Showing posts with label Muhasabah. Show all posts
Showing posts with label Muhasabah. Show all posts

Friday, December 26, 2014

2014 Yang Bakal Ditinggalkan

Bismillahirrahmanirrahim..
Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh..

Sama ada sedar atau tidak, kita sudah semakin hampir ke penghujung 2014. Hanya tinggal beberapa hari saja lagi untuk kita melangkah ke tahun baru 2015.

Dan.. sama ada kita sedar atau tidak, betapa banyak ujian yang ALLAH kirimkan buat kita dan buat Malaysia pada tahun ini. Isu pesawat hilang dan terhempas, serta bencana alam seperti kemarau dan baru-baru ini banjir besar, adalah antara perkara yang berlaku pada tahun 2014 di negara kita. Puting beliung juga sudah mula 'singgah' di bumi Malaysia pada tahun ini. Tidak perlu saya huraikan satu persatu kerana pasti semua sudah tahu. Saya sekadar ingin bertanya.. Sedarkah kita?

Apapun, usah sesekali melatah atau mengeluh bila ditimpakan ujian. Bukankah ujian itu tarbiyyah daripada ALLAH sebagai tanda kasih dan sayangNya kepada kita. ALLAH itu Maha Pengasih dan Maha Mengetahui apa yang terbaik buat hambaNya. Ambillah hikmah daripada setiap kejadian yang berlaku.


Bila diberikan ujian, di sinilah kita mengenal siapa diri kita yang sebenar. Orang yang kuat imannya, yang memahami siapa dirinya yang sebenar, walau seberat mana ujian yang datang, dia tetap akan tenang. Hatta maut sekalipun, dia terus akan tenang. Ini kerana dalam dirinya telah terbangun jiwa yang hebat. Rasa cinta yang begitu hebat untuk bertemu ALLAH. Segala ujian yang kita terima adalah sebuah persiapan untuk menguatkan jiwa kita menuju kepada cinta ALLAH. Indah bukan?

2014.. mungkin jadi tahun yang agak banyak mencoret kisah duka dalam hidup kita. Namun, jangan sedih.. itu bukan alasan untuk tidak meneruskan hidup seperti biasa. Dan dalam hidup yang biasa itu, jadikan iman kita 'luar biasa'. Jadikan ujian yang dilalui sebagai satu asbab untuk kita menjadi lebih tabah dan dekat di sisi ALLAH. Mungkin di sebalik apa yang berlaku, ada 'teguran' daripada ALLAH untuk kita. Mungkin ALLAH rindu dengan rintihan kita kepadaNya, maka diturunkan ujian agar kita selalu berdoa dan bermunajat memohon pertolonganNya, agar kita tidak terus jauh dariNya..

Tidak ALLAH jadikan sesuatu itu sia-sia. Bak kata Pencetus Ummah Johani, "Di sebalik sesuatu, ada sesuatu. Redha.. sangka baik." Ya.. Tentu ada hikmah di sebaliknya. Janji ALLAH itu pasti.

2015.. akan muncul jua. Jadikan 2015 sebagai permulaan untuk hidup yang lebih indah sebagai hamba ALLAH. Tinggalkan segala kemungkaran dan maksiat. Perbanyakkan amalan kebaikan. Teruskan mujahadah melawan nafsu. Teruskan usaha untuk mendekatkan diri kepada ALLAH yang Maha Satu. Moga di situ akan terbit rasa betapa indahnya hidup sebagai seorang hamba. InshaALLAH.


Sekian. Sekadar coretan hamba ALLAH yang hina di penghujung tahun 2014.

Wallahu a'lam.
Wassalam.

Friday, November 21, 2014

Kesibukan Dunia

Bismillahirrahmanirrahim..

Assalamu'alaikum wbt..

Semakin hari, terasa semakin singkat putaran waktu. November seakan baru menjenguk, namun hari ini sudah semakin hampir ke penghujungnya. Mengapa agaknya? Adakah kerana kesibukan menjalankan tanggungjawab harian membuatkan kita rasa begitu? Atau mungkinkah kita asyik membazir masa dengan perkara lagha, atau lebih teruk lagi terbuai dengan keasyikan indah duniawi sehingga mengetepikan ukhrawi?
Astaghfirullahal'aziim..
Imam al-Ghazali membahagikan keadaan manusia kepada 3 kategori:

1. Orang yang tenggelam dalam urusan keduniaan
2. Orang yang bertaubat dan mula bertaubat
3. Orang yang mengenal diri sendiri dan merasakan hayatnya akan berakhir

Golongan yang pertama ini tidak mengingati kematian. Jika diingati sekalipun, mereka hanya merasa sedih kerana mengenangkan diri yang akan meninggalkan harta kekayaan yang dimiliki, dan amat benci dengan kematian. 

Golongan yang kedua mereka sentiasa berada dalam keadaan cemas, takut dan bimbang akan kematian. Mereka akan menyempurnakan taubat dengan sebaik mungkin. 

Manakala golongan yang ketiga sentiasa mengingati mati setiap masa. mereka menunggu-nunggu saat kematian untuk bertemu dengan Allah seperti orang yang bercinta untuk bertemu dengan kekasihnya.
Jadi.. golongan yang manakah kita?

Saudara seagama yang dimuliakan.. jangan sesekali menjadikan kesibukan dunia sebagai alasan untuk meninggalkan tanggungjawab sebagai serorang hamba Allah SWT. Allah mengurniakan kita 24 jam sehari untuk kita gunakan dan bahagikan sebaiknya.

Kenapa Allah SWT bagi kita 24jam sehari? Supaya kita boleh bahagikan kepada :
  • 8 jam untuk bekerja/cari rezeki
  • 8 jam untuk beribadah/beriadah
  • 8 jam untuk tidur/berehat
Manusia yang bijak sepatutnya dapat memanfaatkan 24 jam sehari untuk 3 tujuan yang tersebut di atas. Namun sebenarnya, setiap perbuatan, pekerjaan atau pergerakan yang kita lakukan dengan niat kerana Allah SWT inshaAllah semuanya dikira sebagai ibadah. Bukankah Allah itu Maha Pemurah lagi Maha Penyayang? Indahnya hidup sebagai hamba Allah jika kita benar-benar memaknai rasa kehambaan itu dalam erti kata yang sebenarnya bukan?


Sebenarnya, saya hanya memanfaatkan sedikit waktu rehat ( lunch hour ) untuk menulis entri kali ini. Jadi, rasanya cukup sampai di sini dahulu. InshaAllah, moga Allah izinkan kita untuk bertemu lagi dalam entri yang akan datang. Salam sayyidul ayyam, dan selamat beribadah..

Wallahu a'lam.
Wassalam..

Thursday, October 16, 2014

10 Muwasafat Tarbiyyah

Bismilllahirrahmanirrahim..

Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh..

Mungkin masih ada antara kita yang tertanya-tanya.. Apakah maksud muwasafat tarbiyyah? Jadi, hari ini ingin saya kongsikan sedikit sebanyak penerangan tentang apakah muwasafat tarbiyyah yang sebenarnya..

Muwasafat berasal daripada perkataan akar (wa-sho-fa) yang membawa maksud ciri-ciri atau watak atau rupa diri. Manakala muwasafat adalah pelaku kepada perkataan (wa-sho-fa) atau disebut sebagai (fai’l) yang bermaksud penyerlahan watak secara khusus.
Menurut Dr Ali Abdul Halim Mahmud dalam buku yang berjudul terjemahan ‘peringkat-peringkat tarbiyah ikhwanul muslimin’ mendefinasikan tarbiyah ialah cara ideal berinteraksi dengan manusia untuk mengubah mereka dari satu keadaan kepada keadaa yang lebih baik.

Jadi, dapat kita simpulkam bahawa MUWASAFAT TARBIYYAH  merupakan kriteria yang perlu ditanamkan dalam diri untuk menjana keperibadian Muslim yang syumul.

Muslim yang ingin mempersiapkan diri dalam perjuangan Islam perlu memperbaiki dirinya agar sentiasa berada di 'hadapan' manusia lain. Risalah Islam yang syumul ini hendaklah difahami dengan membentuk diri yang syumul juga. Maka hendaklah diteliti di sini tentang aspek-aspek seorang daie Muslim dalam rangkanya untuk menjadi seorang Muslim yang sempurna.

