsung tidak pelik dan bukan pun ajaib. Allah sentiasa memberi kita ujian dari kanan dan kiri, depan dan belakang hanya untuk menguji dan menolong kita untuk menghadapi esok kerana hanya Allah yang tahu betapa hari esok itu lebih sukar buat kita dan ujian hari ini adalah untuk menguatkan jiwa-jiwa kita. Mengajar kita menjadi lebih teguh, mengasah bakat-bakat kepimpinan diri sendiri yang mungkin belum kita kuasai dan sesungguhnya Allah yang Maha Bijaksana.

Inilah yang biasa saya alami. Jatuh bangun dalam kehidupan buat saya jadi lebih matang dalam berfikir dan menilai sesuatu. Siapa sangka kalau semalam saya terasa seolah-olah hilang segala-galanya, tetapi hari ini Allah kurniakan anugerah berlipat-ganda. Sungguh benar firman Allah:
"Bersama kesusahan ada kesenangan, Sesungguhnya bersama kesulitan ada kesenangan." (Al-Insyirah :5-6)
Sewaktu datangnya susah, telinga seakan-akan tuli, hati menjadi buta dan mata tak nampak apa-apa. Telinga seperti tidak pernah mendengar bahawa Allah sentiasa memujuk kita dengan firman-Nya,
"Dan janganlah kamu merasa lemah, dan jangan (pula) bersedih hati, sebab kamu paling tinggi (darjatnya), jika kamu orang beriman." (Ali-Imran :139)
"Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya." (Al-Baqarah : 286)
Masha Allah, damainya jiwa bila membaca ayat-ayat cinta daripada Kekasih Hati. Sungguh akan hilang sendu dan senyum pun menguntum, bahagia bersemi dan damai pun bertandang. Itulah ayat-ayat Allah dalam Al-Quraanul Karim. Kita sering terlepas pandang, dalam kesibukan melalui hari-hari penuh mehnah.

Kita terlupa untuk menghayati pesanan-pesanan daripada Allah dan ingatan-ingatan daripada Rasulullah. Tapi percayalah, saat hatimu gersang dengan kemarau cinta dunia, siramlah ia dengan zikrullah dan bacaan-bacaan al-Quran agar hatimu basah dengan cinta akhirat. Kembali kepada fitrah dan asalmu. Engkau hidup bukan untuk dunia, tetapi dunia ini cuma penerus hidup untuk ke akhirat sana. Tidak berbaloi saudaraku untuk kita menjadi gila di dunia sementara. Gila materi, gila kuasa, gila pangkat, gila nama, gila glamour dan sebarang gila lagi. Entah apa yang kita kejar sebenarnya dengan kegilaan-kegilaan itu. Semuanya memenatkan hati dan menyesakkan otak yang sedia sendat dengan masalah-masalah dunia yang tidak putus-putus.

Maka mari kita celik hati. Bukan saja kena celik IT, tapi celik mata hati itu sendiri. Lihat betapa dunia ini luas dan anda tidak pernah bersendiri. Kerana firman Allah,
"Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu (Muhammad) tentang Aku, maka sesungguhnya Aku dekat. Aku kabulkan permohonan orang yg berdoa apabila dia berdoa kepadaKu. Hendaklah mereka itu memenuhi (perintah)Ku dan beriman kepadaKu, agar mereka memperoleh kebenaran." (Al-Baqarah : 186)
Betapa Allah sentiasa ada bersama kita. Allah sudah berjanji akan mengabulkan semua doa-doa kita jika kita taat pada-Nya. Maka perkataan siapakah yang lebih benar selain Allah? Oleh itu saudaraku, jangan kalian patah hati, pandang rendah pada diri sendiri, hilang visi dan misi dan meratap sendu setiap hari.


Tiada gunanya semua itu. Jadi sekarang tukar mood anda. Buang yang keruh, ambil yang jernih. Jual kereta lama, jom pandu kereta baru. Ubah suasana, mari melihat dan megkagumi kebesaran Allah pada alam ciptaan-Nya. Kita semua adalah amazing! We can do beyond the norm! Ingat tu, kita adalah amazing people! Sudahlah fikirkan hari semalam, mari mulakan hidup baru.

Mari memaknakan hidup saudaraku!!!

Wassalam.

~iluvislam~

Sunday, November 11, 2012

Tutup Buku Lama, Buka Buku Baru 1434H

Bismillahirrahmanirrahim..

Assalamu’alaikum wbt..

Tinggal beberapa hari sahaja, kita akan melangkah setapak lagi ke hadapan, menuju tahun baru Islam 1434 H. Hari ini, di kelapangan ini, saya mengambil kesempatan untuk melakar sedikit coretan sebagai penutup tirai 1433 H

Biasanya, orang jarang nak ingat tahun baru dalam kalendar Islam ni. Yang orang selalu ingat,  kalendar omputeh. Tak lama lagi 2013 kan.. Tengok je lah nanti, macam mana agaknya sambutan tahun baru 2013 yang akan datang.

Sebut saja tahun baru, selalunya orang akan tanya, “Apa azam tahun ni?” Macam2 bermain dalam kepala tatkala diajukan soalan itu. Tertanya juga di hati, setiap tahun mencipta azam, tapi sejauh mana azam itu tercapai? Hmm.. tak apalah, yang penting semangat tu ada kan.

Setiap kali berada di akhir tahun, saya akan kembali mengenang tahun yang berlalu. Apa hasil yang saya dapat sepanjang tahun ini? Sejauh mana saya menghambakan diri pada Allah dengan erti kehambaan yang sebenar? Berapa banyak amalan yang telah saya kumpul sebagai bekalan ke alam baru? Pelbagai persoalan muncul tapi sayangnya, soalan2 itu terbiar sebagai persoalan semata-mata. Allah.. lemahnya jiwa ini..

Tahun baru yang bermula, menandakan usia yang bertambah angkanya, tapi semakin singkat perjalanannya. Atau mungkin menandakan saat kematian yang semakin hampir. Kita hanya mampu mengira usia yang telah berlalu, tapi kita sama sekali tak tahu berapa usia kita yang tinggal bukan? Jadi, bersiap sedialah menghadapi saat terakhir kehidupan.

