Assalamu'alaikum wbt..
Bila hari gelap bertukar terang, mentari pun mula bersinar cemerlang...
Lama sudah tangan ini tidak menari. Kalau ditari pun cuma diatas kertas kajang yang kemudian direnyuk-renyuk kerana ketandusan idea. Hari ini cuma ingin berkongsi secebis pengalaman hidup.
Saudaraku,Semalam anda mungkin bersedih, rasa tiada sesiapa untuk dituju, rasa seolah-olah dunia ini terlalu sempit untuk bersembunyi, rasa bumi tidak lagi berbumbungkan langit, rasa keseorangan dan tiada kawan-kawan yang memahami, rasa andalah yang paling susah dalam dunia, dan mungkin juga semalam anda berasa anda seorang yang tidak berguna, dan anda tidak dapat menyumbang apa-apa.
dalam liku ada lurusnya,
dalam pahit ada manisnya,
dalam futur ada bangunnya,
dan apabila kita melangkah, dengan izin Allah semuanya jadi nyata.
Saudaraku,Begitulah warna-warna kehidupan. Ia langsung tidak pelik dan bukan pun ajaib. Allah sentiasa memberi kita ujian dari kanan dan kiri, depan dan belakang hanya untuk menguji dan menolong kita untuk menghadapi esok kerana hanya Allah yang tahu betapa hari esok itu lebih sukar buat kita dan ujian hari ini adalah untuk menguatkan jiwa-jiwa kita. Mengajar kita menjadi lebih teguh, mengasah bakat-bakat kepimpinan diri sendiri yang mungkin belum kita kuasai dan sesungguhnya Allah yang Maha Bijaksana.
dalam susah ada senangnya,
dalam sedih ada gembiranya,
Allah menguji tanda sayang pada hamba-Nya...
Inilah yang biasa saya alami. Jatuh bangun dalam kehidupan buat saya jadi lebih matang dalam berfikir dan menilai sesuatu. Siapa sangka kalau semalam saya terasa seolah-olah hilang segala-galanya, tetapi hari ini Allah kurniakan anugerah berlipat-ganda. Sungguh benar firman Allah:
"Bersama kesusahan ada kesenangan, Sesungguhnya bersama kesulitan ada kesenangan." (Al-Insyirah :5-6)Sewaktu datangnya susah, telinga seakan-akan tuli, hati menjadi buta dan mata tak nampak apa-apa. Telinga seperti tidak pernah mendengar bahawa Allah sentiasa memujuk kita dengan firman-Nya,
"Dan janganlah kamu merasa lemah, dan jangan (pula) bersedih hati, sebab kamu paling tinggi (darjatnya), jika kamu orang beriman." (Ali-Imran :139)
"Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya." (Al-Baqarah : 286)Masha Allah, damainya jiwa bila membaca ayat-ayat cinta daripada Kekasih Hati. Sungguh akan hilang sendu dan senyum pun menguntum, bahagia bersemi dan damai pun bertandang. Itulah ayat-ayat Allah dalam Al-Quraanul Karim. Kita sering terlepas pandang, dalam kesibukan melalui hari-hari penuh mehnah.
Kita terlupa untuk menghayati pesanan-pesanan daripada Allah dan ingatan-ingatan daripada Rasulullah. Tapi percayalah, saat hatimu gersang dengan kemarau cinta dunia, siramlah ia dengan zikrullah dan bacaan-bacaan al-Quran agar hatimu basah dengan cinta akhirat. Kembali kepada fitrah dan asalmu. Engkau hidup bukan untuk dunia, tetapi dunia ini cuma penerus hidup untuk ke akhirat sana. Tidak berbaloi saudaraku untuk kita menjadi gila di dunia sementara. Gila materi, gila kuasa, gila pangkat, gila nama, gila glamour dan sebarang gila lagi. Entah apa yang kita kejar sebenarnya dengan kegilaan-kegilaan itu. Semuanya memenatkan hati dan menyesakkan otak yang sedia sendat dengan masalah-masalah dunia yang tidak putus-putus.
Maka mari kita celik hati. Bukan saja kena celik IT, tapi celik mata hati itu sendiri. Lihat betapa dunia ini luas dan anda tidak pernah bersendiri. Kerana firman Allah,
"Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu (Muhammad) tentang Aku, maka sesungguhnya Aku dekat. Aku kabulkan permohonan orang yg berdoa apabila dia berdoa kepadaKu. Hendaklah mereka itu memenuhi (perintah)Ku dan beriman kepadaKu, agar mereka memperoleh kebenaran." (Al-Baqarah : 186)Betapa Allah sentiasa ada bersama kita. Allah sudah berjanji akan mengabulkan semua doa-doa kita jika kita taat pada-Nya. Maka perkataan siapakah yang lebih benar selain Allah? Oleh itu saudaraku, jangan kalian patah hati, pandang rendah pada diri sendiri, hilang visi dan misi dan meratap sendu setiap hari.
Tiada gunanya semua itu. Jadi sekarang tukar mood anda. Buang yang keruh, ambil yang jernih. Jual kereta lama, jom pandu kereta baru. Ubah suasana, mari melihat dan megkagumi kebesaran Allah pada alam ciptaan-Nya. Kita semua adalah amazing! We can do beyond the norm! Ingat tu, kita adalah amazing people! Sudahlah fikirkan hari semalam, mari mulakan hidup baru.
Mari memaknakan hidup saudaraku!!!
Wassalam.
~iluvislam~
No comments:
Post a Comment