Imam Hassan Al-Banna telah menggariskan 10 ciri-ciri ini untuk kita semua, agar mampu mengurus diri dan meningkatkan mutu kerja dalam melakukan ibadah kepada Allah s.w.t. Jika kita berjaya menerapkan 10 Muwasafat Tarbiyyah ini dalam gaya hidup kita, sudah pasti...penerapan gaya hidup islam itu mampu kita laksanakan selari dengan Al-Quran dan Sunnah baginda Rasulullah s.a.w

1. Aqidah yang sejahtera (salimul 'aqidah)

- Dengan akidah yang sejahtera, seorang muslim mempunyai ikatan iman yang kuat kepada
Allah S.W.T. - Redha Allah sebagai tuhan, islam sebagai agama dan Muhammad S.A.W. sebagai nabi
- Sentiasa taqarrub ilallah (mendekatkan diri kpd Allah) dan mengingati akhirat
- Menjaga hati, bertaubat, istighfar, menjauhi dosa dan syubhah.

Bagaimana ? 
1.sentiasa menjauhi amalan syirik
2.Ikhlas beramal kerana Allah
3.Beriman dengan Rukun Iman dan perkara ghaib
4.Sentiasa bersyukur

Firman ALLAH S.W.T : 
"Katakanlah (Muhammad) sesungguhnya solatku, ibadahku,hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah , Tuhan sekalian alam”
 (Al-An’am:162)


2. Ibadah yang sohih ( sohihul 'ibadah)

- Sentiasa belajar untuk membetulkan ibadah
- Sentiasa belajar untuk membetulkan amalannya dan mengetahui halal dan haram
- Tidak melampau atau berkurang(bersederhana)
- Beribadat dengan khusyuk
- Elakkan amalan bid’ah dan khurafat
- Sentiasa berdoa, wirid, membaca al-quran dan berzikir

Bagaimana ? 
1.Menghargai solat berjamaah di masjid
2.Qiamullail seminggu sekali
3.Menunaikan zakat dan berpuasa wajib
4.Berpuasa sunat setiap bulan
5.Sentiasa membaca Al-Quran dan menjaga adab tilawah
6.Menghafaz 1 juzu’ Al-Quran

Sabda Rasulullah S.A.W :
“Solatlah kamu sepertimana kamu melihat aku mengerjakan solat”
(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)


3. Akhlak yang mantap ( matinul khuluq )

Akhlak kita ialah Al-Quran dan ditunjukkan oleh Nabi saw. Dalam Al-Quran terdapat banyak ayat yang menjelaskan betapa indahnya akhlak nabi kita baginda Rasulullah S.A.W.

Bagaimana ? 
 1.Tidak takabbur
2.Tidak menipu, mencaci, mengumpat dan mengejek
3.Tidak memperlekehkan sesuatu kumpulan
4.Memilih kawan yang baik
5.Menghormati orang yang lebih tua
6.Menunaikan janji dan menjaga rahsia
7.Menutup keaiban orang lain
8.Sensitif terhadap dosa

Firman ALLAH S.W.T :
“Dan sesungguhnya kamu benar-benar berbudi pekerti yang agung” 
(Al-Qalam :4)


4. Mampu berusaha (qadiran 'ala kasbi)


- Yakin usaha sendiri akan berhasil
- Tidak mengharapkan pertolongan orang lain selagi boleh diusahakan
- Melakukan kerja dengan penuh tekun
- Berjimat cermat
- Menjauhi daripada daripada segala kemewahan, riak, dan takbur.

Bagaimana ? 
1.Menjauhi kerja haram
2.Menjauhi penipuan
3.Menunaikan zakat
4.Membuat simpanan walau sedikit
5.Tidak menangguhkan tugasan
6.Memelihara milik awam dan peribadi

Imam Hassan Al-Banna menegaskan :
“Wajib ke atas akh muslim kekal dengan pekerjaan yang diusahakannya sekalipun ia telah kaya… jangan mengejar jawatan, tapi tidak menolak sekiranya diberi peluang, hendaklah menghindarinya apabila bertembung dengan tugasan dakwah.”


5. Berpengetahuan luas (mutsaqqafal fikri)

- Allah mengangkat darjat orang yang beriman dan berilmu
- Berpengetahuan luas tentang ilmu agama
- Haruslah berpandukan Al-Quran dan hadis
- Peka terhadap isu-isu semasa
- Memahami ideologi kafir laknatullah serta serangan-serangan orang kafir untuk meracuni pemikiran umat Islam

Bagaimana ?
1.Mampu membaca dan menulis dgn baik
2.Membaca tafsir 1 juzu’ dari Al-Quran
3.Menjaga hukum-hukum tilawah
4.Menghafaz ½ dari Hadith 40
5.Menghafaz 20 hadith dari Riyadhus Salihin
6.Mengenali 10 orang yg dijanjikan syurga
7.Mengetahui hukum2 taharah/ puasa/ solat.
8.Memahirkan diri dengan teknologi baru.


Berkata Ustaz Fathi Yakan : 
“Hendaklah bermula fardun muslim itu dengan memahami Islam dengan kefahaman yang sebenarnya dan jelas tentang usulnya, sumber yang pertama iaitu dari al-Quran  dan as-Sunnah dan juga sirah nabawi. Ini adalah untuk memiliki tasawwur yang jelas mengenai agama ini…tentang hukum hakamnya, syariat-syariatnya, hadaf (tujuan) dan ghayahnya(matlamat) pada diri, masyarakat dan daulah.


6. Kuat tubuh badan (qawiyyul jism)

- Akal yang sihat terletak pada badan yang sihat

Bagaimana ? 
1.Bersih tubuh badan
2.Bersih pakaian, tempat tinggal
3.Makan dan minum mengikut sunnah
4.Iltizam dengan senaman 2 jam seminggu
5.Bangun sebelum subuh
6.Mematuhi kaedah membaca dgn betul
7.Tinggalkan merokok
8.Menjauhi tempat2 kotor dan berpenyakit

Sabda Rasulullah S.A.W :
“Mukmin yang kuat itu lebih baik dan lebih dikasihi Allah dari mukmin yang lemah, tetapi pada keduanya ada kebaikan”

7. Bersungguh-sungguh melawan nafsu (mujahadah 'ala nafs)


- Perlu mempunyai azam yang kuat untuk melawan hawa nafsu dan mengikut kehendak Islam
- Bersungguh mempraktikkan Islam dalam kehidupan tanpa menghiraukan apa orang kata.
- Kuat dalam mengharungi ujian dan cabaran dalam melakukan amar ma'ruf nahi munkar.

Bagaimana ? 
1.Menjauhi tempat-tempat lalai
2.Meninggalkan tempat-tempat maksiat
3.Bergaul dengan orang yang baik
4.Melatih diri bersabar menghadapi kesukaran
5.Menjauhi perkara-perkara haram


8. Menjaga waktu (haarithun 'ala waktihi)

- Waktu ibarat emas. Waktu yang berlalu tidak akan berulang semula.
- Manfaatkan sebaik-baiknya waktu yang ada dengan perkara yang baik untuk agama dan umat Islam.

Bagaimana ? 
 1.Bangun awal
2.Menggunakan masa tertentu untuk belajar
3.Melakukan sesuatu tepat pada waktunya (tepati waktu)

Al-Imam Hassan Al-Banna berkata : 
“Sesungguhnya kehidupan manusia sejak dari lahir lagi sehingga wafatnya di dunia ini tidak lain melainkan masa yang telah berlalu yang  tidak dapat dikembalikan semula. Oleh itu ‘masa’ itu amat berharga lebih mahal daripada emas.”


9. Tersusun dalam urusannya (munazzam fi syu'unihi)

- Untuk manfaatkan waktu dengan baik.. perlu penyusunan dalam segala urusan.
- Gunakan segala masa dan tenaga dengan rapi untuk manfaat Islam dan dakwah.

Bagaimana ?
1.Berpenampilan elok
2.Tidak mempunyai hubungan dengan pihak yg menentang Islam


10. Berguna untuk orang lain (naafi'un lighoirihi)

- Daie umpama lilin yang membakar diri untuk menyuluh orang lain.
- Daie adalah penggerak dakwah dan Islam. Masa depan Islam, hidup mati Islam bergantung kepada dai.
- Amal Islam ialah untuk menyelamatkan orang lain dari kesesatan.
- Daie merasa gembira bila dapat membantu orang lain. Paling indah dalam hidupnya ialah bila dapat mengajak seorang manusia ke jalan Allah.