Teringat kata2 penyair Arab yang bunyi dan maksudnya lebih kurang begini,
“Kamu adalah rangkaian dari hari-hari. Jika satu hari telah berlalu, maka akan berkurang umur kamu.”
Bila terkenang masa yang berlalu, alangkah sayang dan ruginya. Terlalu banyak masa itu disia-siakan. Meletakkan dunia di tempat yang lebih tinggi daripada akhirat. Melabuhkan cinta kepada dunia melebihi cinta pada Sang Pencipta yang agung. Memikirkan dunia lebih banyak daripada memikirkan kehidupan selepasnya. Dunia.. dunia.. untuk apa terlalu memikirkannya, sedangkan dunia itu hanya tempat persinggahan sementara untuk mengutip bekalan ke sana?

Bukan itu saja, masa yang berlalu mungkin ditemani hitungan dosa yang terhimpun, Astaghfirullah.. banyak manakah pahala dikumpul jika dibandingkan dengan dosa yang semakin merimbun?

Namun begitu..  Allah swt telah berfirman dalam sebuah hadis qudsi :
“ Wahai anak Adam! Sekiranya engkau berdoa dan memohon keampunan dariKu, maka akan Aku ampunkan segala dosa-dosamu. Wahai anak Adam! Sekiranya dosa-dosa yang telah engkau lakukan menggunung setinggi langit kemudian kau memohon keampunan dariku, maka akan Aku ampunkan dosa-dosamu. Wahai anak Adam! Sekiranya kau datang kepadaku dengan dosa sebanyak seisi dunia dan kau tidak mensyirikkan Aku dengan sesuatu, maka akan Aku datangkan padamu maghfirahku sebanyak seisi dunia”.
Nah, begitu firman Allah SWT. Apa tindakan kita? Hanya baca dan terus sia-siakan kasih sayangNya yang maha Agung? Atau apa?

Tahun 1434 H, saya mengharapkan yang terbaik. Jauh di sudut hati, masih tertanam azam yang tinggi untuk menjadi hamba Allah, anak, adik, kakak, sahabat dan saudara yang jauh lebih baik daripada sekarang. Cuma bila godaan nafsu dan syaitan cuba mencelah mematahkan jalan, itulah yang menjadi halangan untuk mencapai apa yang diazamkan. InsyaAllah dikuatkan hati untuk menentang godaan2 itu..  Ya Allah, jadikan kami lebih baik, lebih baik dan lebih baik dari hari ke hari..


 Sebelum mengundur diri.. Saya nak mengambil peluang ni untuk ucapkan Salam Awal Muharram dan Selamat Tahun Baru 1434 H buat semua, khususnya yang beragama Islam. Moga tahun baru yang menjelma ini jadi tahun penuh rezeki dan rahmat Ilahi buat kita. Aminn..

Setakat ini dulu. Moga bertemu semula di tahun baru.. Maaf atas segala khilaf. Wassalam..

:: Jangan lupa baca doa akhir tahun dan awal tahun nanti ek.. ::

Wednesday, November 7, 2012

Bukti Keimanan Insan

Bismillahirrahmanirrahim..

Assalamu'alaikum wbt..

AL-HAKIM meriwayatkan, al-Qamah bin Haris berkata: “Aku datang kepada Rasulullah dengan tujuh orang daripada kaumku.

Kemudian setelah kami beri salam dan beliau tertarik sehingga beliau bertanya: “Siapakah kamu ini?”
Jawab kami: “Kami adalah orang beriman.”

Kemudian baginda bertanya: “Setiap perkataan ada buktinya, apakah bukti keimanan kamu?”

Jawab kami: “Buktinya ada lima belas perkara. Lima perkara yang engkau perintahkan kepada kami, lima perkara yang diperintahkan oleh utusanmu kepada kami dan lima perkara yang kami terbiasakan sejak zaman jahiliah?”
 Tanya Nabi: “Apakah lima perkara yang aku perintahkan kepada kamu itu?”

Jawab mereka: “Kamu perintahkan kami untuk beriman kepada Allah, percaya kepada malaikat-Nya, kitab-Nya, rasul-Nya, percaya kepada takdir Allah yang baik mahupun yang buruk.”

Selanjutnya tanya Nabi: “Apakah lima perkara yang diperintahkan oleh para utusanku itu?”

Jawab mereka: “Kami diperintahkan oleh para utusanmu untuk bersaksi bahawa tidak ada Tuhan selain Allah dan engkau adalah utusan Allah, hendaknya kami mendirikan solat wajib, mengerjakan puasa di bulan Ramadan, menunaikan zakat dan berhaji bila mampu.”

Tanya Nabi selanjutnya: “Apakah lima perkara yang kamu masih terbiasakan sejak zaman jahiliah?”

Jawab mereka: “Bersyukur di waktu senang, bersabar di waktu kesusahan, berani di waktu perang, reda pada waktu kena ujian dan tidak merasa gembira dengan sesuatu musibah yang menimpa pada musuh.”

Mendengar ucapan mereka yang amat menarik ini, maka Nabi berkata: “Sungguh kamu ini termasuk di dalam kaum yang amat pandai sekali dalam agama mahupun dalam tatacara berbicara. Hampir saja kamu ini serupa dengan para Nabi dengan segala macam yang kamu katakan tadi.”


Kemudian Nabi selanjutnya berkata: “Mahukah kamu aku tunjukkan kepada lima perkara amalan yang akan menyempurnakan dari yang kamu punyai?
Janganlah kamu mengumpulkan sesuatu yang tidak akan kamu makan. Janganlah kamu mendirikan rumah yang tidak akan kamu tempati, janganlah kamu berlumba-lumba dalam sesuatu yang bakal kamu tinggalkan, berusahalah untuk mencari bekal ke dalam akhirat.”
Wassalam.. :

Wednesday, October 31, 2012

Ku Pendam Sebuah Duka

Bismillahirrahmanirrahim...

Assalamu'alaikum wbt..

Hati terasa ingin berbicara, jadi jari mula menari kembali di papan kekunci ini, meluah rasa yang terbuku di hati.. Tentang persahabatan..

Puas sudah saya mencuba untuk menjadi teman terbaik, berkongsi nasihat, menahan segala amarah, bersabar dengan setiap karenah. Namun entah apakah agaknya yang tidak kena pada diri ini, sehingga sering sahaja saya dikasari dan membuat hati ini terasa dicalari. Ya, mungkin ketidaksempurnaan diri ini tidak mampu menampung erti bahagia yang mereka cari.

