Friday, September 7, 2012

Sebelum Engkau Halal Bagiku..

Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakaatuh..

Yaa Rabbi..


Ajarilah kami bagaimana memberi sebelum meminta, berfikir sebelum bertindak, santun dalam berbicara, tenang ketika gundah, diam ketika emosi melanda, bersabar dalam setiap ujian. Jadikanlah kami orang yg selembut Abu Bakar As-Siddiq, sebijaksana Umar bin Khattab, sedermawan Uthman bin Affan, sepintar Ali bin Abi Thalib, sesederhana Bilal, setegar Khalid bin Walid..

Amiin ya Rabbal'alamin.

Inilah cerminan seorang wanita yang merindukan indahnya mahligai rumahtangga.Yang menginginkan kehidupan yang sakinah, mawaddah wa rahmah dalam kehidupannya kelak, bila nanti sang syabab datang melamarnya.
 

Lelaki idamanku yang jauh di sana, sebelum engkau dihadiahkan untuk hidupku, kan ku tuliskan sepucuk surat cinta untukmu. Aku mungkin bukan seorang yang romantis tapi mungkin bisa menjadi yang romantis untukmu. Inilah ungkapan isi hatiku yang telah sekian lama menunggumu.

Aku memang bukan seorang wanita berparas cantik ataupun kaya. Aku juga bukan seorang wanita sedermawan Khadijah, sesabar Fatimah dan sepintar Aisyah. Aku hanyalah seorang wanita biasa yang serba kekurangan.

Inilah aku seadanya, yang akan mencintaimu juga seadanya. Yang mencintaimu kerana Allah. Yang bersedia menemani sepinya hari-harimu. Yang selalu bersedia melengkapi kekuranganmu. Yang selalu ingin membantu kesusahanmu. Yang sangat senang bila melihat kau merasa senang.

Aku ingin mencintaimu secara sederhana tanpa harus menyusahkanmu, memberatkanmu dan membebanimu.
Aku ingin mencintaimu seadanya tanpa harus diada-adakan. Aku ingin mencintaimu tanpa melihat kekuranganmu. Aku ingin juga mencintaimu sepenuh hati tanpa harus terpaksa. Aku juga wanita yang ingin dicintai seperti perasaanku yang ingin mencintaimu.


Aku ingin hidup bahagia denganmu bukan kerana harta, bukan kerana hal duniawi, bukan, bukan itu. Aku ingin hidup bahagia denganmu kerana kau bersyukur telah memiliki aku. Kerana kau ingin melaksanakan perintahNya. Kerana kau ingin menjauhi laranganNya. Kerana kau ingin mengikuti sunnah kekasihNya, Muhammad SAW. Maka bahagiakanlah aku kerana Allah sekalipun kita hidup kekurangan.

Aku tidak ingin yang lebih darimu kerana aku tidak ingin memberatkanmu dan kerana aku ingin mencintaimu untuk saling melengkapi satu sama lain.

Duhai lelaki idamanku yang jauh di sana…

Inilah curahan hatiku, inilah hasratku dan inilah kalimat-kalimat cintaku kepadamu..

Bila kelak nanti Tuhan menghadiahkanmu untuk hidupku, kan ku layani engkau sepenuhnya, kan ku jaga engkau dari sesuatu yang menyakitkanmu dan ku rawat engkau kala sakitmu dan juga ku penuhi apa yang kau mahu dariku bila aku mampu. Tapi jangan paksa aku bila aku tidak mampu melakukannya. Aku ingin kau memahami aku, yang juga ingin memahamimu sepenuh hati.

Aku, kamu dan kekurangan, fahamilah cintaku.

Inilah aku.. yang ingin mencintaimu, menyayangimu, membahagiakanmu dan melengkapimu.
Inilah aku dan perasaan cintaku..
Inilah aku dan surat cintaku untukmu..
Aku mencintaimu kerana Allah Azza Wa Jalla.
♥



*******

Sungguh bahagia insan yang telah menemui cinta sejatinya.. ibarat tasbih & benang pengikatnya.. menjadi satu untaian yang selalu disentuh satu demi satu oleh insan mulia yang bibirnya basah akan lafaz cinta kepada RabbNya..

Barakallaahu fikum wa jazakumullah khair..
♥

Friday, August 17, 2012

Curi masa jap

Bismillahirrahmanirrahim...

Assalamu'alaikum wbt..