Bagaimana ?

1.Menunaikan hak orang lain
2.Suka membantu orang
3.Pemurah
4.Berkomunikasi baik dengan orang
5.Menjadi pemangkin kepada orang lain untuk melakukan kebaikan
6.Berkahwin dengan pasangan yang sekufu.


Alhamdulillah.. Sekian sahaja perkongsian kita untuk hari ini. Wallahu a'lam bissawab. Semoga bermanfaat. ^_^

Ma'as salamah wa ilalliqo'.
Wassalam...

Friday, May 16, 2014

Kita Semua Adalah Guru

Bismillahirrahmanirrahim..

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh..

Guru, satu gelaran yang satu ketika dulu mampu membuatkan kita kecut perut, namun rasa hormat tetap ada pada mereka yang bergelar guru ini. Guru sememangnya mempunyai ruang lingkup tugas yang cukup luas kerana guru bukan sekadar profession, pangkat atau panggilan untuk seseorang yang mendidik di sekolah, tetapi guru sebenarnya amat rapat dan sinonim dengan kehidupan kita.

Semasa kita kecil, ibu bapalah guru yang terawal mendidik dan memantau tingkah laku kita. Mereka membimbing kita untuk berkata-kata, berjalan, berlari sehingga kesemuanya ini dapat dilakukan degan sendiri dan dari hari ke sehari, sepanjang proses kematangan dan kedewasaan, ramai yang telah menjadi guru kita.

Ada yang memberi nasihat, tunjuk ajar, cara untuk lebih berdikari dan sebagainya. Pengalaman yang dilalui juga seringkali memberikan kita satu teladan dan ilmu, dan pengalaman ini juga menjadi guru kita yang amat berharga.

Setiap kita adalah guru, sama ada guru untuk anak-anak, rakan sepejabat, kawan karib dan sebagainya. Guru bukan sekadar mengajar bagaimana untuk membaca dan mengira, tetapi guru seharusnya menjadi seorang pembimbing, penasihat serta dapat mendewasakan pemikiran pelajarnya. Guru bukan sekadar menyampaikan ilmu, malahan perlu memastikan ilmu yang disampaikan dapat difahami dan diamalkan oleh pelajar.

Tetapi, tanpa guru dan pendidik yang bersifat sabar, tajam pemikirannya serta mempunyai ketahanan mental dan fizikal, uslub ilmu tidak akan dapat difahami sepenuhnya. Hasilnya adalah murid yang hanya tahu menghafal tetapi kurang tajam daya pemikirannya.

Orang yang berilmu tetapi tidak mengamalkan ilmunya umpama keldai membawa barang yang banyak, sedangkan orang yang beramal tanpa ilmu umpama tin yang kosong, kelihatan berisi tetapi tiada satupun isinya dapat memberikan manafaat pada dirinya dan orang lain.

Sebagai seorang muslim, perlulah kita kembali kepada asas Islam, iaitu ilmu dan amal. Ini telah dicontohkan sendiri oleh Rasulullah SAW. Keberkesanan kaedah dan teknik pengajaran Rasulullah SAW memang telah terbukti berjaya. Ketika golongan jahiliyah tercari-cari erti kehidupan serta keruntuhan moral yang melanda mereka, kehadiran Rasulullah SAW telah kembali menyinari kegelapan mereka.

Dari bangsa yang jahil, mereka telah bertukar menjadi bangsa yang disegani sehingga kefahaman Islam dapat disebarkan ke setiap pelosok dunia. Ini jelas menunjukkan islam merupakan agama yang amat mementingkan ilmu dan kerana itulah hukum menuntut ilmu itu adalah wajib dalam Islam.

Baginda SAW mempunyai sikap tidak berputus asa, malahan segala halangan akan menjadikan semangatnya semakin kuat dalam memberikan kefahaman ilmu kepada sahabat yang tidak dapat memahami sesuatu ilmu yang cuba disampaikan. Semangat sebeginilah seharusnya dimiliki oleh setiap guru dalam menghadapi pancaroba pendidikan zaman ini.

Kaedah dan teknik pengajaran Rasulullah SAW ini harus dijadikan elemen utama dalam menerapkan kefahaman ilmu kepada setiap murid kerana Baginda SAW merupakan guru dan pendidik terulung sepanjang zaman yang mempunyai kemahiran yang terbaik dalam proses mentarbiyyah jasmani dan rohani. Pasti hasil didikan dengan kaedah ini akan membuahkan hasil yang dapat merealisasikan harapan agama, negara dan bangsa.

Oleh itu, pastinya Hari Guru bukan sekadar diraikan untuk golongan ini sahaja, tetapi hari guru ini juga boleh disambut dan diraikan oleh setiap mereka yang telah memainkan peranan sebagai seorang guru dan pendidik.

Selamat Hari Guru untuk semua.

"Guru terbaik bagi manusia ialah PENGALAMAN." :)

Wassalam..

Saturday, April 26, 2014

Berpurdah.. Biar Bernilai Solehah..

Bismillahirrahmanirrahim...

Assalamu'alaikum wbt..

Hurm.. masih tercari2 pengisian utk perkongsian kali ini. Minda ketandusan idea, namun perlu juga memaksa jari ini menari-nari di papan kekunci.. bimbang terlepas waktu untuk merealisasikan hasrat berkongsi sesuatu di blog ini, sekurang2nya SATU entri untuk SATU bulan. Oleh itu, kesempatan ini perlu dihargai. Kalau tidak.. entah bila agaknya hadirnya waktu untuk saya menyinggah di sini. Selalu terbiar.. Selalu terabai tak terjaga. Huhu..

Mungkin waktu ini boleh saya manfaatkan untuk berkongsi satu tajuk yang sudah lama menjadi isu dalam kalangan pengguna laman sosial. Tentang sehelai kain kecil di wajah bernama PURDAH @ juga dikenali sebagai NIQAB.

Nama kain kecil ini sudah tidak asing lagi. Seringkali dijadikan sebagai pengukur solehahnya seorang Muslimah. Muslimah yang berpurdah atau berniqab sering dipandang tinggi.. dianggap sebagai seorang wanita hebat, penuh ilmu di dada, seorang 'ustazah' yang mampu menjawab segala persoalan agama yang diutarakan, seorang yang sempurna, seorang yang seolah2 tidak berdosa, juga seorang yang imannya sangat terpelihara.

Namun, benarkah segala persepsi itu? Jawapannya, tidak.. Tidak sama sekali. Mengapa? Purdah tidak dipakai oleh Muslimah selepas menepati semua ciri di atas. Seseorang itu tidak solehah hanya kerana sehelai purdah. Kerana nilai solehah bukan ditentukan oleh pakaian yang dipakai, tetapi hati. Namun begitu, pakailah pakaian yang bernilai solehah.. sebagai salah satu cara untuk men'solehah'kan diri. Purdah takkan menjadikan seseorang Muslimah bebas daripada dosa, kerana tiada manusia di dunia ini yang akan terlepas daripada melakukan dosa. Kita manusia biasa, bukan Nabi.. Kita tidak maksum, tidak sempurna. Sesekali tersungkur jua dalam perjalanan menuju Ilahi.

Purdah dipakai kerana mereka ingin melindungi diri daripada fitnah. Tak kira sama ada mereka terlalu cantik atau sebaliknya. Namun, dek kerana wanita adalah fitnah terbesar di dunia ini, maka purdah itu dapat melindungi diri mereka daripada fitnah, dengan izin Allah.

Tetapi.. alangkah sayangnya.. kini purdah tidak mampu sepenuhnya menjadi medium penutup fitnah. Malah, purdah itu jugalah yang membuka pintu fitnah akibat segelintir niqabis yang seolah2 meremehkan nilai purdah itu.

Perlukah setiap aksi seorang niqabis dikongsi di media sosial?
Perlukah kamera di fokuskan pada mata yg dihiasi make up dan contact lens pelbagai warna?
Perlukah seorang niqabis memandang rendah pada Muslimah yang tidak sepertinya?
Perlukah istilah couple Islamik dan cinta ana-enta wujud di kalangan mereka?
Perlukah ditunjukkan kepada sekalian alam betapa 'solehah'nya seorang niqabis?

Bukankah wanita solehah itu tidak memandang dan tidak dipandang...