Jadi, dengan kerendahan hati, saya terus segera meminta maaf, walau berkali-kali, pada sesuatu yang kadangkala tidak diketahui mana pucuk pangkalnya, tidak diketahui mana khilafnya. Kadang-kadang saya terpaksa berdiam dan menelan segala rasa, demi menjaga ukhuwah yang terbina. Tapi sampai bilakah perkara yang sama akan berulang dalam hidup? Sampai bila agaknya diri ini akan dianggap seolah boneka tanpa perasaan?

Mungkin pada bait kata yang tertulis di sini, saya kelihatan memendam duka, namun pada wajah ini, tiada siapa yang tahu perasaan yang tersembunyi di sebalik senyuman yang mungkin palsu.

Ya Allahu Rabbi.. biarkan kekuatan terus bertapak dalam hati ini, agar diri ini terus tenang dalam senyuman dan menyulam makna kesabaran berpanjangan, agar ukhuwah ini terus berkekalan. Amin Ya Rabbal 'Alamin...

Bicara kembali menemui titik noktah. Moga bertemu lagi.

Wassalam..

:: Terlalu banyak disakiti ::


Friday, October 26, 2012

Doa buat Syria


Bismillahirrahmanirrahim..

 
Di sana..
Tanah tinggalan para anbiya’,
Peluru menghujani, bumi terus dibasahi,
Merah darah itu penuh ‘izzah,
Dari jiwa yang syahid dan syahidah
Angkara musuh Islam laknatullah..

Apakah kesucian masih berharga,
bila jeritan tak lagi didengar?
bila raungan anak kecil tak lagi dihiraukan?
bila kemanusiaan tidak lebih berharga daripada
selintas nafsu kebinatangan.

Sungguh,
Tak mampu ku bayangkan,
Tika setiap ceruk yang dulunya aman sentosa,
Kini, tiada sudah erti damai,
Mutiara jernih bagai tiada harganya,
Mengalir setia merentasi masa,
Mengganti riang dan senyum tawa..

Mentari umpama tiada sinar,
Indah purnama juga tak terjangkau dek mata,
Awan kelam semakin menyelubungi.
Saban waktu,
Doa dan harapan menjadi satu ,
Bermandikan darah dan hujan air mata..

Dalam bisik kudus terkepung,
Ku himpun doa kecil tak berpenghujung
Allahu Rabbi,
Limpahkan sinar bahagia,
Menyeluruhi ruang hidup mereka
Hingga akhir usia..

Ya Allah, selamatkanlah…….  :’(

~ Qurratu 'Ain~



** Hari ini, kita sambut Aidiladha dengan meriah.. bagaimana agaknya sambutan saudara seagama kita di sana? ***


Friday, September 7, 2012

Sebelum Engkau Halal Bagiku..

Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakaatuh..

Yaa Rabbi..


Ajarilah kami bagaimana memberi sebelum meminta, berfikir sebelum bertindak, santun dalam berbicara, tenang ketika gundah, diam ketika emosi melanda, bersabar dalam setiap ujian. Jadikanlah kami orang yg selembut Abu Bakar As-Siddiq, sebijaksana Umar bin Khattab, sedermawan Uthman bin Affan, sepintar Ali bin Abi Thalib, sesederhana Bilal, setegar Khalid bin Walid..

Amiin ya Rabbal'alamin.

Inilah cerminan seorang wanita yang merindukan indahnya mahligai rumahtangga.Yang menginginkan kehidupan yang sakinah, mawaddah wa rahmah dalam kehidupannya kelak, bila nanti sang syabab datang melamarnya.
 

Lelaki idamanku yang jauh di sana, sebelum engkau dihadiahkan untuk hidupku, kan ku tuliskan sepucuk surat cinta untukmu. Aku mungkin bukan seorang yang romantis tapi mungkin bisa menjadi yang romantis untukmu. Inilah ungkapan isi hatiku yang telah sekian lama menunggumu.

Aku memang bukan seorang wanita berparas cantik ataupun kaya. Aku juga bukan seorang wanita sedermawan Khadijah, sesabar Fatimah dan sepintar Aisyah. Aku hanyalah seorang wanita biasa yang serba kekurangan.

Inilah aku seadanya, yang akan mencintaimu juga seadanya. Yang mencintaimu kerana Allah. Yang bersedia menemani sepinya hari-harimu. Yang selalu bersedia melengkapi kekuranganmu. Yang selalu ingin membantu kesusahanmu. Yang sangat senang bila melihat kau merasa senang.

Aku ingin mencintaimu secara sederhana tanpa harus menyusahkanmu, memberatkanmu dan membebanimu.
Aku ingin mencintaimu seadanya tanpa harus diada-adakan. Aku ingin mencintaimu tanpa melihat kekuranganmu. Aku ingin juga mencintaimu sepenuh hati tanpa harus terpaksa. Aku juga wanita yang ingin dicintai seperti perasaanku yang ingin mencintaimu.


Aku ingin hidup bahagia denganmu bukan kerana harta, bukan kerana hal duniawi, bukan, bukan itu. Aku ingin hidup bahagia denganmu kerana kau bersyukur telah memiliki aku. Kerana kau ingin melaksanakan perintahNya. Kerana kau ingin menjauhi laranganNya. Kerana kau ingin mengikuti sunnah kekasihNya, Muhammad SAW. Maka bahagiakanlah aku kerana Allah sekalipun kita hidup kekurangan.

Aku tidak ingin yang lebih darimu kerana aku tidak ingin memberatkanmu dan kerana aku ingin mencintaimu untuk saling melengkapi satu sama lain.

Duhai lelaki idamanku yang jauh di sana…

Inilah curahan hatiku, inilah hasratku dan inilah kalimat-kalimat cintaku kepadamu..

Bila kelak nanti Tuhan menghadiahkanmu untuk hidupku, kan ku layani engkau sepenuhnya, kan ku jaga engkau dari sesuatu yang menyakitkanmu dan ku rawat engkau kala sakitmu dan juga ku penuhi apa yang kau mahu dariku bila aku mampu. Tapi jangan paksa aku bila aku tidak mampu melakukannya. Aku ingin kau memahami aku, yang juga ingin memahamimu sepenuh hati.