Erm.. apa khabar medan bicara saya? Lama tidak berkongsi rasa. Hehe..

Tika ini, sempat mata menjenguk blog tatkala diri masih berada di pejabat yang kian lengang kerana masing-masing sudah bercuti untuk hari raya yang akan menjelang Ahad ini insyaAllah. Saya pula akan mengikut jejak langkah, kerana akan bercuti seminggu pada minggu depan. Hee.. ^_^

Sebenarnya, fikiran ligat mencari idea lagi.. untuk mengupdate blog yang semakin diabaikan. Tapi.. nantilah, andai idea datang bertamu, barulah post ini disambung kembali. Sekarang masa untuk bekerja. Jumpa lagi! Hihi.. :P

Wassalam..

Tuesday, July 10, 2012

Sepi Sekeping Hati

Bismillahirrahmanirrahim..

Assalamu'alaikum wbt..


Hujan renyai-renyai malam ini menemani diri saya yang kesepian di kamar. Terlintas di minda beberapa bait kata untuk menggambarkan perasaan ketika ini, memaksa saya untuk hadir di medan bicara (blog) saya ini untuk berkongsi rasa itu. Tetapi, tika medan bicara sudah terbentang di depan mata, kata-kata itu hilang. Sunyi, sepi.. yang ada hanya detakan jari di papan kekunci yang seenaknya berbicara mengikut rentak tersendiri tanpa sebarang perancangan.

Saat sepi menikam jiwa, rindu menggamit hati pada kenakalan pelatih2 di kem PLKN tempat saya menempatkan diri sebagai penceramah jemputan baru2 ini. Kem mana? Tak payahla cerita. Hehe.. Tapi, sepi ini memanggil kenangan seminggu berada di sana. Lucu mengenangkan gelagat mereka. Ya, sesekali terbit juga rasa geram tatkala melihat kedegilan sebahagian daripada pelatih di kelas seliaan saya. Tapi, tak apalah. Sebenarnya, itu perkara biasa. Yang penting, sabar itu perlu ada.. :) Pelbagai gelaran saya dapati sepanjang menjadi 'cikgu' mereka. Paling lucu, gelaran 'cincaluk'. Entah dari mana budak kecik yang saya panggil 'belacan' itu mendapat idea menggelarkan saya sebegitu rupa. Hee.. Yang nyata, beberapa pelatih di sana, wira dan wirawati, benar2 membuatkan saya menyelami erti rindu pada saat ini. :) Banyak kisah yang tercoret, tapi biarlah tersimpan di sanubari, kerana saya yakin jika saya asyik mencoretkannya di sini, sepanjang malam ini belum tentu jari ini berhenti menaip.. :P

Selain mereka, saya juga merindui sahabat seperjuangan yang telah pergi buat selamanya pada Februari lepas. Hari ini, ada beberapa orang yang datang ke pejabat untuk mencari responden bagi menyempurnakan tugasan kaji selidik mereka. Terkejut saya melihat kelibat salah seorang daripada mereka. Aduh, dia hampir2 menyerupai arwah sahabat saya dari segi rupa, percakapan, pergerakan dan gaya penampilannya. Berbicara dengannya, seolah-olah merasakan sahabat saya berada di depan mata. Tiba2 saya tersedar, dia bukan sahabat saya. Sahabat saya telah pergi.. jauh meninggalkan saya di dunia yang penuh dugaan ini. Sedih benar rasa hati, ingin saja menitiskan air mata tika saya kembali kepada realiti. Tapi, terpaksa ditahan. Ya Allah, jadikan aku selalu redha dengan pemergiannya. Jadikan aku hamba yang selalu menyedari bahawa mati itu pasti...... (Dah, tak mau la cita pasal tu lagi. Sedih..)

Erm.. keadaan kesihatan tidak begitu memuaskan sejak akhir2 ini. Tapi, dek kesibukan yang seperti tak berkesudahan, terpaksalah melupakan segala rasa itu. Ditambah lagi dengan beberapa masalah dan tekanan hidup tanpa noktah yang tak tahu bagaimana untuk dihuraikan, Allahu Rabbi.. apakah agaknya perkataan terbaik untuk melabelkan segala rasa ini?

