Thursday, August 18, 2011

Nun Wiqaayah

Bismillahirrahmanirrahim..

Assalamu'alaikum wbt..

Cuba selak helaian kitab suci Al-Quranul Kareem. Adakah kita cukup pasti bacaan kita betul? Hari ni, saya ingin kongsikan satu perkara yang kadang2 orang terlepas pandang ketika membaca Al-Quran. Ingatlah, Al-Quran hendaklah dibaca dengan tartil. Jadi, hukum2 tajwid yang telah ditetapkan perlu dipatuhi.

Pernah dengar tak Nun Wiqaayah? Kalau tak pernah, jom baca perkongsian kali ini. Saya ambil daripada laman web ensiklopediamuslim. 

Nun Wiqaayah ialah nun yang ditambah pada bacaan apabila mana-mana kalimah yang berakhir dengan Tanwin (baris dua) bertemu dengan mana-mana kalimah yang bermula dengan Alif Lam ( ال ) atau Hamzah Wasal ( ا ) . Nun ini juga disebut dengan Nun Wasal atau Nun 'Iwadh, atau Nun Pengganti. Nun Wiqayah dibaca dengan baris bawah (kasrah). Dalam al-Qur'an al-Majid (yang telah dihapus oleh JAKIM) nun ini ditulis dengan nyata, Manakala dalam al-Qur’an al-Karim (Rasm ‎Utsmani) nun ini tidak ditulis dengan nyata tetapi dari segi bacaannya ianya ‎hendaklah dibunyikan.‎

Di antara ayat-ayat yang terdapat Nun Wiqayah;‎

‎1. Surah Al-Baqarah : ayat 180 ‎ ‎dibaca dengan ; (Khairanil wasiyyah)

2. Surah Yusuf‎ ‎: ayat 8 - 9 ‎ ‎ dibaca dengan ; (Mubiini niqtulu) 

3. Surah Kahf ‎: ayat 88‎ ‎dibaca dengan; (Jazaa’a nilhusnaa)‎

4. Surah An-Najm ‎: ayat 50‎ ‎ dibaca dengan; (‘Aadan nil uulaa)

5. Surah Al-Jumu’ah ‎: ayat 11‎ ‎dibaca dengan; (Au lahwanin faddhuu)

6. Surah Al-Ikhlas ‎: ayat 1 - 2‎ dibaca dengan; (Allahu ahadunillahus somad)

7. Surah al-A'raf : ayat 164 dibaca dengan; (Qaumanillahu muhlikuhum)

8. Surah al-A'raf : ayat 177 dibaca dengan; (matsalanil qaumul ladziina)
 

9. Surah at-taubah : ayat 24 dibaca dengan; (wa amwaaluniqtaraftumuuha)

10. Surah at-Taubah : ayat 30 dibaca dengan; ('Uzairunibnullaahi)

11. Surah Ibrahim : ayat 18 dibaca dengan; (karamaadinisy taddat)

12. Surah Al-Hijr : ayat 61 dibaca dengan; (Falammaa jaa'a aala luthi nilmursalin )

13. Surah Al-Kahfi: ayat 100-101 kalau wasal dibaca dengan ('aradha nilladzi...)

14. Surah Maryam: ayat 7 dibaca dengan (bughalaaminismuhu..)

15. Surah Maryam: ayat 61 dibaca dengan (jannaati 'adninillati..)

"Warattililqur aana Tartilan", itulah sepotong ayat dalam Al-qur'an yang Mulia, Surah Al-Muzzammil ayat 4, yang mengingatkan kepada kita umat muslim untuk senantiasa berusaha memperjelas dan memperhatikan makharijul huruf, tajwid pada saat membaca Al-Quran. Makna lainnya adalah “Agar engkau dapat memahami dan merenungkan berbagai makna dari ayat yang kau baca, maka bacalah Al Quran dengan tartil, perlahan, tidak tergesa-gesa, dan terlalu cepat. Kita dilarang membaca Al Quran terlalu cepat dan tidak tartil.”

Membaca Al Quran dengan suara merdu adalah sunnah. Suara yang merdu membantu seseorang untuk menghadirkan kekhusyukan hati dan membantunya mendengarkan Al Quran dengan baik. Mari bergabung dengan menyatukan niat untuk senantiasa berusaha dan istiqamah membaca ayat-ayat Allah dengan tartil.
InsyaAllah..

Semoga bermanfaat. Wassalam.. :)

Wednesday, August 17, 2011

Nuzul Al-Quran

Bismillahirrahmanirrahim..

Assalamu'alaikum wbt...

Peristiwa Nuzul Al-Quran adalah antara perkara penting yang harus diingat dan direnung Muslim kerana bermula dengan peristiwa itu zaman jahiliah (kegelapan) telah disinari cahaya, kesesatan digantikan kebenaran dan umat yang hidup bertuhankan hawa nafsu berubah bertuhankan Allah Yang Esa.