Aku, kamu dan kekurangan, fahamilah cintaku.

Inilah aku.. yang ingin mencintaimu, menyayangimu, membahagiakanmu dan melengkapimu.
Inilah aku dan perasaan cintaku..
Inilah aku dan surat cintaku untukmu..
Aku mencintaimu kerana Allah Azza Wa Jalla.




*******

Sungguh bahagia insan yang telah menemui cinta sejatinya.. ibarat tasbih & benang pengikatnya.. menjadi satu untaian yang selalu disentuh satu demi satu oleh insan mulia yang bibirnya basah akan lafaz cinta kepada RabbNya..

Barakallaahu fikum wa jazakumullah khair..

Friday, August 17, 2012

Curi masa jap

Bismillahirrahmanirrahim...

Assalamu'alaikum wbt..

Erm.. apa khabar medan bicara saya? Lama tidak berkongsi rasa. Hehe..

Tika ini, sempat mata menjenguk blog tatkala diri masih berada di pejabat yang kian lengang kerana masing-masing sudah bercuti untuk hari raya yang akan menjelang Ahad ini insyaAllah. Saya pula akan mengikut jejak langkah, kerana akan bercuti seminggu pada minggu depan. Hee.. ^_^

Sebenarnya, fikiran ligat mencari idea lagi.. untuk mengupdate blog yang semakin diabaikan. Tapi.. nantilah, andai idea datang bertamu, barulah post ini disambung kembali. Sekarang masa untuk bekerja. Jumpa lagi! Hihi.. :P

Wassalam..

Tuesday, July 10, 2012

Sepi Sekeping Hati

Bismillahirrahmanirrahim..

Assalamu'alaikum wbt..


Hujan renyai-renyai malam ini menemani diri saya yang kesepian di kamar. Terlintas di minda beberapa bait kata untuk menggambarkan perasaan ketika ini, memaksa saya untuk hadir di medan bicara (blog) saya ini untuk berkongsi rasa itu. Tetapi, tika medan bicara sudah terbentang di depan mata, kata-kata itu hilang. Sunyi, sepi.. yang ada hanya detakan jari di papan kekunci yang seenaknya berbicara mengikut rentak tersendiri tanpa sebarang perancangan.

Saat sepi menikam jiwa, rindu menggamit hati pada kenakalan pelatih2 di kem PLKN tempat saya menempatkan diri sebagai penceramah jemputan baru2 ini. Kem mana? Tak payahla cerita. Hehe.. Tapi, sepi ini memanggil kenangan seminggu berada di sana. Lucu mengenangkan gelagat mereka. Ya, sesekali terbit juga rasa geram tatkala melihat kedegilan sebahagian daripada pelatih di kelas seliaan saya. Tapi, tak apalah. Sebenarnya, itu perkara biasa. Yang penting, sabar itu perlu ada.. :) Pelbagai gelaran saya dapati sepanjang menjadi 'cikgu' mereka. Paling lucu, gelaran 'cincaluk'. Entah dari mana budak kecik yang saya panggil 'belacan' itu mendapat idea menggelarkan saya sebegitu rupa. Hee.. Yang nyata, beberapa pelatih di sana, wira dan wirawati, benar2 membuatkan saya menyelami erti rindu pada saat ini. :) Banyak kisah yang tercoret, tapi biarlah tersimpan di sanubari, kerana saya yakin jika saya asyik mencoretkannya di sini, sepanjang malam ini belum tentu jari ini berhenti menaip.. :P

Selain mereka, saya juga merindui sahabat seperjuangan yang telah pergi buat selamanya pada Februari lepas. Hari ini, ada beberapa orang yang datang ke pejabat untuk mencari responden bagi menyempurnakan tugasan kaji selidik mereka. Terkejut saya melihat kelibat salah seorang daripada mereka. Aduh, dia hampir2 menyerupai arwah sahabat saya dari segi rupa, percakapan, pergerakan dan gaya penampilannya. Berbicara dengannya, seolah-olah merasakan sahabat saya berada di depan mata. Tiba2 saya tersedar, dia bukan sahabat saya. Sahabat saya telah pergi.. jauh meninggalkan saya di dunia yang penuh dugaan ini. Sedih benar rasa hati, ingin saja menitiskan air mata tika saya kembali kepada realiti. Tapi, terpaksa ditahan. Ya Allah, jadikan aku selalu redha dengan pemergiannya. Jadikan aku hamba yang selalu menyedari bahawa mati itu pasti...... (Dah, tak mau la cita pasal tu lagi. Sedih..)

Erm.. keadaan kesihatan tidak begitu memuaskan sejak akhir2 ini. Tapi, dek kesibukan yang seperti tak berkesudahan, terpaksalah melupakan segala rasa itu. Ditambah lagi dengan beberapa masalah dan tekanan hidup tanpa noktah yang tak tahu bagaimana untuk dihuraikan, Allahu Rabbi.. apakah agaknya perkataan terbaik untuk melabelkan segala rasa ini?

Jiwa terlalu sepi.. hati terlalu sunyi. Tika cuba membuang jauh tekanan yang mendatang, sempat saya mengintai pintu bahagia, dan tertanya, akan ada kah tempat untuk saya di sana? Mungkin ada yang menganggap saya terlalu sensitif untuk perkara biasa atau perkara kecil.. Andai saja kamu tahu, rasa itu hadir kerana terlalu memendam pelbagai perkara sehingga yang kecil2 itu tiba2 terkumpul menjadi besar. Hanya sabar jadi kunci. Kalau tidak, entah apa agaknya bentuk hati saya saat ini.. Terima kasih ya Allah, kerana masih memberikan daku kekuatan ini. ^_^

Bukan ingin mengeluh.. cuma sedang mencuba mengumpul kekuatan untuk bangun semula. InsyaAllah.. Sudah cukup, cukup sudah~ kalau dilayan gerakan jari jemari ini, entah bila agaknya mahu menoktahkan bicara. Jadi, seeloknya bicara papan kekunci saya pada malam ini terhenti di sini. Terima kasih kerana membaca. Maaf andai ada keterlanjuran kata2. Semoga ketemu lagi.. InsyaAllah ^_^

Semoga senyuman akan terus terukir di bibir ini, walau hati kadang2 terasa seperti tak mampu bertahan. :) Hadirlah ketenangan.. Selalu sematkan dalam hati, "Innallaha ma'ana..."