Jiwa terlalu sepi.. hati terlalu sunyi. Tika cuba membuang jauh tekanan yang mendatang, sempat saya mengintai pintu bahagia, dan tertanya, akan ada kah tempat untuk saya di sana? Mungkin ada yang menganggap saya terlalu sensitif untuk perkara biasa atau perkara kecil.. Andai saja kamu tahu, rasa itu hadir kerana terlalu memendam pelbagai perkara sehingga yang kecil2 itu tiba2 terkumpul menjadi besar. Hanya sabar jadi kunci. Kalau tidak, entah apa agaknya bentuk hati saya saat ini.. Terima kasih ya Allah, kerana masih memberikan daku kekuatan ini. ^_^

Bukan ingin mengeluh.. cuma sedang mencuba mengumpul kekuatan untuk bangun semula. InsyaAllah.. Sudah cukup, cukup sudah~ kalau dilayan gerakan jari jemari ini, entah bila agaknya mahu menoktahkan bicara. Jadi, seeloknya bicara papan kekunci saya pada malam ini terhenti di sini. Terima kasih kerana membaca. Maaf andai ada keterlanjuran kata2. Semoga ketemu lagi.. InsyaAllah ^_^

Semoga senyuman akan terus terukir di bibir ini, walau hati kadang2 terasa seperti tak mampu bertahan. :) Hadirlah ketenangan.. Selalu sematkan dalam hati, "Innallaha ma'ana..."

Wassalam..



Sunday, June 17, 2012

Istikharah Cinta


Bersaksi Cinta Diatas Cinta
Dalam Alunan Tasbih Ku Ini
Menerka Hati Yang Tersembunyi
Berteman Di Malam Sunyi Penuh Do'a

Sebut Nama Mu Terukir Merdu
Tertulis Dalam Sajadah Cinta
Tetapkan Pilihan Sebagai Teman
Kekal Abadi Hingga Akhir Zaman

Istikharah Cinta Memanggilku
Memohon Petunjuk-Mu
Satu Nama Teman Setia
Naluriku Berkata

Dipenantian Luahan Rasa
Teguh Satu Pilihan
Pemenuh Separuh Nafasku
Dalam Mahabbah Rindu

Di Istikharah Cinta..

Monday, June 11, 2012

Love You Mom :)

Bismillahirrahmanirrahim...

Assalamu'alaikum wbt..

Tahukah Anda?
Badan manusia hanya mampu menahan sehingga 45 del (unit) kesakitan. Tetapi semasa melahirkan bayi, seorang ibu merasai sehingga 57 del (unit) kesakitan. Ini sama dengan mematahkan 20 tulang secara serentak. Sekarang bolehkah anda bayangkan, kesakitan & kasih sayang seorang ibu?

Abu Hurairah radhiallahu 'anh berkata:

Seorang lelaki datang menemui Rasulullah SAW dan bertanya:
“Siapakah manusia yang paling berhak untuk aku layan dengan sebaik-baiknya?”

Baginda menjawab: “Ibu kamu.”

Dia bertanya lagi: “Kemudian siapa?”

Baginda menjawab: “Ibu kamu.”

Dia bertanya lagi: “Kemudian siapa?”

Baginda menjawab: “Ibu kamu.”

Dia bertanya lagi: “Kemudian siapa?”

Baginda menjawab: “Ayah kamu.”[1]


Seorang sahabat bernama Jahimah r.a datang menemui Rasulullah SAW meminta pandangan baginda untuk dia ikut serta dalam ekspedisi Jihad.

Rasulullah bertanya: “Adakah kamu masih mempunyai ibu?”

Jahimah menjawab: “Ya.”

Lalu Rasulullah bersabda: “Tinggallah bersamanya kerana sesungguhnya syurga terletak di bawah tapak kakinya.”[2]

Di antara ibu dan ayah, ibulah yang lebih berhak untuk menerima perhatian daripada seorang anak. Tidak sekadar itu, ibu memiliki hak tiga kali ganda lebih besar daripada seorang ayah sepertimana terbukti melalui hadis di atas.