Duhai niqabis yang melakukan perkara yang tidak perlu di atas, tahukah kalian.. kerana nila setitik, rosak susu sebelanga? Kerana kalian.. habis semua niqabis mendapat tempiasnya. Niqab kini semakin hari semakin dipandang rendah. Muslimah yang ikhlas memakai purdah / niqab kerana Allah dikatakan sebagai Muslimah yang hanya mengikut trend fesyen terkini. Apatah lagi bila segelintir peniaga memberi nafas baru kepada purdah atau niqab itu sehingga menimbulkan unsur tabarruj. Mana hilangnya nilai solehah pada sehelai kain itu?

Segelintir niqabis cepat melenting tatkala ditegur untuk kebaikan. Malah sering melempar soalan, "Mengapa niqabis yang selalu menjadi perhatian dan isu untuk dibincangkan? Bukankah lebih baik menegur mereka yang masih belum tahu menutup aurat dengan sempurna?" Ukhti2 yang disayangi, rasanya kalian sudah tahu.. betapa banyaknya teguran ke atas mereka yang mengabaikan penjagaan aurat. Namun, andai mereka yang kamu lihat 'tidak solehah' itu sukar menerima teguran, adakah kalian yang selalu mengiktiraf diri 'solehah' itu mahu menjadi seperti mereka? Lantang menasihati tetapi tidak mahu dinasihati. Mahu?

Ayuh, tajdid semula niat di hati. Mengapa niqab jadi pakaian kalian? Adakah sekadar mahu tunjukkan kepada dunia bahawa "Akulah si Solehah. Pandanglah aku, pujilah aku" ? Atau mahu tanam dalam hati dalam2 bahawa "Sesungguhnya aku berpakaian begini hanya kerana Allah.." ? Pilihan di tangan kalian. Pilihlah yang terbaik.. Jangan jadikan diri kalian sebagai asbab niqabis lain terus-terusan jadi bahan perbualan yang tidak enak di halwa telinga. Hormati niqabis lain yang benar2 menjaga. Pelihara imej dan nilai purdah itu sebaiknya.

Berpurdah.. Biar bernilai solehah.. Ya, mungkin kita indah di mata manusia. Namun jika begitu akhlak dan peribadi sebenarnya, indahkah kita di mata ALLAH?


Selamat bermuhasabah.. Wallahu a'lam. Wassalam..

Friday, February 14, 2014

Cinta Itu..

Bismillahirrahmanirrahim...

Assalamu'alaikum wbt..

Hai, bertemu lagi kita di sini. Alhamdulillah.. ^_^

Hari ini, betapa ramai yang menghiasi dinding muka buku mereka dengan ucapan Happy Valentine's Day. Namun, tak kurang juga mereka yang mengingatkan kita bahawa tiada hari Valentine dalam Islam. Alhamdulillah.. masih ramai yang meletakkan agama dalam hatinya, mengutamakan agama dalam cinta dan mengingatkan orang lain tentang apa yang dianjurkan oleh agama kita.

Cinta.. mengapa menunggu hari tertentu untuk mengungkap cinta? Jika benar cinta.. ia bukan jatuh pada hari itu. Cinta adalah perasaan anugerah Allah yang sudah pasti ada dalam hati setiap manusia. Cinta itu sentiasa ada. Bukan untuk sehari.

Tolong.. jangan sempitkan fikiran kita dengan perasaan cinta. Apa yang kalian fikirkan ketika saya berbicara tentang cinta di perenggan atas tadi? Bukankah cinta itu luas pengertiannnya. Cinta pada manusia, haiwan, alam, segala makhluk Allah dan cinta yang paling utama ialah cinta pada Pencipta sekalian alam yang kita cintai, iaitu ALLAH SWT.

Namun manusia.. tak tahu itu fitrah atau apa, seringkali mengutamakan cinta kepada dunia melebihi cinta kepada Pencipta Dunia. Juga melebih-lebihkan cinta kepada kehidupan duniawi berbanding ukhrawi. Apakah itu cinta? Atau nafsu?

Mari kita lihat pengertian cinta dalam Islam.

Kata cinta dalam Al Qur’an disebut Hubb (mahabbah) dan Wudda (mawaddah), keduanya memiliki erti yang sama yaitu menyukai, senang, menyayangi. Sebagaimana dalam surah Ali Imran (14) :
“Dijadikan indah dalam pandangan manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini, iaitu: wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia dan di sisi Allah lah tempat kembali yang baik (syurga).”
Dalam ayat ini Hubb adalah suatu naluri yang dimiliki setiap manusia tanpa kecuali baik manusia beriman mahupun manusia durjana.

Dalam Al- Quran, cinta memiliki 8 jenis iaitu :

1. Cinta Mawaddah

Cinta mengebu-gebu, membara dan menyayangi. Orang yang memiliki cinta jenis Mawaddah, mahu selalu berduaan, enggan berpisah dan selalu ingin memuaskan dahaga cintanya. Ia ingin memonopoli cintanya, dan hampir tak biasa berfikiran lain.

2. Cinta Rahmah

Cinta yang penuh kasih sayang, lembut, sanggup berkorban, dan melindungi. Orang yang memiliki cinta jenis Rahmah ini lebih memerhatikan orang yang dicintainya berbanding diri sendiri. Baginya yang penting adalah kebahagiaan sang kekasih meskipun harus menderita. Ia sangat maklum kekurangan kekasihnya dan selalu memaafkan kesalahan kekasihnya. Termasuk dalam cinta Rahmah adalah cinta antara orang yang bertalian darah, terutama cinta orang tua terhadap anaknya, dan sebaliknya. Dari itu maka dalam Al- Quran , kerabat disebut al arham, dzawi al arham, yakni orang-orang yang memiliki hubungan kasih sayang secara fitrah, yang berasal dari garba kasih sayang ibu, disebut rahim (dari kata rahmah). Sejak janin seorang anak sudah diliputi oleh suasana psikologi kasih sayang dalam satu ruang yang disebut rahim. Cinta suami isteri juga termasuk dalam cinta rahmah.

3. Cinta Mail

Cinta yang untuk sementara sangat membara, sehingga tidak mempedulikan hal-hal lain, cenderung kurang diperhatikan. Cinta jenis Mail ini dalam al Qur’an disebut dalam konteks orang poligami di mana ketika sedang jatuh cinta kepada yang muda (an tamilu kulla al mail), cenderung mengabaikan yang lama.

4. Cinta Syaghaf. 

Cinta yang sangat mendalam, alami, kerinduan dan memabukkan. Orang yang diserang cinta jenis syaghaf (qad syaghafaha hubba) biasanya seperti orang gila, lupa diri dan hampir-hampir tidak menyedari apa yang dilakukan. Al- Quran menggunakan terma Syaghaf ketika mengisahkan bagaimana cinta Zulaikha, isteri pembesar Mesir kepada Nabi Yusuf.

5. Cinta Ra’fah

Rasa kasih yang dalam hingga mengalahkan norma-norma kebenaran, misalnya kasihan kepada anak sehingga tidak tegas membangunkannya untuk solat, membelanya meskipun salah. Al- Quran menyebut terma ini ketika mengingatkan agar janganlah cinta Ra`fah menyebabkan orang tidak menegakkan hukum Allah, dalam hal ini khusus hukuman bagi penzina (Q/24:2).
“Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebat; dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap keduanya dalam menjalankan hukum ugama Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat; dan hendaklah disaksikan hukuman siksa yang dikenakan kepada mereka itu oleh sekumpulan dari orang-orang yang beriman”.
6. Cinta Shobwah

Cinta buta, cinta yang mendorong perilaku penyimpang tanpa sanggup mengelak. Al- Quran menyebut terma ni ketika mengisahkan bagaimana Nabi Yusuf berdoa agar dipisahkan dengan Zulaikha yang setiap hari menggodanya (mohon dimasukkan penjara saja), sebab jika tidak, lama kelamaan Yusuf tergelincir juga dalam perbuatan hina, wa illa tashrif `anni kaidahunna ashbu ilaihinna wa akun min al jahilin (Q/12:33).
Yusuf (merayu kehadrat Allah Taala dengan) berkata: “Wahai Tuhanku! Aku lebih suka kepada penjara dari apa yang perempuan-perempuan itu ajak aku kepadanya. Dan jika Engkau tidak menjauhkan daripadaku tipu daya mereka, mungkin aku akan cenderung kepada mereka, dan aku menjadi dari orang-orang yang tidak mengamalkan ilmunya”.
7. Cinta Syauq (rindu)

Terma ini bukan dari Al -Quran tetapi dari hadis yang menafsirkan Al-Quran. Dalam surah Al `Ankabut ayat 5 dikatakan bahawa barangsiapa rindu berjumpa Allah pasti waktunya akan tiba. Kalimat kerinduan ini kemudian diungkapkan dalam doa ma’tsur dari hadis riwayat Ahmad; Wa as’aluka ladzzata an nadzori ila wajhika wa as syauqa ila liqa’ika, aku mohon dapat merasakan nikmatnya memandang wajah Mu dan nikmatnya kerinduan untuk berjumpa dengan Mu.