Wassalam..



Sunday, June 17, 2012

Istikharah Cinta


Bersaksi Cinta Diatas Cinta
Dalam Alunan Tasbih Ku Ini
Menerka Hati Yang Tersembunyi
Berteman Di Malam Sunyi Penuh Do'a

Sebut Nama Mu Terukir Merdu
Tertulis Dalam Sajadah Cinta
Tetapkan Pilihan Sebagai Teman
Kekal Abadi Hingga Akhir Zaman

Istikharah Cinta Memanggilku
Memohon Petunjuk-Mu
Satu Nama Teman Setia
Naluriku Berkata

Dipenantian Luahan Rasa
Teguh Satu Pilihan
Pemenuh Separuh Nafasku
Dalam Mahabbah Rindu

Di Istikharah Cinta..

Monday, June 11, 2012

Love You Mom :)

Bismillahirrahmanirrahim...

Assalamu'alaikum wbt..

Tahukah Anda?
Badan manusia hanya mampu menahan sehingga 45 del (unit) kesakitan. Tetapi semasa melahirkan bayi, seorang ibu merasai sehingga 57 del (unit) kesakitan. Ini sama dengan mematahkan 20 tulang secara serentak. Sekarang bolehkah anda bayangkan, kesakitan & kasih sayang seorang ibu?

Abu Hurairah radhiallahu 'anh berkata:

Seorang lelaki datang menemui Rasulullah SAW dan bertanya:
“Siapakah manusia yang paling berhak untuk aku layan dengan sebaik-baiknya?”

Baginda menjawab: “Ibu kamu.”

Dia bertanya lagi: “Kemudian siapa?”

Baginda menjawab: “Ibu kamu.”

Dia bertanya lagi: “Kemudian siapa?”

Baginda menjawab: “Ibu kamu.”

Dia bertanya lagi: “Kemudian siapa?”

Baginda menjawab: “Ayah kamu.”[1]


Seorang sahabat bernama Jahimah r.a datang menemui Rasulullah SAW meminta pandangan baginda untuk dia ikut serta dalam ekspedisi Jihad.

Rasulullah bertanya: “Adakah kamu masih mempunyai ibu?”

Jahimah menjawab: “Ya.”

Lalu Rasulullah bersabda: “Tinggallah bersamanya kerana sesungguhnya syurga terletak di bawah tapak kakinya.”[2]

Di antara ibu dan ayah, ibulah yang lebih berhak untuk menerima perhatian daripada seorang anak. Tidak sekadar itu, ibu memiliki hak tiga kali ganda lebih besar daripada seorang ayah sepertimana terbukti melalui hadis di atas.

Syurga juga terletak di bawah kaki ibu, sebagaimana yang dijelaskan dalam hadis kedua di atas. Selain itu Allah Subhanahu wa Ta‘ala juga telah mengkhususkan beberapa ayat-Nya di dalam al-Qur’an untuk ibu. Ini tidak lain menunjukkan betapa besar dan mulia kedudukan ibu di sisi Allah dalam peranannya melahirkan anak dan membesarkannya.[3] Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:

Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibubapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan). [Luqman 31:14]
Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibubapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah. [al-Ahqaf 46:15]

Terdapat beberapa sebab mengapa ibu memiliki hak tiga kali ganda lebih besar daripada seorang ayah:

Ibu terpaksa menanggung pelbagai kesusahan, sama ada dari sudut fizikal mahupun mental, dalam proses mengandung seorang anak. Allah mengkhabarkan kesusahan ini dengan firman-Nya yang bermaksud: 

“…ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah…” [al-Ahqaf 46:15]

Kesusahan ketika mengandung semakin bertambah selari dengan pembesaran janin. Kesusahan yang semakin bertambah mengakibatkan seorang ibu menanggung kelemahan demi kelemahan: “…ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan…”

Kesusahan ini mencapai tahap paling berat ketika hendak melahirkan anak tersebut: “…dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah.”

Kesusahan ini diungkap oleh Allah dalam kisah Maryam ketika beliau hendak melahirkan ‘Isa:
(Ketika dia hendak bersalin) maka sakit beranak itu memaksanya (pergi bersandar) ke pangkal sebatang pohon tamar (kurma); dia berkata:  

“Alangkah baiknya kalau aku mati sebelum ini dan menjadilah aku sesuatu yang dilupakan orang dan tidak dikenang-kenang!” [Maryam 19:23]
Berkenaan kesusahan yang amat berat saat hendak melahirkan, Abi Burdah r.a pernah melihat Ibn ‘Umar r.a dan seorang lelaki dari Yaman sedang tawaf di sekeliling Ka’bah.

Lelaki tersebut sedang mendukung ibunya lalu mengeluh: “Saya baginya bagaikan tunggangan yang hina.”

Lalu dia bertanya: “Wahai Ibn ‘Umar! Apakah sudah aku balas budinya?”

Ibn ‘Umar menjawab: “Tidak! Walaupun setarik nafasnya (yakni ketika ibunya sedang melahirkannya).”[4]

Setelah melahirkan, ibu benar-benar memberi perhatian kepada anaknya. Seandainya anaknya tidak sihat atau hilang sekejap daripada perhatiannya, nescaya dia menjadi bimbang. Apatah lagi jika anaknya dijauhkan daripadanya, seorang ibu akan teramat berdukacita sehingga hatinya menjadi kosong, sehinggalah anaknya dikembalikan kepadanya.

Kenalilah perhatian seorang ibu terhadap anaknya berdasarkan kisah berikut daripada al-Qur’an, ketika Allah Subhanahu wa Ta‘ala memerintah ibu Musa untuk menghanyutkan anaknya (Musa) agar dia (Musa) tidak ditangkap dan dibunuh oleh Fir’aun:

Dan Kami ilhamkan kepada ibu Musa: “Susukanlah dia; dalam pada itu jika engkau takutkan sesuatu bahaya mengenainya (dari angkara Firaun), maka (letakkanlah dia di dalam peti dan) lepaskanlah dia ke laut; dan janganlah engkau merasa bimbang dan jangan pula berdukacita; sesungguhnya Kami akan mengembalikannya kepadamu dan Kami akan melantiknya menjadi salah seorang daripada Rasul-rasul Kami.
Setelah itu dia (Musa) dipungut oleh orang-orang Firaun; kesudahannya dia akan menjadi musuh dan menyebabkan dukacita bagi mereka; sesungguhnya Firaun dan Haman serta orang-orangnya
adalah golongan yang bersalah.

