Showing posts with label Ramadhan. Show all posts
Showing posts with label Ramadhan. Show all posts

Sunday, July 28, 2013

Andai Masih Ada Ramadhan..

Bismillahirrahmanirrahim..

Langit malam sudah terang menyala
indah nian dihiasi purnama
dan Ramadhan yang berlalu pergi
tak mungkin berganti

Lalu sudahkah dihitung amalan
sepanjang bulan penuh kemuliaan?
dan sudahkan dihitung dosa
yang ditebus dengan pahala?

Layakkah ku tebus segunung dosa
Sedang dalam Ramadhan yang mulia
 Dirantai iblis dan syaitan durjana
Dan yang tinggal nafsu semata

Sesungguhnya aku dalam kerugian
dan kerugian itu sangat nyata
andai Izrail datang bertandang
apakah yang bakal ku bawa pulang
sedang Ramadhan tahun ini
sudah terbentang menghampar peluang?
 
Ramadhan akan kembali
Dengan ganjaran seribu bulan
Moga tidak dipersiakan lagi
Andai masih ada Ramadhan untukku nanti..

Wednesday, August 17, 2011

Nuzul Al-Quran

Bismillahirrahmanirrahim..

Assalamu'alaikum wbt...

Peristiwa Nuzul Al-Quran adalah antara perkara penting yang harus diingat dan direnung Muslim kerana bermula dengan peristiwa itu zaman jahiliah (kegelapan) telah disinari cahaya, kesesatan digantikan kebenaran dan umat yang hidup bertuhankan hawa nafsu berubah bertuhankan Allah Yang Esa.

17 Ramadhan merupakan suatu tarikh yang amat bermakna kepada orang yang beriman iaitu Nuzul Al-Quran atau penurunan al-Quran. Kalam Allah SWT. yang berupa mukjizat, yang diturunkan melalui perantaraan malaikat Jibrail a.s. kepada Nabi Muhammad SAW. yang dikira sebagai ibadat dengan membacanya, bermula dari Surah Al-Fatihah dan berakhir dengan Surah An-Nas.

Penurunan Al-Quran dari Loh Mahfuz ke Baitul Izzah di langit dunia, berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadhan, tahun ke-41 daripada keputeraan Nabi Muhamad SAW. Perkataan ‘Nuzul’ bererti turun atau berpindah dari atas ke bawah. Bila disebut bahawa Al-Quran adalah mukjizat terbesar Nabi SAW maka ianya memberi makna terlalu besar kepada umat Islam terutamanya yang serius memikirkan rahsia Al-Quran.

"Al-Quran" bererti bacaan atau himpunan. Di dalamnya terhimpun ayat yang menjelaskan pelbagai perkara meliputi soal tauhid, ibadat, jinayat, muamalat, sains, teknologi dan sebagainya. Malah inilah sebenarnya kelebihan Al-Quran, tidak ada satu perkara pun yang dicuaikan atau tertinggal di dalam Al-Quran, dan segala isi kandungan Al-Quran itu adalah benar.

Dalam sejarah kehidupan Nabi SAW ayat Al-Quran yang mula-mula diturunkan Allah kepada Nabi Muhammad SAW melalui perantaraan malaikat Jibrail ialah lima ayat pertama daripada surah Al-‘Alaq. maksudnya:
“Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhan mu yang menciptakan (sekalian makhluk), Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; Bacalah, dan Tuhan mu Yang Maha Pemurah, Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan. Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.” (Al-‘Alaq:1-5)
Al-Quran mengandungi lebih 6,000 ayat adalah himpunan wahyu dan kitab panduan terakhir daripada Allah, diturunkan kepada Rasul-Nya, Muhamad supaya menjadi petunjuk kepada seluruh umat.

Al Quran telah diturunkan secara beransur-ansur dalam masa 22 tahun 2 bulan 22 hari atau 23 tahun, 13 tahun di Mekah dan 10 tahun di Madinah . Ayat-ayat dan surah-surah yang diturunkan sebelum peristiwa hijrah dikenali sebagai Makkiyah sedangkan yang diturunkan selepas peristiwa hijrah dikenali sebagai Madaniyyah.

Waktu penurunan Al-Quran adalah mengikut perancangan dan ketentuan Illahi. Sesuai dengan kitab itu yang sungguh mulia, Allah juga memilih penghulu segala bulan yang terkenal dengan bulan keampunan, rahmat dan keberkatan iaitu Ramadhan untuk menurunkannya. Firman Allah bermaksud:
“Ramadhan adalah bulan diturunkan Al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan daripada pembeza (antara yang hak dan batil).” (Al-Baqarah, ayat 185)