Menurut Ibn al Qayyim al Jauzi dalam kitab Raudlat al Muhibbin wa Nuzhat al Musytaqin, Syauq (rindu) adalah pengembaraan hati kepada sang kekasih (safar al qalb ila al mahbub), dan kobaran cinta yang apinya berada di dalam hati sang pencinta, hurqat al mahabbah wa iltihab naruha fi qalb al muhibbi.

8. Cinta Kulfah

Perasaan cinta yang disertai kesedaran mendidik kepada hal-hal yang positif walaupun sulit, seperti orang tua yang menyuruh anaknya menyapu, membersihkan kamar sendiri, meski ada pembantu. Jenis cinta ini disebut A-l Qur’an ketika menyatakan bahwa Allah tidak membebani seseorang kecuali sesuai dengan kemampuannya, La yukallifullah nafsan illa wus`aha (Q/2:286).

(Rujukan : kitab Raudlat al Muhibbin wa Nuzhat al Musytaqin dan taksir Al-Quran.)

Begitu luas makna cinta bukan? Sebahagian entri ini saya petik daripada blog lain. Klik sini. Jadi, jom baca dan hayati perkongsian tersebut. Moga ada manfaatnya. Moga kita semakin faham apa erti cinta menurut pandangan Islam. Selamat membaca. Sebelum mengundur diri, saya sertakan hadith ini sebagai bingkisan terakhir.

Rasulullah SAW bersabda:

"Tiga golongan yang akan merasakan manisnya iman iaitu: golongan yang mencintai Allah dan Rasul-Nya lebih dari apapun, golongan yang tidak mencintai orang lain melainkan hanya kerana Allah, dan golongan yang tidak kembali kepada kekufuran sebagaimana ia tidak ingin dilemparkan ke dalam api neraka."

(HR. Al Bukhari dan Muslim, At-Tirmidzi & An-Nasa’i)

Wallahu a'lam. Ma'assalamah wa ilalliqa'.

Wassalam..

Saturday, December 28, 2013

Setahun Yang Berlalu..

Bismillahirrahmanirrahim..

Assalamu'alaikum wbt..

Alhamdulillah, Allah masih memberi peluang untuk jari ini kembali menekan papan kekunci untuk mengisi kata-kata di blog ini lagi. Bulan ini merupakan bulan terakhir bagi tahun 2013, bermakna kita hampir menginjak setahun lagi ke hadapan. Mungkin ini coretan saya yang terakhir untuk tahun ini, juga mungkin yang terakhir untuk selamanya. Kita tak tahu.. kerana ajal itu rahsia Allah semata..

Namun begitu, alhamdulillahi rabbil 'alamiin.. Allah sebenarnya telah pun mengurniakan peluang buat saya melihat tahun baru. Hairan? Tiada apa yang perlu dihairankan. Cuba semak balik kalendar tahun Islam.. Hari ini, 24 Safar 1435 H. Kita, umat Islam sebenarnya dah terlebih dahulu melangkah setahun ke hadapan. Sudah dua bulan kita berada dalam tahun baru Islam. Subhanallah wabihamdih, subhanallahal 'azim.. ^_^

Untuk setahun yang semakin berlalu ini, entah apa amalan yang kita yang Allah dah terima di sisiNya? Hanya Dia yang tahu. Apa yang penting, ikhlaskan hati kerana Allah. Buat sesuatu hanya semata-mata kerana Allah. Hanya untuk meraih keredhaanNya, bukan meraih pujian manusia.

Saya percaya, semakin hari semakin banyak yang kita pelajari dalam hidup ini. Semoga apa yang telah kita lalui menjadi ibrah buat kita untuk meneruskan perjalanan menuju cinta hakiki, iaitu cinta Allah yang Maha Mencintai.. Audit diri, perbaiki diri, tajdid diri, tanya diri :

>> Berapa banyak amalan yang dah kita kumpul?
>> Berapa banyak pahala yang dah kita himpun?
>> Berapa banyak dosa yang dah kita timbun?
>> Berapa banyak perintah Allah yang dah kita langgar?
>> Berapa banyak larangan Allah yang dah kita abai?
>> Berapa banyak kita ucapkan syukur atas segala nikmat kurniaanNya?
>> Berapa banyak kita lafaz istighfar atas segala kealpaan kita?

Astaghfirullahal'adzim..
 Astaghfirullahal'adzim..
Astaghfirullahal'adzim..

Mari, ambil sedikit masa untuk bermuhasabah. Ayuh, koreksi kekhilafan lalu, mujahadahlah. Usah biar nafsu menang lagi. Pastikan kemenangan itu hanya untuk iman di hati !

"Siapa kita di sisi Pencipta? Siapa Dia di hati kita?"

Wallahu a'lam. 

Wassalam..

Thursday, June 6, 2013

Kisah Luqmanul Hakim dan Anaknya serta Seekor Keldai

Bismillahirrahmanirrahim.

Alhamdulillah, diberi kesempatan oleh Allah untuk berkongsi sesuatu di sini lagi. Hari ini, ingin saya kongsikan satu kisah yang sangat besar pengajaran dan cukup sesuai dengan kehidupan kita pada hari ini.. Tentang sikap manusia dengan lisan yang tidak terjaga. Tentang manusia yang hanya tahu mengata. Tentang manusia dengan pelbagai karenahnya. Jom hayati bersama.. :)

Suatu hari Luqman Hakim masuk ke dalam pasar dengan menaiki seekor keldai, saat itu anaknya mengikuti dari belakang. Melihat tingkah laku Luqman itu, sebahagian orang di pasar berkata, "Lihatlah orang tua yang tidak ada perasaan, anaknya dibiarkan berjalan kaki."

Setelah mendengar kata-kata itu, maka Luqman pun turun dari keldainya itu lalu dinaikkan anaknya di atas keldai itu. Melihat yang demikian, maka orang di pasar itu berkata pula, "Lihatlah orang tuanya berjalan kaki sedangkan anaknya naik di atas keldai, sungguh kurang beradab anak itu."


Ilustrasi ini sekadar hiasan sahaja.

Mendengar kata-kata itu pula, Luqman pun terus naik ke atas belakang keldai itu bersama-sama anaknya. Kemudian, orang-orang berkata lagi, "Lihatlah dua orang itu menaiki seekor keldai, sungguh menyeksa binatang."



Ilustrasi ini sekadar hiasan sahaja.

Kerana tidak suka mendengar perkataan orang, maka Luqman dan anaknya turun dari keldai itu, kemudian terdengar lagi suara orang berkata, "Sungguh bodoh dua orang itu, sudah ada keldai tapi tidak dinaiki."


Ilustrasi ini sekadar hiasan sahaja.

Kemudian dalam perjalanan pulang ke rumah, Luqman Hakim menasihati anaknya tentang sikap manusia dan kata-kata mereka. Katanya,



Nampak sesuatu daripada kisah ini? Hurm.. memang betul, manusia memang susah nak berhenti bercakap tentang orang lain. Dan kita adalah sebahagian daripada manusia itu. Astaghfirullah.. Sahabat, ayuh.. jaga lisan kita, hati-hati bila berbicara !
 

Sabda Rasulullah SAW :
"Barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, berkatalah perkara yang baik, atau lebih baik diam sahaja."

[ Hadis Riwayat Bukhari & Muslim ]

Semoga perkongsian kali ini bermanfaat. Renungkan. Jom koreksi diri..

Wassalam.

Tuesday, February 12, 2013

Perisai Muslimah

Bismillahirrahmanirrahim...

Assalamu'alaikum wbt...

Muslimah itu seorang wanita islam yang berperibadi islam. Solehah pula, seorang wanita islam yang berperibadi Islam dan beristiqomah dengan keperibadiannya, hanya menurut pandanganku sahaja. Jadi, jika ingin menjadi solehah, wajiblah menjadi muslimah terlebih dahulu.