Dan (ketika melihat kanak-kanak itu) berkatalah isteri Fir’aun:
“(Semoga dia menjadi) cahaya mata bagiku dan bagimu; janganlah kamu membunuhnya; mudah-mudahan dia berguna kepada kita atau kita jadikan dia anak.” Padahal mereka tidak menyedari (kesudahannya).

Dan (sepeninggalannya) menjadilah hati ibu Musa kosong; sesungguhnya dia nyaris-nyaris menyatakan perihal anaknya itu dengan berterus-terang jika tidaklah Kami kuatkan hatinya (dengan perasaan sabar dan tenang tenteram), supaya tetaplah dia dari orang-orang yang percaya (akan janji Allah).

Dan berkatalah dia kepada kakak Musa: “Pergilah cari khabar beritanya.” (Maka pergilah dia) lalu dilihatnya dari jauh sedang orang ramai tidak menyedarinya.

Dan Kami jadikan dia (Musa) dari mulanya enggan menyusu kepada perempuan-perempuan yang hendak menyusukannya; (melihatkan halnya itu), kakaknya berkata (kepada isteri Fir’aun): “Mahukah aku tunjukkan kamu kepada penduduk sebuah rumah yang dapat memeliharanya untuk kamu, serta mereka tulus ikhlas kepadanya?”

Maka (dengan jalan itu) Kami kembalikan dia kepada ibunya supaya tenang tenteram hatinya dan tidak berdukacita (disebabkan bercerai dengannya); dan supaya dia mengetahui bahawa janji Allah (untuk menyelamatkannya) adalah benar; akan tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui (yang demikian itu). [Maksud surah al-Qasas 28:7-13]
Sekalipun dengan segala pengorbanan ibu daripada saat mengandung hinggalah kepada membesarkan, seorang anak lazimnya akan lebih cenderung untuk meremehkan ibunya berbanding ayahnya. Faktor penyebab adalah sama ketika menjelaskan bab sebelum ini berkenaan mengapa ibu dikhususkan daripada ayah dalam larangan menderhaka. Sifat kewanitaan seorang ibu yang lemah lembut dan peranannya yang “hanya di rumah” menyebabkan sebahagian anak-anak tidak menghormati ibu mereka dan justeru melecehkan tuntutan berbuat baik kepadanya.

Lima sebab di atas, paling kurang, menjelaskan mengapa Allah dan Rasul-Nya mengkhususkan seorang ibu di atas seorang ayah. Malah hadis yang asal dalam perbincangan ini memberi hak tiga kali ganda lebih besar kepada seorang ibu berbanding seorang ayah. Oleh itu dalam rangka berbuat baik kepada ibubapa, hendaklah kita memberi perhatian dan keutamaan kepada ibu.

Mengambil iktibar daripada kisah para sahabat Rasulullah, seorang lelaki pernah bertanya kepada Ibn ‘Abbas r.a, “Saya meminang seorang wanita tetapi dia menolak pinangan aku. Setelah itu datang orang lain meminangnya lalu dia menerimanya. Saya menjadi cemburu kepadanya dan saya membunuhnya. Apakah ada taubat untuk saya?”

Ibn ‘Abbas bertanya: “Apakah ibu kamu masih hidup?”

Dia menjawab: “Tidak.”

Ibn ‘Abbas berkata: “Bertaubatlah kepada Allah dan mendekatlah kepada-Nya semampu mungkin.”

Atha’ bin Yasar (yang hadir sama saat itu) bertanya kepada Ibn ‘Abbas: “Mengapa engkau bertanya kepada lelaki tersebut sama ada ibunya masih hidup?”

Ibn ‘Abbas menjawab: “Saya tidak tahu perbuatan yang paling mendekatkan (seseorang) kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala melainkan berbakti kepada ibu.”[5]



***


Nota Kaki:

[1] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya – hadis no: 5971 (Kitab al-Adab, Bab siapakah manusia yang paling berhak untuk dilayan dengan baik).

[2] Hasan Sahih: Dikeluarkan oleh al-Nasai dan dinilai hasan sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan al-Nasai – hadis no: 3104 (Kitab al-Jihad, Bab kelonggaran daripada berperang bagi orang yang memiliki ibu).

[3] Sayang sekali kebanyakan wanita sekarang ini tidak lagi memandang mulia terhadap peranan mereka untuk melahir dan membesarkan anak. Apa yang dipandang mulia oleh Allah kini dipandang hina oleh manusia. Semua ini berlaku kerana manusia kini mengejar kemuliaan mengikut ukuran mereka sendiri. Mereka tidak sedar bahawa apa yang dianggap mulia oleh sebahagian manusia dianggap hina oleh manusia yang lain. Apa yang dianggap mulia pada masa kini akan menjadi hina pada masa akan datang. Ringkasnya, kemuliaan mengikut ukuran manusia sentiasa bersifat nisbi manakala kemuliaan mengikut ukuran Allah sentiasa bersifat hakiki.

[4] Sanad Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dan sanadnya dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih al-Adab al-Mufrad – hadis no: 9.

[5] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad – hadis no: 4 dan ia dinilai sahih oleh al-Albani dalam Silsilah al-Ahadits al-Shahihah – hadis no: 2799.


Sumber ~  Hamba Allah. :)


Semoga bermanfaat, insyaAllah..

Wassalam..

Tuesday, May 29, 2012

(T_T)

Bismillah..

Tatkala mata2 manusia sedang pejam.. lena diulit mimpi indah, saya masih bersengkang mata. Ada beban dalam hati ini. Ada berat harus dipikul sendiri. Sukarnya memuaskan hati semua pihak. Kadang2 ada yang terluka, walau itu bukan kehendak kita. Salahkah bila kejujuran jadi sandaran untuk sebuah jawapan?

Izinkan mutiara jernih ini mengalir Ya Allah.. Hanya Kau yang Maha Mengetahui apa yang terbuku di hati ini..

Monday, May 28, 2012

Menuju Cinta Ilahi

Bismillahirrahmanirrahim..