Kenapa Allah SWT turunkan Al-Quran secara beransur-ansur ? Sudah tentu kerana ia mempunyai hikmah-hikmahnya tersendiri. Antara hikmah Al-Quran diturunkan secara beransur-ansur itu ialah :
  • Lebih mudah difahami dan dilaksanakan. Orang tidak akan melaksanakan suruhan dan larangan jika diturunkan sekali gus dengan banyak.
  • Antara ayat itu ada yang nasikh dan mansukh, sesuai dengan permasalahan waktu itu. Ini tidak dilakukan jika Al-Quran diturunkan sekali gus. (Ini menurut pendapat yang mengatakan ada nasikh dan mansukh)
  • Turun ayat sesuai dengan peristiwa yang berlaku lebih mengesankan dan berpengaruh di hati.
  • Memudahkan penghafalan. Orang Musyrik bertanya mengapakah Al-Quran tidak diturunkan sekali gus seperti disebut dalam Al-Quran yang bermaksud: “Mengapakah al-Quran tidak diturunkan kepadanya sekali gus?” Dijawab dalam ayat itu sendiri: “Demikianlah, dengan (cara) begitu Kami hendak menetapkan hatimu.” (Surah al-Furqan, ayat 32)
  • Ada antara ayat itu jawapan daripada pertanyaan atau penolakan suatu pendapat atau perbuatan seperti dikatakan Ibnu Abbas. Hal ini tidak dapat terlaksana jika Al-Quran diturunkan sekali gus.
Sehubungan itu, peristiwa Nuzul Al-Quran harus dihayati umat Islam kerana ia menjadi asas keimanan terhadap Al-Quran bahawa ia adalah kalam Allah. Bahkan, ia dilihat asas utama dalam pengakuan umat Islam terhadap kerasulan Nabi Muhammad SAW serta keyakinan Islam itu agama benar, satu-satunya agama yang diredhai di sisi Allah.

Kesalahan besar yang dilakukan oleh Umat Islam hari ini yang menyebabkan mereka gagal menjadi manusia yang hebat dan bertaqwa adalah kerana kita meninggalkan Al-Quran samada secara sedar atau tidak sedar. Imam Ibnu Katsir menjelaskan maksud meninggalkan Quran sebagai berikut :
a. Tidak membaca Al-Quran dan tidak mahu mendengarkannya.
b. Tidak beriman dengan ajaran Al-Quran.
c. Tidak mengkaji dan memahami Al-Quran.
d. Tidak membenarkan isi kandungan Al-Quran.
e. Tidak mengamalkan ajaran Al-Quran.
f. Berpaling daripada Al-Quran kepada yang lain
Bulan Ramadhan inilah peluang yang terbaik bagi kita untuk mengelakkan kita daripada tergolong dalam kalangan mereka yang meninggalkan Al-Quran. Apa yang penting kita mesti memastikan adanya peningkatan di setiap Ramadhan yang kita lalui dan yang kita tinggalkan.
 
Daripada hanya mendengar bacaan Al-Quran kepada membacanya dengan penuh keimanan. Daripada membaca kepada mengkaji dan memahami. Daripada memahami kepada membenarkannya. Daripada membenarkannya kepada mengamalkannya dan mengutamakannya daripada segala yang lain daripadanya. Jika kita masih masih memandang serong apatah lagi menentang ajaran Al-Quran maka Ramadhan sebenarnya memang bukan untuk kita, maka bersedialah kita untuk menerima pembalasan dari Allah swt. 
 
Wallahu a'lam..
 
Wassalam..

Thursday, August 11, 2011

30 Hari Mencari CINTA

Bismillahirrahmanirrahim..

Assalamu'alaikum wbt..

Hari ini, 10 Ramadhan 1432H. Alhamdulillah sudah satu pertiga bulan mulia ini kita harungi bersama. Masih ada 20 hari lagi untuk melaksanakan ibadah di bulan yang penuh barakah ini. Esok sudah masuk fasa kedua. Moga kita diberi kekuatan iman untuk menempuhi 30 hari ini dengan penuh kesabaran.

Beberapa hari yang lalu, saya meletakkan ayat “30 hari mencari CINTA” sebagai status di wall facebook saya. Tertarik saya pada soalan sahabat, “Cukupkah 30 hari ini untuk mencari cintaNya?”

Hmmm...

30 hari memang tak cukup untuk kita mencari cinta Allah SWT. CintaNya Maha Agung, tiada yang dapat mencintai kita sebaik Dia. CintaNya cinta sempurna. Justeru apa peranan kita sebagai hambaNya untuk membalas cintaNya? Mengabdikan diri pada Pencipta teragung kita, menyemai rasa kecintaan yang tidak berbelah bagi kepada yang Maha Esa, melaksanakan perintah Allah dan tentu sekali meninggalkan laranganNya. Sudahkah kita melakukannya? Sempurnakah cinta kita?

Hakikatnya, seluruh hidup pun belum dapat membalas keagungan cinta Ilahi..

Dalam selaut cinta, mungkin cinta kita hanya setitis buat Dia. Kerana itulah kita selalu lupa kepadaNya. Kita asyik mengejar nikmat dunia. Kita sering lupa tujuan kita dilahirkan, lupa tanggungjawab sebagai khalifah, lupa membezakan dosa pahala. Astaghfirullahal’azim…

"Sesungguhnya Allah menjadikan bulan Ramadhan sebagai arena perlumbaan melakukan ketaatan bagi makhlukNya, kemudian ada yang berlumba-lumba hingga menang dan ada pula orang-orang yang tertinggal lalu kecewa. Tetapi sangat menghairankan ialah peserta yang tertawa-tawa di saat orang lain memecut untuk meraih kemenangan." (Hassan al Basri)

30 hari.. kita manfaatkan untuk melakukan amal ibadah. Sekurang2nya masih ada kesedaran untuk kita menghambakan diri padaNya. Tapi, 30 hari sajakah? Sesudah Ramadhan berlalu, apa yang berlaku?