Perisai itu, ianya besar dan melindungi hadapan dan belakang. Bukan hanya pahlawan pedang dalam sebuah peperangan sahaja mempunyai perisai. Tapi perisai ini akan sentiasa ada pada seorang muslimah yang solehah. Perisai ini bisa ditembusi panahan panah juga acuan peluru, tapi itu bukan bererti ia lemah atau tidak boleh melindungi. Kuasanya lebih hebat, mampu mematahkan niat yang jahat terhadap pemakainya.

Apabila perisai ini dibawa bersama seorang muslimah, ia tidak kelihatan seperti pahlawan perang bahkan muslimah ini kelihatan lebih 'sweet' dari wanita-wanita 'hot' yang tidak menutup aurat di luar sana. Kerana neraka itu 'hot', syurga itu 'sweet'.

Perisai, itulah tudung labuh. Semakin labuh tudungnya, semakin segan orang sekeliling terhadap pemakainya. Bukan mengharap penghormatan orang lain, cuma ingin memberitahu "aku seorang muslimah".

Dengan memakainya, muslimah itu sendiri terasa bahawa dia membawa amanah perisai itu. Menjaga setiap gerak geri, itulah amanahnya. "Sedarlah muslimah yang berperisai. Anda membawa amanah tudung labuh. Apabila ia melindungimu, jangan engkau membolosinya dengan gerak gerimu yang melampaui batasmu sebagai seorang muslimah, kerana apabila kau membolosinya, engkau juga membolosi perisai muslimah yang lain".


Kini, sedih apabila kedengaran di telinga, "Orang pakai tudung labuh ni bukan baik sangat pun".

Seorang sahaja yang membolosi perisainya, semua yang bertudung labuh turut terkena tempiasnya. Memakai tudung labuh juga bukan kerana ingin memberitahu bahawa "aku ni alim", tapi cuba untuk menjaga diri dari fitnah dunia.

Sekilas pandang di sebuah 'blog' milik seorang muslimah tidak di kenali, terbaca sebuah kata-kata yang berbunyi:-
"Jangan kau sangka labuh tudungku ini tanda alim diriku, aku juga sepertimu masih mencari-cari segenap cahaya buat menerangi sepanjang perjalanan. Kerana tudungku ini bukan setakat menutupi tetapi melindung jua mengingatkan diri ini menjaga setiap gerak geri kerana akhlaq itu bunga diri".
Buktikanlah anda seorang muslimah yang berkeperibadian seperti seorang muslimah.

Wahai muslimah, menutup aurat itu satu kewajipan, tidak kiralah bagaimana gayanya. Berpakaianlah seperti seorang muslimah, kerana pakaian melambangkan diri kita. InsyaAllah.

Wassalam..

Sumber~ iluvislam

Monday, December 31, 2012

Perginya 2012

Bismillahirrahmanirrahim..

Assalamu'alaikum wbt..

Pejam celik, pejam celik, pejam celik.. masih pejam celik lagi? Sudahlah tu.. Hehe. Cuma nak cakap, antara sedar dan tak sedar, rupa-rupanya kita sudah tiba ke penghujung tahun 2012. Cepatnya masa berlalu kan? Tak terasa tahun 2013 akan menjenguk kita pada esok hari.

Hurm.. Macam mana dengan azam tahun 2012? Dah tercapai semua? Kalau dah, Alhamdulillah.. tahniah. Semoga segala azam yang tercapai tu hanyalah perkara-perkara baik, bukan perkara yang terlarang dan tak mendatangkan kebaikan langsung kepada diri, agama, masyarakat dan negara. Ok?

So.. bagaimana dengan persediaan menuju tahun baru? Ada azam baru lagi ke? Kalau azam yang lepas tu belum tercapai, selesaikan yang tu dulu ye. Jangan hanya menyenaraikan azam panjang berjela, tapi satu pun tak terlaksana.

Sebenarnya, tahun baru adalah saat yang tepat untuk berhijrah melakukan perubahan paradigma dan pola fikir, serta perubahan sikap dan tingkahlaku ke arah kebaikan, untuk mengharap dan menggapai redha Ilahi. Bukan saat terbaik untuk berpesta meraikan tahun baru secara besar-besaran dan melalaikan diri tanpa sebarang makna pengabdian diri kepada yang Maha Esa.

Allah SWT berfirman,
"Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kalian kepada Allah, dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang telah disiapkan untuk hari esok (akhirat), dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kalian kerjakan." (QS 59: 18)
 
Khalifah Umar Al-Khattab menyatakan,
"Hitunglah diri kalian sebelum kalian dihitung. Timbanglah amal kalian sebelum kalian ditimbang. Bersiaplah untuk  menghadapai hari yang amat dahsyat. Pada hari itu, segala sesuatu yang ada pada diri kalian menjadi jelas, tidak ada yang tersembunyi."

Rasulullah SAW bersabda,
"Tidaklah melangkah kaki seorang anak Adam pada hari kiamat sebelum ditanyakan kepadanya empat perkara ; tentang umurnya, untuk apa dihabiskan, tentang masa mudanya, untuk apa digunakan, tentang hartanya, dari mana diperoleh dan ke mana dihabiskan, dan tentang ilmunya, untuk apa dimanfaatkan." (HR Tirmidzi)
 
Rasulullah SAW juga  menjelaskan,
"Sebaik-baik manusia ialah yang panjang umurnya dan baik amalannya, sedangkan seburuk-buruk manusia adalah yang panjang umurnya tetapi buruk amalannya." (HR Tirmidzi)
 
Sahabat sekalian, mari kita bersama memanfaatkan waktu yang tersisa dan berusaha meningkatkan kuantiti dan kualiti ibadah kita kepada Allah SWT serta menjadikan momentum tahun baru untuk mengingati mati (zikrulmaut). Bukankah orang yang paling bijak ialah orang yang selalu mengingati mati? Segala pengalaman yang dikutip daripada tahun yang berlalu wajar dijadikan ibrah untuk menginsafi diri ke arah yang lebih sempurna. Ayuh, berhijrahlah ke arah kebaikan. Berusaha untuk menjadikan diri lebih baik, lebih baik dan lebih baik dari semasa ke semasa. Yang paling penting, semua yang kita lakukan itu hanyalah semata-mata kerana Allah Ta'ala.
 
Selamat Tahun Baru 2013. Moga Allah merahmati kita di sepanjang usia. Allahumma Amin.
 
Wassalam.
 
 

Friday, November 30, 2012

Hidup Ibarat Roda

Bismillahirrahmanirrahim..

Assalamu'alaikum wbt..

Bila hari gelap bertukar terang, mentari pun mula bersinar cemerlang...
Lama sudah tangan ini tidak menari. Kalau ditari pun cuma diatas kertas kajang yang kemudian direnyuk-renyuk kerana ketandusan idea. Hari ini cuma ingin berkongsi secebis pengalaman hidup.
Saudaraku,
dalam liku ada lurusnya,
dalam pahit ada manisnya,
dalam futur ada bangunnya,
dan apabila kita melangkah, dengan izin Allah semuanya jadi nyata.
Semalam anda mungkin bersedih, rasa tiada sesiapa untuk dituju, rasa seolah-olah dunia ini terlalu sempit untuk bersembunyi, rasa bumi tidak lagi berbumbungkan langit, rasa keseorangan dan tiada kawan-kawan yang memahami, rasa andalah yang paling susah dalam dunia, dan mungkin juga semalam anda berasa anda seorang yang tidak berguna, dan anda tidak dapat menyumbang apa-apa.
Saudaraku,
dalam susah ada senangnya,
dalam sedih ada gembiranya,
Allah menguji tanda sayang pada hamba-Nya...
Begitulah warna-warna kehidupan. Ia langsung tidak pelik dan bukan pun ajaib. Allah sentiasa memberi kita ujian dari kanan dan kiri, depan dan belakang hanya untuk menguji dan menolong kita untuk menghadapi esok kerana hanya Allah yang tahu betapa hari esok itu lebih sukar buat kita dan ujian hari ini adalah untuk menguatkan jiwa-jiwa kita. Mengajar kita menjadi lebih teguh, mengasah bakat-bakat kepimpinan diri sendiri yang mungkin belum kita kuasai dan sesungguhnya Allah yang Maha Bijaksana.