Jarum masa berdetik tiada undur..
Sedang diri ini masih belum maju ke hadapan.
Masih di situ.. 
Kaku..

Ingin daku menapak menuju cinta Rabbi,
Dekat padaNya, tenang dalam rahmatNya,
Andai bisa, ingin ku berlari..
Agar daku raih bahagia dalam cinta hakiki.

Namun daku alpa dalam pelayaran sementara,
Benar, aku telah melangkah,
Tapi langkahku tersasar..
Bukan jalan itu arah tujuanku..

 Harus berdiam dirikah?
Andai mazmumah mengatasi mahmudah,
Andai syaitan lebih banyak ketawa daripada menangis,
Andai nafsu semakin galak berbalah dengan iman,
 Andai murka Allah lebih banyak dari redhaNya..
Na'uzubillahi min zalik..

Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati,
tetapkan hatiku atas agamaMu.
Ya Allah yang mengarahkan hati, 
arahkan hatiku untuk taat kepadaMu.

Bicaraku kelu di penghujung waktu..
Tiupkan daku ilham,
Agar papan kekunci ini mampu berdetak lagi.

~Qurratu 'Ain~

*******

“Ya Tuhan kami, janganlah Engkau jadikan hati kami condong kepada kesesatan sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami rahmat dari sisi Engkau; kerana sesungguhnya Engkau-lah Maha Pemberi (kurnia).”
(Ali Imran: 7)

Saturday, May 26, 2012

Allah Pemberi Rezeki

Bismillahirrahmanirrahim...

Assalamu'alaikum wbt..

Pagi ini, suria memancar terang. Terdengar burung2 berkicau riang. Langit cerah diselaputi awan. Ayam2 mengais rezeki, kucing2 berlari dan bergurau sesama sendiri, dedaunan pohon melambai2.. Subhanallah, indahnya ciptaanMu ya Allah. Tak terungkap dengan kata2. Mana mungkin kami dapat melihat semua ini, jika bukan kerana KuasaMu yang Maha Agung. Alhamdulillah.. 

Kasih sayang Allah mengatasi segala-galanya. Tapi, kita, hambaNya yang selalu lupa untuk bersyukur. Sungguh, Allah Maha Pengasih. Tak dibiarkan kita hidup melara walaupun hakikatnya, dosa melebihi pahala. 
Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a.: Nabi S.A.W bersabda, Ketika Allah menciptakan makhlukNya, Dia menulis di dalam KitabNya di atas ArasyNya dan Dia menisbahkan kepada diriNya sendiri:  "Sesungguhnya kasihKu melampaui murkaKu"
Kerana kasihNya, Allah sentiasa memberi rezeki utk hambaNya. Seringkali kita mendengar manusia mengeluh.. "Tak ada rezeki la arini.." Sewajarnya kita sedar, rezeki Allah ada di mana2. Mungkin kalimat 'tak ada rezeki' itu harus digantikan dengan kalimat2 lain yang lebih sesuai, seperti "Mungkin rezeki aku kat tempat lain". Ayat seperti itu lebih menunjukkan keyakinan kita akan kuasa Allah sebagai pemberi rezeki.
Dalam sebuah syair disebut, "Maha Suci Allah yang memberi rezeki kepada hambaNya dan seorang pun dia tidak lupa."
Ingin saya berkongsi satu cerita..

Di zaman Nabi Allah Sulaiman, berlaku satu peristiwa, apabila Nabi Allah Sulaiman nampak seekor semut melata di atas batu, lantas Nabi Allah Sulaiman merasa hairan bagaimana semut ini hendak hidup di atas batu yang kering di tengah-tengah padang pasir yang tandus.

Nabi Allah Sulaiman pun bertanya kepada semut: "Wahai semut apakah engkau yakin ada makanan yang cukup untuk kamu."

Semut pun menjawab: "Rezeki di tangan ALLAH, aku percaya rezeki di tangan ALLAH, aku yakin di atas batu kering di padang pasir yang tandus ini ada rezeki untuk ku."

Lantas Nabi Allah Sulaiman pun bertanya: "Wahai semut, berapa banyakkah engkau makan? Apakah yang engkau gemar makan? Dan banyak mana engkau makan dalam sebulan?"

Jawab semut: "Aku makan hanya sekadar sebiji gandum sebulan."

Nabi Allah Sulaiman pun mencadangkan: "Kalau kamu makan hanya sebiji gandum sebulan tak payah kamu melata di atas batu, aku boleh tolong."

Nabi Allah Sulaiman pun mengambil satu bekas, dia angkat semut itu dan dimasukkan ke dalam bekas, kemudian Nabi ambil gandum sebiji, dibubuh dalam bekas dan tutup bekas itu. Kemudian Nabi tinggal semut di dalam bekas dengan sebiji gandum selama satu bulan.

Bila cukup satu bulan Nabi Allah Sulaiman lihat gandum sebiji tadi hanya dimakan setengah sahaja oleh semut, lantas Nabi Allah Sulaiman menemplak semut: "Kamu rupanya berbohong pada aku! Bulan lalu kamu kata kamu makan sebiji gandum sebulan, ini sudah sebulan tapi kamu makan setengah." 

Jawab semut: "Aku tidak berbohong, aku tidak berbohong, kalau aku ada di atas batu aku pasti makan apa pun sehingga banyaknya sama seperti sebiji gandum sebulan, kerana makanan itu aku cari sendiri dan rezeki itu datangnya daripada Allah dan Allah tidak pernah lupa padaku.

Tetapi bila kamu masukkan aku dalam bekas yang tertutup, rezeki aku bergantung pada kamu dan aku tak percaya kepada kamu, sebab itulah aku makan setengah sahaja supaya tahan dua bulan. Aku takut kamu lupa."

***
Nampak? Sedangkan semut yang kecil itu yakin pada kuasa Allah sebagai pemberi rezeki. Mengapa tidak kita? Hamba Allah paling istimewa, dianugerahkan akal untuk menilai dan menghayati. Apakah kamu masih tidak mahu bersyukur?
 
