Friday, November 21, 2014

Kesibukan Dunia

Bismillahirrahmanirrahim..

Assalamu'alaikum wbt..

Semakin hari, terasa semakin singkat putaran waktu. November seakan baru menjenguk, namun hari ini sudah semakin hampir ke penghujungnya. Mengapa agaknya? Adakah kerana kesibukan menjalankan tanggungjawab harian membuatkan kita rasa begitu? Atau mungkinkah kita asyik membazir masa dengan perkara lagha, atau lebih teruk lagi terbuai dengan keasyikan indah duniawi sehingga mengetepikan ukhrawi?
Astaghfirullahal'aziim..
Imam al-Ghazali membahagikan keadaan manusia kepada 3 kategori:

1. Orang yang tenggelam dalam urusan keduniaan
2. Orang yang bertaubat dan mula bertaubat
3. Orang yang mengenal diri sendiri dan merasakan hayatnya akan berakhir

Golongan yang pertama ini tidak mengingati kematian. Jika diingati sekalipun, mereka hanya merasa sedih kerana mengenangkan diri yang akan meninggalkan harta kekayaan yang dimiliki, dan amat benci dengan kematian. 

Golongan yang kedua mereka sentiasa berada dalam keadaan cemas, takut dan bimbang akan kematian. Mereka akan menyempurnakan taubat dengan sebaik mungkin. 

Manakala golongan yang ketiga sentiasa mengingati mati setiap masa. mereka menunggu-nunggu saat kematian untuk bertemu dengan Allah seperti orang yang bercinta untuk bertemu dengan kekasihnya.
Jadi.. golongan yang manakah kita?

Saudara seagama yang dimuliakan.. jangan sesekali menjadikan kesibukan dunia sebagai alasan untuk meninggalkan tanggungjawab sebagai serorang hamba Allah SWT. Allah mengurniakan kita 24 jam sehari untuk kita gunakan dan bahagikan sebaiknya.

Kenapa Allah SWT bagi kita 24jam sehari? Supaya kita boleh bahagikan kepada :
  • 8 jam untuk bekerja/cari rezeki
  • 8 jam untuk beribadah/beriadah
  • 8 jam untuk tidur/berehat
Manusia yang bijak sepatutnya dapat memanfaatkan 24 jam sehari untuk 3 tujuan yang tersebut di atas. Namun sebenarnya, setiap perbuatan, pekerjaan atau pergerakan yang kita lakukan dengan niat kerana Allah SWT inshaAllah semuanya dikira sebagai ibadah. Bukankah Allah itu Maha Pemurah lagi Maha Penyayang? Indahnya hidup sebagai hamba Allah jika kita benar-benar memaknai rasa kehambaan itu dalam erti kata yang sebenarnya bukan?


Sebenarnya, saya hanya memanfaatkan sedikit waktu rehat ( lunch hour ) untuk menulis entri kali ini. Jadi, rasanya cukup sampai di sini dahulu. InshaAllah, moga Allah izinkan kita untuk bertemu lagi dalam entri yang akan datang. Salam sayyidul ayyam, dan selamat beribadah..

Wallahu a'lam.
Wassalam..

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...