Inilah yang biasa saya alami. Jatuh bangun dalam kehidupan buat saya jadi lebih matang dalam berfikir dan menilai sesuatu. Siapa sangka kalau semalam saya terasa seolah-olah hilang segala-galanya, tetapi hari ini Allah kurniakan anugerah berlipat-ganda. Sungguh benar firman Allah:
"Bersama kesusahan ada kesenangan, Sesungguhnya bersama kesulitan ada kesenangan." (Al-Insyirah :5-6)
Sewaktu datangnya susah, telinga seakan-akan tuli, hati menjadi buta dan mata tak nampak apa-apa. Telinga seperti tidak pernah mendengar bahawa Allah sentiasa memujuk kita dengan firman-Nya,
"Dan janganlah kamu merasa lemah, dan jangan (pula) bersedih hati, sebab kamu paling tinggi (darjatnya), jika kamu orang beriman." (Ali-Imran :139)
"Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya." (Al-Baqarah : 286)
Masha Allah, damainya jiwa bila membaca ayat-ayat cinta daripada Kekasih Hati. Sungguh akan hilang sendu dan senyum pun menguntum, bahagia bersemi dan damai pun bertandang. Itulah ayat-ayat Allah dalam Al-Quraanul Karim. Kita sering terlepas pandang, dalam kesibukan melalui hari-hari penuh mehnah.

Kita terlupa untuk menghayati pesanan-pesanan daripada Allah dan ingatan-ingatan daripada Rasulullah. Tapi percayalah, saat hatimu gersang dengan kemarau cinta dunia, siramlah ia dengan zikrullah dan bacaan-bacaan al-Quran agar hatimu basah dengan cinta akhirat. Kembali kepada fitrah dan asalmu. Engkau hidup bukan untuk dunia, tetapi dunia ini cuma penerus hidup untuk ke akhirat sana. Tidak berbaloi saudaraku untuk kita menjadi gila di dunia sementara. Gila materi, gila kuasa, gila pangkat, gila nama, gila glamour dan sebarang gila lagi. Entah apa yang kita kejar sebenarnya dengan kegilaan-kegilaan itu. Semuanya memenatkan hati dan menyesakkan otak yang sedia sendat dengan masalah-masalah dunia yang tidak putus-putus.

Maka mari kita celik hati. Bukan saja kena celik IT, tapi celik mata hati itu sendiri. Lihat betapa dunia ini luas dan anda tidak pernah bersendiri. Kerana firman Allah,
"Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu (Muhammad) tentang Aku, maka sesungguhnya Aku dekat. Aku kabulkan permohonan orang yg berdoa apabila dia berdoa kepadaKu. Hendaklah mereka itu memenuhi (perintah)Ku dan beriman kepadaKu, agar mereka memperoleh kebenaran." (Al-Baqarah : 186)
Betapa Allah sentiasa ada bersama kita. Allah sudah berjanji akan mengabulkan semua doa-doa kita jika kita taat pada-Nya. Maka perkataan siapakah yang lebih benar selain Allah? Oleh itu saudaraku, jangan kalian patah hati, pandang rendah pada diri sendiri, hilang visi dan misi dan meratap sendu setiap hari.


Tiada gunanya semua itu. Jadi sekarang tukar mood anda. Buang yang keruh, ambil yang jernih. Jual kereta lama, jom pandu kereta baru. Ubah suasana, mari melihat dan megkagumi kebesaran Allah pada alam ciptaan-Nya. Kita semua adalah amazing! We can do beyond the norm! Ingat tu, kita adalah amazing people! Sudahlah fikirkan hari semalam, mari mulakan hidup baru.

Mari memaknakan hidup saudaraku!!!

Wassalam.

~iluvislam~

Sunday, November 11, 2012

Tutup Buku Lama, Buka Buku Baru 1434H

Bismillahirrahmanirrahim..

Assalamu’alaikum wbt..

Tinggal beberapa hari sahaja, kita akan melangkah setapak lagi ke hadapan, menuju tahun baru Islam 1434 H. Hari ini, di kelapangan ini, saya mengambil kesempatan untuk melakar sedikit coretan sebagai penutup tirai 1433 H

Biasanya, orang jarang nak ingat tahun baru dalam kalendar Islam ni. Yang orang selalu ingat,  kalendar omputeh. Tak lama lagi 2013 kan.. Tengok je lah nanti, macam mana agaknya sambutan tahun baru 2013 yang akan datang.

Sebut saja tahun baru, selalunya orang akan tanya, “Apa azam tahun ni?” Macam2 bermain dalam kepala tatkala diajukan soalan itu. Tertanya juga di hati, setiap tahun mencipta azam, tapi sejauh mana azam itu tercapai? Hmm.. tak apalah, yang penting semangat tu ada kan.

Setiap kali berada di akhir tahun, saya akan kembali mengenang tahun yang berlalu. Apa hasil yang saya dapat sepanjang tahun ini? Sejauh mana saya menghambakan diri pada Allah dengan erti kehambaan yang sebenar? Berapa banyak amalan yang telah saya kumpul sebagai bekalan ke alam baru? Pelbagai persoalan muncul tapi sayangnya, soalan2 itu terbiar sebagai persoalan semata-mata. Allah.. lemahnya jiwa ini..

Tahun baru yang bermula, menandakan usia yang bertambah angkanya, tapi semakin singkat perjalanannya. Atau mungkin menandakan saat kematian yang semakin hampir. Kita hanya mampu mengira usia yang telah berlalu, tapi kita sama sekali tak tahu berapa usia kita yang tinggal bukan? Jadi, bersiap sedialah menghadapi saat terakhir kehidupan.

Teringat kata2 penyair Arab yang bunyi dan maksudnya lebih kurang begini,
“Kamu adalah rangkaian dari hari-hari. Jika satu hari telah berlalu, maka akan berkurang umur kamu.”
Bila terkenang masa yang berlalu, alangkah sayang dan ruginya. Terlalu banyak masa itu disia-siakan. Meletakkan dunia di tempat yang lebih tinggi daripada akhirat. Melabuhkan cinta kepada dunia melebihi cinta pada Sang Pencipta yang agung. Memikirkan dunia lebih banyak daripada memikirkan kehidupan selepasnya. Dunia.. dunia.. untuk apa terlalu memikirkannya, sedangkan dunia itu hanya tempat persinggahan sementara untuk mengutip bekalan ke sana?

Bukan itu saja, masa yang berlalu mungkin ditemani hitungan dosa yang terhimpun, Astaghfirullah.. banyak manakah pahala dikumpul jika dibandingkan dengan dosa yang semakin merimbun?

Namun begitu..  Allah swt telah berfirman dalam sebuah hadis qudsi :
“ Wahai anak Adam! Sekiranya engkau berdoa dan memohon keampunan dariKu, maka akan Aku ampunkan segala dosa-dosamu. Wahai anak Adam! Sekiranya dosa-dosa yang telah engkau lakukan menggunung setinggi langit kemudian kau memohon keampunan dariku, maka akan Aku ampunkan dosa-dosamu. Wahai anak Adam! Sekiranya kau datang kepadaku dengan dosa sebanyak seisi dunia dan kau tidak mensyirikkan Aku dengan sesuatu, maka akan Aku datangkan padamu maghfirahku sebanyak seisi dunia”.
Nah, begitu firman Allah SWT. Apa tindakan kita? Hanya baca dan terus sia-siakan kasih sayangNya yang maha Agung? Atau apa?

Tahun 1434 H, saya mengharapkan yang terbaik. Jauh di sudut hati, masih tertanam azam yang tinggi untuk menjadi hamba Allah, anak, adik, kakak, sahabat dan saudara yang jauh lebih baik daripada sekarang. Cuma bila godaan nafsu dan syaitan cuba mencelah mematahkan jalan, itulah yang menjadi halangan untuk mencapai apa yang diazamkan. InsyaAllah dikuatkan hati untuk menentang godaan2 itu..  Ya Allah, jadikan kami lebih baik, lebih baik dan lebih baik dari hari ke hari..


 Sebelum mengundur diri.. Saya nak mengambil peluang ni untuk ucapkan Salam Awal Muharram dan Selamat Tahun Baru 1434 H buat semua, khususnya yang beragama Islam. Moga tahun baru yang menjelma ini jadi tahun penuh rezeki dan rahmat Ilahi buat kita. Aminn..