Fastabiqul Khairat!!

Berlumba-lumbalah dalam melakukan kebaikan. Pecut laju2 bila buat ibadah. Jangan berhenti. Sebulan Ramadhan kita manfaatkan sebaiknya. Dan.. Andai Ramadhan berlalu, bukan bermakna itu menjadi titik noktah kepada amalan yang telah kita lakukan di bulan penuh rahmat ini. Istiqamahlah. Siapa tahu, mungkin ini Ramadhan terakhir kita. Jadikan Ramadhan sebagai madrasah tarbiyyah untuk kita menghadapi sebelas bulan yang lain, insyaAllah..

Ayuh sama2 renung sejenak kata2 hikmah yang berbunyi.. “Jadilah kamu hamba Allah, jangan jadi hamba Ramadhan..”

Jadi.. Setakat ini sahaja perkongsian buat kali ini.. Ringkas. Tiba2 kekeringan idea untuk terus menaip. Cukuplah. Sekurang2nya perkongsian ringkas ini dapat memberi nafas kepada blog yang telah lama pengsan ini kan.. Hehe..

Apapun.. Moga misi 30 hari mencari cinta ini ada hasilnya.. Amin ya Rabb..:)

Wassalam..


Friday, July 29, 2011

Warkah Ramadhan daripada Syaitan..

Bismillahirrahmanirrahim..

Assalamu'alaikum wbt..

Jom baca.. sebagai renungan dan peringatan untuk kita sempena Ramadhan al-Mubarak.. :)

*****


Menemui sahabatku..

Bila Ramadhan menjelang, seluruh hatiku hancur,  mengenang diri yang akan terkurung, tak daya menemani sahabat  yang selama ini setia bersamaku tiap masa dan ketika. Sahabatku, yang sentiasa menerima pelawaanku melakukan dosa, membantu aku membiarkan maksiat bermaharajalela, melakukan kemungkaran tanpa mengira usia.. Wah, betapa bahagianya aku bila mempunyai sahabat sepertimu..
 
Tadi malam waktu engkau mahu tidur,  aku lihat engkau tidak membaca ayat memuji Allah dan tidak berselawat. Bagus sahabat.. kerana waktu tidur adalah waktu untuk tidur, bukan untuk membaca Al-Quran. Sesungguhnya engkau tidak membuang masa.
 
Pagi ni aku lihat kau tidak bangun sahur dan mengerjakan solat subuh. Engkau telah membuktikan bahawa engkau adalah sahabatku yang budiman. Janganlah engkau susah-susah bangun dan memendekkan tidur. Tidurlah dengan nyenyak dan nyaman. Jangan hiraukan apa sahaja yang mengejutkan engkau daripada tidurmu.

Tiada gunanya engkau berpuasa, berlapar dan menyeksa dirimu sendiri. Untuk apa bersahur sedangkan engkau boleh makan bila pun yang engkau mahu. Waktu begitu, udara masih dingin, tariklah selimutmu dan tidurlah dengan penuh kenikmatan.


Sahabat tercinta..


Aku lihat engkau tidak pernah membaca Bismillah sewaktu hendak makan. Bagus, kerana engkau tidak perlu memenatkan mulutmu. Dan bila sudah kenyang, engkau tidak pernah menyebut Alhamdulillah. Ini bagus juga. Cukuplah engkau sendawa kuat-kuat seperti lembu.

Duhai manusia,


Apabila engkau berpuasa,telah lemah seluruh urat sendiku, telah terbakar seluruh jasadku,merintihku kesakitan, setiap kali ku lihat hamba-hambaNya yang penat berpuasa di siang hari dan menghabiskan waktu malamnya dengan berzikir dan merintih mengenang dosa-dosanya yang lepas, kerana pintu taubat telah dibuka Allah dengan seluas-luasnya.

Namun,aku tetap gembira
kerana ada di antara kamu yang masih sudi menjadi temanku, melepaskan peluang rahmat Allah dengan mengucap perkataan yang sia-sia,mengumpat, tidak solat malah mencipta persengketaan.. tidak berpuasa malah mencipta kemungkaran.. tanpa aku, engkau masih mampu berdikari,

Aduhai, tubuh badanku yang terbelenggu telah segar kembali.
Cukuplah NAFSU manusia sendiri menjadi penyambung tugasku di sepanjang bulan yang dirahmati ini. Di akhirat nanti,engkau dan aku dapat berjalan bersama-sama… kita berpegang tangan menuju NERAKA JAHANAM..


sahabatmu yang tercinta,


SYAITAN LAKNATULLAH
***

“Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam agama Islam dengan selengkapnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah syaitan; sesungguhnya syaitan itu musuh bagi kamu yang terang lagi nyata.. (al-Baqarah 2:208)

Wassalam..
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...