Saturday, April 26, 2014

Berpurdah.. Biar Bernilai Solehah..

Bismillahirrahmanirrahim...

Assalamu'alaikum wbt..

Hurm.. masih tercari2 pengisian utk perkongsian kali ini. Minda ketandusan idea, namun perlu juga memaksa jari ini menari-nari di papan kekunci.. bimbang terlepas waktu untuk merealisasikan hasrat berkongsi sesuatu di blog ini, sekurang2nya SATU entri untuk SATU bulan. Oleh itu, kesempatan ini perlu dihargai. Kalau tidak.. entah bila agaknya hadirnya waktu untuk saya menyinggah di sini. Selalu terbiar.. Selalu terabai tak terjaga. Huhu..

Mungkin waktu ini boleh saya manfaatkan untuk berkongsi satu tajuk yang sudah lama menjadi isu dalam kalangan pengguna laman sosial. Tentang sehelai kain kecil di wajah bernama PURDAH @ juga dikenali sebagai NIQAB.

Nama kain kecil ini sudah tidak asing lagi. Seringkali dijadikan sebagai pengukur solehahnya seorang Muslimah. Muslimah yang berpurdah atau berniqab sering dipandang tinggi.. dianggap sebagai seorang wanita hebat, penuh ilmu di dada, seorang 'ustazah' yang mampu menjawab segala persoalan agama yang diutarakan, seorang yang sempurna, seorang yang seolah2 tidak berdosa, juga seorang yang imannya sangat terpelihara.

Namun, benarkah segala persepsi itu? Jawapannya, tidak.. Tidak sama sekali. Mengapa? Purdah tidak dipakai oleh Muslimah selepas menepati semua ciri di atas. Seseorang itu tidak solehah hanya kerana sehelai purdah. Kerana nilai solehah bukan ditentukan oleh pakaian yang dipakai, tetapi hati. Namun begitu, pakailah pakaian yang bernilai solehah.. sebagai salah satu cara untuk men'solehah'kan diri. Purdah takkan menjadikan seseorang Muslimah bebas daripada dosa, kerana tiada manusia di dunia ini yang akan terlepas daripada melakukan dosa. Kita manusia biasa, bukan Nabi.. Kita tidak maksum, tidak sempurna. Sesekali tersungkur jua dalam perjalanan menuju Ilahi.

Purdah dipakai kerana mereka ingin melindungi diri daripada fitnah. Tak kira sama ada mereka terlalu cantik atau sebaliknya. Namun, dek kerana wanita adalah fitnah terbesar di dunia ini, maka purdah itu dapat melindungi diri mereka daripada fitnah, dengan izin Allah.

Tetapi.. alangkah sayangnya.. kini purdah tidak mampu sepenuhnya menjadi medium penutup fitnah. Malah, purdah itu jugalah yang membuka pintu fitnah akibat segelintir niqabis yang seolah2 meremehkan nilai purdah itu.

Perlukah setiap aksi seorang niqabis dikongsi di media sosial?
Perlukah kamera di fokuskan pada mata yg dihiasi make up dan contact lens pelbagai warna?
Perlukah seorang niqabis memandang rendah pada Muslimah yang tidak sepertinya?
Perlukah istilah couple Islamik dan cinta ana-enta wujud di kalangan mereka?
Perlukah ditunjukkan kepada sekalian alam betapa 'solehah'nya seorang niqabis?

Bukankah wanita solehah itu tidak memandang dan tidak dipandang...

Duhai niqabis yang melakukan perkara yang tidak perlu di atas, tahukah kalian.. kerana nila setitik, rosak susu sebelanga? Kerana kalian.. habis semua niqabis mendapat tempiasnya. Niqab kini semakin hari semakin dipandang rendah. Muslimah yang ikhlas memakai purdah / niqab kerana Allah dikatakan sebagai Muslimah yang hanya mengikut trend fesyen terkini. Apatah lagi bila segelintir peniaga memberi nafas baru kepada purdah atau niqab itu sehingga menimbulkan unsur tabarruj. Mana hilangnya nilai solehah pada sehelai kain itu?

Segelintir niqabis cepat melenting tatkala ditegur untuk kebaikan. Malah sering melempar soalan, "Mengapa niqabis yang selalu menjadi perhatian dan isu untuk dibincangkan? Bukankah lebih baik menegur mereka yang masih belum tahu menutup aurat dengan sempurna?" Ukhti2 yang disayangi, rasanya kalian sudah tahu.. betapa banyaknya teguran ke atas mereka yang mengabaikan penjagaan aurat. Namun, andai mereka yang kamu lihat 'tidak solehah' itu sukar menerima teguran, adakah kalian yang selalu mengiktiraf diri 'solehah' itu mahu menjadi seperti mereka? Lantang menasihati tetapi tidak mahu dinasihati. Mahu?

Ayuh, tajdid semula niat di hati. Mengapa niqab jadi pakaian kalian? Adakah sekadar mahu tunjukkan kepada dunia bahawa "Akulah si Solehah. Pandanglah aku, pujilah aku" ? Atau mahu tanam dalam hati dalam2 bahawa "Sesungguhnya aku berpakaian begini hanya kerana Allah.." ? Pilihan di tangan kalian. Pilihlah yang terbaik.. Jangan jadikan diri kalian sebagai asbab niqabis lain terus-terusan jadi bahan perbualan yang tidak enak di halwa telinga. Hormati niqabis lain yang benar2 menjaga. Pelihara imej dan nilai purdah itu sebaiknya.

Berpurdah.. Biar bernilai solehah.. Ya, mungkin kita indah di mata manusia. Namun jika begitu akhlak dan peribadi sebenarnya, indahkah kita di mata ALLAH?


Selamat bermuhasabah.. Wallahu a'lam. Wassalam..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...