Syurga juga terletak di bawah kaki ibu, sebagaimana yang dijelaskan dalam hadis kedua di atas. Selain itu Allah Subhanahu wa Ta‘ala juga telah mengkhususkan beberapa ayat-Nya di dalam al-Qur’an untuk ibu. Ini tidak lain menunjukkan betapa besar dan mulia kedudukan ibu di sisi Allah dalam peranannya melahirkan anak dan membesarkannya.[3] Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:

Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibubapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan). [Luqman 31:14]
Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibubapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah. [al-Ahqaf 46:15]

Terdapat beberapa sebab mengapa ibu memiliki hak tiga kali ganda lebih besar daripada seorang ayah:

Ibu terpaksa menanggung pelbagai kesusahan, sama ada dari sudut fizikal mahupun mental, dalam proses mengandung seorang anak. Allah mengkhabarkan kesusahan ini dengan firman-Nya yang bermaksud: 

“…ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah…” [al-Ahqaf 46:15]

Kesusahan ketika mengandung semakin bertambah selari dengan pembesaran janin. Kesusahan yang semakin bertambah mengakibatkan seorang ibu menanggung kelemahan demi kelemahan: “…ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan…”

Kesusahan ini mencapai tahap paling berat ketika hendak melahirkan anak tersebut: “…dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah.”

Kesusahan ini diungkap oleh Allah dalam kisah Maryam ketika beliau hendak melahirkan ‘Isa:
(Ketika dia hendak bersalin) maka sakit beranak itu memaksanya (pergi bersandar) ke pangkal sebatang pohon tamar (kurma); dia berkata:  

“Alangkah baiknya kalau aku mati sebelum ini dan menjadilah aku sesuatu yang dilupakan orang dan tidak dikenang-kenang!” [Maryam 19:23]
Berkenaan kesusahan yang amat berat saat hendak melahirkan, Abi Burdah r.a pernah melihat Ibn ‘Umar r.a dan seorang lelaki dari Yaman sedang tawaf di sekeliling Ka’bah.

Lelaki tersebut sedang mendukung ibunya lalu mengeluh: “Saya baginya bagaikan tunggangan yang hina.”

Lalu dia bertanya: “Wahai Ibn ‘Umar! Apakah sudah aku balas budinya?”

Ibn ‘Umar menjawab: “Tidak! Walaupun setarik nafasnya (yakni ketika ibunya sedang melahirkannya).”[4]

Setelah melahirkan, ibu benar-benar memberi perhatian kepada anaknya. Seandainya anaknya tidak sihat atau hilang sekejap daripada perhatiannya, nescaya dia menjadi bimbang. Apatah lagi jika anaknya dijauhkan daripadanya, seorang ibu akan teramat berdukacita sehingga hatinya menjadi kosong, sehinggalah anaknya dikembalikan kepadanya.

Kenalilah perhatian seorang ibu terhadap anaknya berdasarkan kisah berikut daripada al-Qur’an, ketika Allah Subhanahu wa Ta‘ala memerintah ibu Musa untuk menghanyutkan anaknya (Musa) agar dia (Musa) tidak ditangkap dan dibunuh oleh Fir’aun:

Dan Kami ilhamkan kepada ibu Musa: “Susukanlah dia; dalam pada itu jika engkau takutkan sesuatu bahaya mengenainya (dari angkara Firaun), maka (letakkanlah dia di dalam peti dan) lepaskanlah dia ke laut; dan janganlah engkau merasa bimbang dan jangan pula berdukacita; sesungguhnya Kami akan mengembalikannya kepadamu dan Kami akan melantiknya menjadi salah seorang daripada Rasul-rasul Kami.
Setelah itu dia (Musa) dipungut oleh orang-orang Firaun; kesudahannya dia akan menjadi musuh dan menyebabkan dukacita bagi mereka; sesungguhnya Firaun dan Haman serta orang-orangnya
adalah golongan yang bersalah.

Dan (ketika melihat kanak-kanak itu) berkatalah isteri Fir’aun:
“(Semoga dia menjadi) cahaya mata bagiku dan bagimu; janganlah kamu membunuhnya; mudah-mudahan dia berguna kepada kita atau kita jadikan dia anak.” Padahal mereka tidak menyedari (kesudahannya).

Dan (sepeninggalannya) menjadilah hati ibu Musa kosong; sesungguhnya dia nyaris-nyaris menyatakan perihal anaknya itu dengan berterus-terang jika tidaklah Kami kuatkan hatinya (dengan perasaan sabar dan tenang tenteram), supaya tetaplah dia dari orang-orang yang percaya (akan janji Allah).

Dan berkatalah dia kepada kakak Musa: “Pergilah cari khabar beritanya.” (Maka pergilah dia) lalu dilihatnya dari jauh sedang orang ramai tidak menyedarinya.