17 Ramadhan merupakan suatu tarikh yang amat bermakna kepada orang yang beriman iaitu Nuzul Al-Quran atau penurunan al-Quran. Kalam Allah SWT. yang berupa mukjizat, yang diturunkan melalui perantaraan malaikat Jibrail a.s. kepada Nabi Muhammad SAW. yang dikira sebagai ibadat dengan membacanya, bermula dari Surah Al-Fatihah dan berakhir dengan Surah An-Nas.

Penurunan Al-Quran dari Loh Mahfuz ke Baitul Izzah di langit dunia, berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadhan, tahun ke-41 daripada keputeraan Nabi Muhamad SAW. Perkataan ‘Nuzul’ bererti turun atau berpindah dari atas ke bawah. Bila disebut bahawa Al-Quran adalah mukjizat terbesar Nabi SAW maka ianya memberi makna terlalu besar kepada umat Islam terutamanya yang serius memikirkan rahsia Al-Quran.

"Al-Quran" bererti bacaan atau himpunan. Di dalamnya terhimpun ayat yang menjelaskan pelbagai perkara meliputi soal tauhid, ibadat, jinayat, muamalat, sains, teknologi dan sebagainya. Malah inilah sebenarnya kelebihan Al-Quran, tidak ada satu perkara pun yang dicuaikan atau tertinggal di dalam Al-Quran, dan segala isi kandungan Al-Quran itu adalah benar.

Dalam sejarah kehidupan Nabi SAW ayat Al-Quran yang mula-mula diturunkan Allah kepada Nabi Muhammad SAW melalui perantaraan malaikat Jibrail ialah lima ayat pertama daripada surah Al-‘Alaq. maksudnya:
“Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhan mu yang menciptakan (sekalian makhluk), Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; Bacalah, dan Tuhan mu Yang Maha Pemurah, Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan. Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.” (Al-‘Alaq:1-5)
Al-Quran mengandungi lebih 6,000 ayat adalah himpunan wahyu dan kitab panduan terakhir daripada Allah, diturunkan kepada Rasul-Nya, Muhamad supaya menjadi petunjuk kepada seluruh umat.

Al Quran telah diturunkan secara beransur-ansur dalam masa 22 tahun 2 bulan 22 hari atau 23 tahun, 13 tahun di Mekah dan 10 tahun di Madinah . Ayat-ayat dan surah-surah yang diturunkan sebelum peristiwa hijrah dikenali sebagai Makkiyah sedangkan yang diturunkan selepas peristiwa hijrah dikenali sebagai Madaniyyah.

Waktu penurunan Al-Quran adalah mengikut perancangan dan ketentuan Illahi. Sesuai dengan kitab itu yang sungguh mulia, Allah juga memilih penghulu segala bulan yang terkenal dengan bulan keampunan, rahmat dan keberkatan iaitu Ramadhan untuk menurunkannya. Firman Allah bermaksud:
“Ramadhan adalah bulan diturunkan Al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan daripada pembeza (antara yang hak dan batil).” (Al-Baqarah, ayat 185)

Kenapa Allah SWT turunkan Al-Quran secara beransur-ansur ? Sudah tentu kerana ia mempunyai hikmah-hikmahnya tersendiri. Antara hikmah Al-Quran diturunkan secara beransur-ansur itu ialah :
  • Lebih mudah difahami dan dilaksanakan. Orang tidak akan melaksanakan suruhan dan larangan jika diturunkan sekali gus dengan banyak.
  • Antara ayat itu ada yang nasikh dan mansukh, sesuai dengan permasalahan waktu itu. Ini tidak dilakukan jika Al-Quran diturunkan sekali gus. (Ini menurut pendapat yang mengatakan ada nasikh dan mansukh)
  • Turun ayat sesuai dengan peristiwa yang berlaku lebih mengesankan dan berpengaruh di hati.
  • Memudahkan penghafalan. Orang Musyrik bertanya mengapakah Al-Quran tidak diturunkan sekali gus seperti disebut dalam Al-Quran yang bermaksud: “Mengapakah al-Quran tidak diturunkan kepadanya sekali gus?” Dijawab dalam ayat itu sendiri: “Demikianlah, dengan (cara) begitu Kami hendak menetapkan hatimu.” (Surah al-Furqan, ayat 32)
  • Ada antara ayat itu jawapan daripada pertanyaan atau penolakan suatu pendapat atau perbuatan seperti dikatakan Ibnu Abbas. Hal ini tidak dapat terlaksana jika Al-Quran diturunkan sekali gus.
Sehubungan itu, peristiwa Nuzul Al-Quran harus dihayati umat Islam kerana ia menjadi asas keimanan terhadap Al-Quran bahawa ia adalah kalam Allah. Bahkan, ia dilihat asas utama dalam pengakuan umat Islam terhadap kerasulan Nabi Muhammad SAW serta keyakinan Islam itu agama benar, satu-satunya agama yang diredhai di sisi Allah.