Firman Allah SWT :

Oleh itu, makanlah (wahai orang-orang yang beriman) dari apa yang telah dikurniakan Allah kepada kamu dari benda-benda yang halal lagi baik dan bersyukurlah akan nikmat Allah, jika benar kamu hanya menyembahNya semata-mata. (An-Nahl : 114)

Dan Dialah yang menghidupkan kamu, kemudian Dia mematikan kamu, kemudian Dia menghidupkan kamu semula. Sesungguhnya manusia sangatlah tidak bersyukur. (Al-Hajj : 66)

Bagaimana untuk bersyukur atas rezeki yang Allah SWT berikan? Tepuk dada, tanya iman.


Wallahu a'lam.. :)

Wassalam..

Wednesday, April 18, 2012

KetetapanNYA..

Bismillah..

ALLAH telah meletakkan kejayaan ikan-ikan, bila mana mereka dapat hidup di dalam laut. Namun.. Apabila mereka cuba keluar dari laut, maka mereka akan mati..

Begitu juga dengan cacing yang keselamatan mereka telah ditetapkan di dalam tanah. Namun, Jika mereka cuba keluar dari tanah, maka mereka akan kepanasan..

Begitulah juga dengan manusia yang ALLAH telah letakkan kejayaannya dalam agama. Namun, jika manusia cuba keluar dari agama, maka manusia tersebut akan sengsara..

Semoga ALLAH memberikan kekuatan untuk jiwa-jiwa yang sentiasa bermujahadah keranaNYA.. (^_^)

InsyaALLAH..


Monday, April 16, 2012

Jalan Pulang..

Bismillahirrahmanirrahim..

Assalamu'alaikum wbt..

Saat ini, fikiran ligat memikirkan diri yg semakin sarat dibaluti dosa. Semakin hari semakin berat terpikul di pundak bahu. Semakin hari terasa semakin jauh dari yg Maha Satu. Ke mana hilangnya jiwa ini?

Astaghfirullah.. Ya Allah, jangan Kau biarkan hati ini terus bersalut debu kehinaan, sehingga aku terjelepuk jatuh tika aku mengejar cintaMu yg agung..

Ya Allah, perbalahan nafsu dalam hati yang kehausan iman ini seringkali membuatkan aku tersalah arah, terpesong jauh dari jalanan redhaMu, ditemani syaitan laknatullah yang sentiasa menggoda. Jangan tinggalkan aku ya Allah. Aku tak ingin menjadi sahabat mereka yg Kau laknati, tapi nafsu jahatku sering mendekati mereka.. Ya Allah.. Jangan biarkan aku begini..


Ya Allah.. Aku tanpa cintaMu, umpama kapal yang belayar tanpa nakhoda, tanpa panduan, tanpa haluan.. Dalam keluasan lautan cintaMu, masih ku tercari arah tuju. Tak tahu mana destinasi utk aku berlabuh. Tika ombak nafsu menghempas, semakin jauh ditenggelami badai noda. Bukakan mata dan hati ini ya Allah, agar dapat ku temui jalan pulang..

Ya Allah.. Tak mampu lagi ku menyusun madah, tatkala air mata semakin deras menyusuri wajah seorang pendosa.. Aku rindukan cahaya, yang akan menunjukkan aku jalan menuju cintaMu. Terangi jalan hidupku ya Allah..

Ampunkan aku..
Ampunkan aku..
Ampunkan aku..
(T_T)

Sunday, March 18, 2012

Ketika Allah mencipta wanita..

Bismillahirrahmanirrahim...

Assalamu'alaikum wbt...

Ketika Allah menciptakan wanita, Malaikat datang dan bertanya, “Mengapa begitu lama, Tuhan?”
 Tuhan menjawab, “Sudahkah kamu lihat semua detik yang AKU ciptakan untuknya?”

Dua tangan mesti di bersihkan, setidaknya terdiri dari 200 bahagian yang boleh di gerakkan & berfungsi baik agar dapat mengolah berbagai jenis makanan.
Mampu memberikan kenyamanan bagi anak-anaknya.
Mempunyai pelukan yang menyembuhkan rasa sakit hati & kesengsaraan.
Dan semuanya cukup di lakukan dengan kedua tangan ini…

Malaikat menjawab, “Hanya dengan dua tangan ini? Tetapi, Engkau membuatnya begitu halus & lembut.”
“Ya, AKU membuatnya begitu lembut, tapi kamu belum dapat bayangkan kekuatan yang AKU berikan kepadanya agar ia dapat mengatasi banyak hal luar biasa.”

“Apakah dia mampu berfikir?” Tanya Malaikat.
Tuhan menjawab, “Tidak hanya berfikir, dia juga mampu berunding dan mengutarakan pendapatnya.”

Malaikat itu menyentuh dadanya,
“Tuhan, Engkau buat ciptaan ini kelihatan lemah & rapuh, seolah banyak sekali beban untuknya.”
“Itu bukan kerapuhan, itu air mata. AKU berikan padanya supaya dia boleh mengekspresikan kegembiraan, kegalauan, cinta, kesepian, penderitaan, dan rasa bangga.”


“Engkau memikirkan segala sesuatunya, wanita ciptaan-Mu ini sungguh menakjubkan.”
“Ya, Harus!! Wanita ini mempunyai kekuatan untuk mempesona lelaki.
Dia dapat mengatasi beban hidup, mampu menyimpan kebahagiaan dan pendapatnya sendiri.
Mampu tersenyum bahkan ketika hatinya menjerit.
Mampu tertawa saat hatinya menangis.
Dia boleh berkorban demi orang yang dikasihinya.
Dia boleh melawan ketidakadilan.
Dia bersorak disaat melihat temannya bahagia.
Hatinya terluka saat melihat kesedihan.
Dia tahu sebuah ciuman & pelukan dapat menyembuhkan luka.

Malaikat sangat kagum, “Lalu apa kekurangannya?”
Tuhan menjawab, “Hanya satu hal.. Dia terkadang lupa betapa berharganya dia”.

Wallahu a'lam.. :)

~> Unknown source~ (^_^)v

Monday, February 20, 2012

Tuesday, January 24, 2012

(^_*)

Bismillah..

Saat Allah swt mencintai seseorang, tempat pertama sentuhan cinta itu ialah hatinya. Di situlah Allah melenyapkan segala rasa putus asa dan kesedihan akibat dosa mereka, kemudian digantikan dengan harapan dan keinginan untuk berubah menjadi insan yang bersih..saat itu hati kita seolah-olah berbisik..
"Aku tahu bila Allah mencintaiku, iaitu saat aku membenci segala kejahatanku" ♥

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...