Dan Kami jadikan dia (Musa) dari mulanya enggan menyusu kepada perempuan-perempuan yang hendak menyusukannya; (melihatkan halnya itu), kakaknya berkata (kepada isteri Fir’aun): “Mahukah aku tunjukkan kamu kepada penduduk sebuah rumah yang dapat memeliharanya untuk kamu, serta mereka tulus ikhlas kepadanya?”

Maka (dengan jalan itu) Kami kembalikan dia kepada ibunya supaya tenang tenteram hatinya dan tidak berdukacita (disebabkan bercerai dengannya); dan supaya dia mengetahui bahawa janji Allah (untuk menyelamatkannya) adalah benar; akan tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui (yang demikian itu). [Maksud surah al-Qasas 28:7-13]
Sekalipun dengan segala pengorbanan ibu daripada saat mengandung hinggalah kepada membesarkan, seorang anak lazimnya akan lebih cenderung untuk meremehkan ibunya berbanding ayahnya. Faktor penyebab adalah sama ketika menjelaskan bab sebelum ini berkenaan mengapa ibu dikhususkan daripada ayah dalam larangan menderhaka. Sifat kewanitaan seorang ibu yang lemah lembut dan peranannya yang “hanya di rumah” menyebabkan sebahagian anak-anak tidak menghormati ibu mereka dan justeru melecehkan tuntutan berbuat baik kepadanya.

Lima sebab di atas, paling kurang, menjelaskan mengapa Allah dan Rasul-Nya mengkhususkan seorang ibu di atas seorang ayah. Malah hadis yang asal dalam perbincangan ini memberi hak tiga kali ganda lebih besar kepada seorang ibu berbanding seorang ayah. Oleh itu dalam rangka berbuat baik kepada ibubapa, hendaklah kita memberi perhatian dan keutamaan kepada ibu.

Mengambil iktibar daripada kisah para sahabat Rasulullah, seorang lelaki pernah bertanya kepada Ibn ‘Abbas r.a, “Saya meminang seorang wanita tetapi dia menolak pinangan aku. Setelah itu datang orang lain meminangnya lalu dia menerimanya. Saya menjadi cemburu kepadanya dan saya membunuhnya. Apakah ada taubat untuk saya?”

Ibn ‘Abbas bertanya: “Apakah ibu kamu masih hidup?”

Dia menjawab: “Tidak.”

Ibn ‘Abbas berkata: “Bertaubatlah kepada Allah dan mendekatlah kepada-Nya semampu mungkin.”

Atha’ bin Yasar (yang hadir sama saat itu) bertanya kepada Ibn ‘Abbas: “Mengapa engkau bertanya kepada lelaki tersebut sama ada ibunya masih hidup?”

Ibn ‘Abbas menjawab: “Saya tidak tahu perbuatan yang paling mendekatkan (seseorang) kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala melainkan berbakti kepada ibu.”[5]



***


Nota Kaki:

[1] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya – hadis no: 5971 (Kitab al-Adab, Bab siapakah manusia yang paling berhak untuk dilayan dengan baik).

[2] Hasan Sahih: Dikeluarkan oleh al-Nasai dan dinilai hasan sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan al-Nasai – hadis no: 3104 (Kitab al-Jihad, Bab kelonggaran daripada berperang bagi orang yang memiliki ibu).

[3] Sayang sekali kebanyakan wanita sekarang ini tidak lagi memandang mulia terhadap peranan mereka untuk melahir dan membesarkan anak. Apa yang dipandang mulia oleh Allah kini dipandang hina oleh manusia. Semua ini berlaku kerana manusia kini mengejar kemuliaan mengikut ukuran mereka sendiri. Mereka tidak sedar bahawa apa yang dianggap mulia oleh sebahagian manusia dianggap hina oleh manusia yang lain. Apa yang dianggap mulia pada masa kini akan menjadi hina pada masa akan datang. Ringkasnya, kemuliaan mengikut ukuran manusia sentiasa bersifat nisbi manakala kemuliaan mengikut ukuran Allah sentiasa bersifat hakiki.

[4] Sanad Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dan sanadnya dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih al-Adab al-Mufrad – hadis no: 9.

[5] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad – hadis no: 4 dan ia dinilai sahih oleh al-Albani dalam Silsilah al-Ahadits al-Shahihah – hadis no: 2799.


Sumber ~  Hamba Allah. :)


Semoga bermanfaat, insyaAllah..

Wassalam..
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...