Kesalahan besar yang dilakukan oleh Umat Islam hari ini yang menyebabkan mereka gagal menjadi manusia yang hebat dan bertaqwa adalah kerana kita meninggalkan Al-Quran samada secara sedar atau tidak sedar. Imam Ibnu Katsir menjelaskan maksud meninggalkan Quran sebagai berikut :
a. Tidak membaca Al-Quran dan tidak mahu mendengarkannya.
b. Tidak beriman dengan ajaran Al-Quran.
c. Tidak mengkaji dan memahami Al-Quran.
d. Tidak membenarkan isi kandungan Al-Quran.
e. Tidak mengamalkan ajaran Al-Quran.
f. Berpaling daripada Al-Quran kepada yang lain
Bulan Ramadhan inilah peluang yang terbaik bagi kita untuk mengelakkan kita daripada tergolong dalam kalangan mereka yang meninggalkan Al-Quran. Apa yang penting kita mesti memastikan adanya peningkatan di setiap Ramadhan yang kita lalui dan yang kita tinggalkan.
 
Daripada hanya mendengar bacaan Al-Quran kepada membacanya dengan penuh keimanan. Daripada membaca kepada mengkaji dan memahami. Daripada memahami kepada membenarkannya. Daripada membenarkannya kepada mengamalkannya dan mengutamakannya daripada segala yang lain daripadanya. Jika kita masih masih memandang serong apatah lagi menentang ajaran Al-Quran maka Ramadhan sebenarnya memang bukan untuk kita, maka bersedialah kita untuk menerima pembalasan dari Allah swt. 
 
Wallahu a'lam..
 
Wassalam..

Thursday, August 11, 2011

30 Hari Mencari CINTA

Bismillahirrahmanirrahim..

Assalamu'alaikum wbt..

Hari ini, 10 Ramadhan 1432H. Alhamdulillah sudah satu pertiga bulan mulia ini kita harungi bersama. Masih ada 20 hari lagi untuk melaksanakan ibadah di bulan yang penuh barakah ini. Esok sudah masuk fasa kedua. Moga kita diberi kekuatan iman untuk menempuhi 30 hari ini dengan penuh kesabaran.

Beberapa hari yang lalu, saya meletakkan ayat “30 hari mencari CINTA” sebagai status di wall facebook saya. Tertarik saya pada soalan sahabat, “Cukupkah 30 hari ini untuk mencari cintaNya?”

Hmmm...

30 hari memang tak cukup untuk kita mencari cinta Allah SWT. CintaNya Maha Agung, tiada yang dapat mencintai kita sebaik Dia. CintaNya cinta sempurna. Justeru apa peranan kita sebagai hambaNya untuk membalas cintaNya? Mengabdikan diri pada Pencipta teragung kita, menyemai rasa kecintaan yang tidak berbelah bagi kepada yang Maha Esa, melaksanakan perintah Allah dan tentu sekali meninggalkan laranganNya. Sudahkah kita melakukannya? Sempurnakah cinta kita?

Hakikatnya, seluruh hidup pun belum dapat membalas keagungan cinta Ilahi..

Dalam selaut cinta, mungkin cinta kita hanya setitis buat Dia. Kerana itulah kita selalu lupa kepadaNya. Kita asyik mengejar nikmat dunia. Kita sering lupa tujuan kita dilahirkan, lupa tanggungjawab sebagai khalifah, lupa membezakan dosa pahala. Astaghfirullahal’azim…

"Sesungguhnya Allah menjadikan bulan Ramadhan sebagai arena perlumbaan melakukan ketaatan bagi makhlukNya, kemudian ada yang berlumba-lumba hingga menang dan ada pula orang-orang yang tertinggal lalu kecewa. Tetapi sangat menghairankan ialah peserta yang tertawa-tawa di saat orang lain memecut untuk meraih kemenangan." (Hassan al Basri)

30 hari.. kita manfaatkan untuk melakukan amal ibadah. Sekurang2nya masih ada kesedaran untuk kita menghambakan diri padaNya. Tapi, 30 hari sajakah? Sesudah Ramadhan berlalu, apa yang berlaku?

Fastabiqul Khairat!!

Berlumba-lumbalah dalam melakukan kebaikan. Pecut laju2 bila buat ibadah. Jangan berhenti. Sebulan Ramadhan kita manfaatkan sebaiknya. Dan.. Andai Ramadhan berlalu, bukan bermakna itu menjadi titik noktah kepada amalan yang telah kita lakukan di bulan penuh rahmat ini. Istiqamahlah. Siapa tahu, mungkin ini Ramadhan terakhir kita. Jadikan Ramadhan sebagai madrasah tarbiyyah untuk kita menghadapi sebelas bulan yang lain, insyaAllah..

Ayuh sama2 renung sejenak kata2 hikmah yang berbunyi.. “Jadilah kamu hamba Allah, jangan jadi hamba Ramadhan..”

Jadi.. Setakat ini sahaja perkongsian buat kali ini.. Ringkas. Tiba2 kekeringan idea untuk terus menaip. Cukuplah. Sekurang2nya perkongsian ringkas ini dapat memberi nafas kepada blog yang telah lama pengsan ini kan.. Hehe..

Apapun.. Moga misi 30 hari mencari cinta ini ada hasilnya.. Amin ya Rabb..:)

Wassalam..


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...