Tuesday, March 11, 2014

Kehilanganmu.. MH370.. T_T


Bismillahirrahmanirrahim..

Assalamu’alaikum wbt..

Hari ini, jari kembali brdetak di papan kekunci. Kali ini, apa yang ingin dikongsi? Bukan.. bukan tentang diri ini. Tetapi tentang perkara yang sedang difikirkan seisi dunia kala ini.

MH370.. Saya rasa semua tahu apakah makna di sebalik huruf dan nombor itu. Pesawat milik MAS yang sedang terbang dengan membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal dari KL ke Beijing, tiba-tiba hilang daripada pandangan, terputus hubungan tanpa dapat dikesan. 

Meletup? Jika ya, mana serpihannya?
Terhempas? Kalau benar, di mana tempatnya?
Terapung di udara? Tenggelam di lautan? Tiada siapa mampu memberi jawapan pasti..

***

MH370..

Kamu telah hilang..
Dunia sedang tercari-cari, dunia sedang tertanya-tanya.
Di mana kamu sebenarnya wahai MH370?

Pelbagai spekulasi timbul daripada kehilangan kamu. Ada juga insan yang tidak sensitif, menjadikan isu kehilanganmu sebagai satu bahan lawak. Ultraman yang sorok, alien yang bawa lari, penumpangmu berseronok bersama orang bunian. Allahu Rabbi.. nyawa menjadi bahan gurauan? Apakah akan keluar fikiran-fikiran sebegitu jika keluarga mereka yang berada di situ? 

MH370..

Tapi kamu juga perlu tahu.. terlalu ramai yang prihatin tentangmu, terlalu ramai yang mencarimu, terlalu ramai yang mengharap kepulanganmu, juga terlalu ramai yang sedang mendoakanmu. Di seluruh negara, solat hajat giat dilaksanakan. Bukan hanya Muslim, malah agama-agama lain juga.. dalam kepelbagaian kepercayaan dan agama, masing2 mendoakan kamu muncul semula di depan mata. 

MH370..

Sampai bila kamu mahu hilang? Tidakkah kamu mahu pulang?
Hilangnya kamu membuatkan..
Si isteri/suami menangisi kehilangan pasangannya sehidup semati,
Si ibu ayah merintih hiba mengharap si anak pulang ke pangkuan,
Si anak meraung mencari wajah orang tua yang tiada di depan mata,
Si sahabat menanti sahabatnya kembali bergelak tawa tangis bersama,
Di sini.. Di sana.. Semua mengharap kamu kembali..

MH370..

Tidakkah kamu rindu untuk untuk terbang lagi?
Tidakkah kamu rindu pada landasanmu?
Pulanglah.. Pulangkan isi perutmu pada kami..
Kami menanti..

***
Andai sahaja pesawat mampu mendengar dan mempunyai perasaan, andai dapat disampaikan segala isi hati padanya, pasti itu antara bicara yang mungkin terzahir daripada saya padanya. Buat memujuk dia kembali dan mengembalikan insan di dalamnya kepada yang sedang menanti.

Pesawat tercanggih, juruterbang terlatih.. namun tak siapa mampu melawan qadha dan qadar ALLAH yang Maha Esa. Tak siapa menduga ini akan terjadi. Namun, percayalah ada hikmah di sebalik apa yang telah menjadi rencana Ilahi.

Yang pasti, seluruh dunia sedang bersatu dalam DOA setelah kehilangan pesawat ini..

Ya ALLAH..

Jika benar mereka di langit, turunkanlah mereka dari sana..
Jika benar mereka di dasar lautan, timbulkanlah mereka dari sana..
Jika benar mereka di daratan, tunjukkanlah kami di mana tempatnya..
Jika benar mereka ‘sudah kembali’ padaMU, perlihatkan mereka kepada kami buat kali terakhir..

Dan..
Jika mereka sebenarnya ada di hadapan mata namun masih KAU hijabkan daripada pandangan manusia, Kami mohon ya ALLAH, bukakanlah hijab itu.. tenangkanlah hati2 kami yang gundah, legakanlah jiwa2  kami yang resah, gembirakan kami dengan keajaiban kuasaMU yang tiada tandingannya.

Ya ALLAH..
Hanya Engkau yang berkuasa ke atas segala sesuatu. Sesungguhnya KAU Maha Mengetahui segala sesuatu yang tidak kami ketahui.. Bantulah kami dalam usaha pencarian ini. Permudahkanlah segalanya ya ALLAH.. Wahai Tuhan yang Maha Pemurah lagi Mengasihani..

Aamiin ya Rabbal ‘Alamiin..
***

Masih ternanti kepulangannya. Moga ada keajaiban yang berlaku di sebalik pelbagai andaian yang timbul. Mudah-mudahan ALLAH selamatkan setiap satu nyawa yang bernafas di dalam pesawat itu.

Dalam kita menanti penuh debaran kepada pengakhiran apa sebenar terjadi dengan pesawat ini, kita hendaklah bersabar, bertawakkal, redha, dan bertakwa kepada ALLAH. Sewajarnya insiden ini dapat membantu kita insaf dan kembali dekat dengan ALLAH yang Maha Khaliq. ALLAH Lebih Arif dan Maha Mengetahui segala apa yang berlaku di langit dan bumi serta di antara keduanya!

Andai ini satu peringatan buat kita yang selalu alpa, maka ambillah ibrah daripada kejadian yang sedang berlaku ini. Jika sains tak mampu memberi jawapan, serahkan kepada Pencipta Sains tersebut (ALLAH). Apapun yang berlaku, kembalilah kepada pegangan agama sebagai panduan hidup kita. InshaALLAH, ada jawapan bagi setiap persoalan yang menerjah di minda..

La hawla wala quwwata illa billah.
Wallahu a'lam bissawab.

Wassalam.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...