Setakat ini dulu. Moga bertemu semula di tahun baru.. Maaf atas segala khilaf. Wassalam..

:: Jangan lupa baca doa akhir tahun dan awal tahun nanti ek.. ::

Monday, June 11, 2012

Love You Mom :)

Bismillahirrahmanirrahim...

Assalamu'alaikum wbt..

Tahukah Anda?
Badan manusia hanya mampu menahan sehingga 45 del (unit) kesakitan. Tetapi semasa melahirkan bayi, seorang ibu merasai sehingga 57 del (unit) kesakitan. Ini sama dengan mematahkan 20 tulang secara serentak. Sekarang bolehkah anda bayangkan, kesakitan & kasih sayang seorang ibu?

Abu Hurairah radhiallahu 'anh berkata:

Seorang lelaki datang menemui Rasulullah SAW dan bertanya:
“Siapakah manusia yang paling berhak untuk aku layan dengan sebaik-baiknya?”

Baginda menjawab: “Ibu kamu.”

Dia bertanya lagi: “Kemudian siapa?”

Baginda menjawab: “Ibu kamu.”

Dia bertanya lagi: “Kemudian siapa?”

Baginda menjawab: “Ibu kamu.”

Dia bertanya lagi: “Kemudian siapa?”

Baginda menjawab: “Ayah kamu.”[1]


Seorang sahabat bernama Jahimah r.a datang menemui Rasulullah SAW meminta pandangan baginda untuk dia ikut serta dalam ekspedisi Jihad.

Rasulullah bertanya: “Adakah kamu masih mempunyai ibu?”

Jahimah menjawab: “Ya.”

Lalu Rasulullah bersabda: “Tinggallah bersamanya kerana sesungguhnya syurga terletak di bawah tapak kakinya.”[2]

Di antara ibu dan ayah, ibulah yang lebih berhak untuk menerima perhatian daripada seorang anak. Tidak sekadar itu, ibu memiliki hak tiga kali ganda lebih besar daripada seorang ayah sepertimana terbukti melalui hadis di atas.

Syurga juga terletak di bawah kaki ibu, sebagaimana yang dijelaskan dalam hadis kedua di atas. Selain itu Allah Subhanahu wa Ta‘ala juga telah mengkhususkan beberapa ayat-Nya di dalam al-Qur’an untuk ibu. Ini tidak lain menunjukkan betapa besar dan mulia kedudukan ibu di sisi Allah dalam peranannya melahirkan anak dan membesarkannya.[3] Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:

Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibubapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan). [Luqman 31:14]
Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibubapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah. [al-Ahqaf 46:15]

Terdapat beberapa sebab mengapa ibu memiliki hak tiga kali ganda lebih besar daripada seorang ayah:

Ibu terpaksa menanggung pelbagai kesusahan, sama ada dari sudut fizikal mahupun mental, dalam proses mengandung seorang anak. Allah mengkhabarkan kesusahan ini dengan firman-Nya yang bermaksud: 

“…ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah…” [al-Ahqaf 46:15]

Kesusahan ketika mengandung semakin bertambah selari dengan pembesaran janin. Kesusahan yang semakin bertambah mengakibatkan seorang ibu menanggung kelemahan demi kelemahan: “…ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan…”

Kesusahan ini mencapai tahap paling berat ketika hendak melahirkan anak tersebut: “…dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah.”

Kesusahan ini diungkap oleh Allah dalam kisah Maryam ketika beliau hendak melahirkan ‘Isa:
(Ketika dia hendak bersalin) maka sakit beranak itu memaksanya (pergi bersandar) ke pangkal sebatang pohon tamar (kurma); dia berkata:  

“Alangkah baiknya kalau aku mati sebelum ini dan menjadilah aku sesuatu yang dilupakan orang dan tidak dikenang-kenang!” [Maryam 19:23]
Berkenaan kesusahan yang amat berat saat hendak melahirkan, Abi Burdah r.a pernah melihat Ibn ‘Umar r.a dan seorang lelaki dari Yaman sedang tawaf di sekeliling Ka’bah.

Lelaki tersebut sedang mendukung ibunya lalu mengeluh: “Saya baginya bagaikan tunggangan yang hina.”

Lalu dia bertanya: “Wahai Ibn ‘Umar! Apakah sudah aku balas budinya?”

Ibn ‘Umar menjawab: “Tidak! Walaupun setarik nafasnya (yakni ketika ibunya sedang melahirkannya).”[4]

Setelah melahirkan, ibu benar-benar memberi perhatian kepada anaknya. Seandainya anaknya tidak sihat atau hilang sekejap daripada perhatiannya, nescaya dia menjadi bimbang. Apatah lagi jika anaknya dijauhkan daripadanya, seorang ibu akan teramat berdukacita sehingga hatinya menjadi kosong, sehinggalah anaknya dikembalikan kepadanya.

Kenalilah perhatian seorang ibu terhadap anaknya berdasarkan kisah berikut daripada al-Qur’an, ketika Allah Subhanahu wa Ta‘ala memerintah ibu Musa untuk menghanyutkan anaknya (Musa) agar dia (Musa) tidak ditangkap dan dibunuh oleh Fir’aun:

Dan Kami ilhamkan kepada ibu Musa: “Susukanlah dia; dalam pada itu jika engkau takutkan sesuatu bahaya mengenainya (dari angkara Firaun), maka (letakkanlah dia di dalam peti dan) lepaskanlah dia ke laut; dan janganlah engkau merasa bimbang dan jangan pula berdukacita; sesungguhnya Kami akan mengembalikannya kepadamu dan Kami akan melantiknya menjadi salah seorang daripada Rasul-rasul Kami.
Setelah itu dia (Musa) dipungut oleh orang-orang Firaun; kesudahannya dia akan menjadi musuh dan menyebabkan dukacita bagi mereka; sesungguhnya Firaun dan Haman serta orang-orangnya
adalah golongan yang bersalah.

Dan (ketika melihat kanak-kanak itu) berkatalah isteri Fir’aun:
“(Semoga dia menjadi) cahaya mata bagiku dan bagimu; janganlah kamu membunuhnya; mudah-mudahan dia berguna kepada kita atau kita jadikan dia anak.” Padahal mereka tidak menyedari (kesudahannya).

Dan (sepeninggalannya) menjadilah hati ibu Musa kosong; sesungguhnya dia nyaris-nyaris menyatakan perihal anaknya itu dengan berterus-terang jika tidaklah Kami kuatkan hatinya (dengan perasaan sabar dan tenang tenteram), supaya tetaplah dia dari orang-orang yang percaya (akan janji Allah).

Dan berkatalah dia kepada kakak Musa: “Pergilah cari khabar beritanya.” (Maka pergilah dia) lalu dilihatnya dari jauh sedang orang ramai tidak menyedarinya.

Dan Kami jadikan dia (Musa) dari mulanya enggan menyusu kepada perempuan-perempuan yang hendak menyusukannya; (melihatkan halnya itu), kakaknya berkata (kepada isteri Fir’aun): “Mahukah aku tunjukkan kamu kepada penduduk sebuah rumah yang dapat memeliharanya untuk kamu, serta mereka tulus ikhlas kepadanya?”

Maka (dengan jalan itu) Kami kembalikan dia kepada ibunya supaya tenang tenteram hatinya dan tidak berdukacita (disebabkan bercerai dengannya); dan supaya dia mengetahui bahawa janji Allah (untuk menyelamatkannya) adalah benar; akan tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui (yang demikian itu). [Maksud surah al-Qasas 28:7-13]
Sekalipun dengan segala pengorbanan ibu daripada saat mengandung hinggalah kepada membesarkan, seorang anak lazimnya akan lebih cenderung untuk meremehkan ibunya berbanding ayahnya. Faktor penyebab adalah sama ketika menjelaskan bab sebelum ini berkenaan mengapa ibu dikhususkan daripada ayah dalam larangan menderhaka. Sifat kewanitaan seorang ibu yang lemah lembut dan peranannya yang “hanya di rumah” menyebabkan sebahagian anak-anak tidak menghormati ibu mereka dan justeru melecehkan tuntutan berbuat baik kepadanya.

Lima sebab di atas, paling kurang, menjelaskan mengapa Allah dan Rasul-Nya mengkhususkan seorang ibu di atas seorang ayah. Malah hadis yang asal dalam perbincangan ini memberi hak tiga kali ganda lebih besar kepada seorang ibu berbanding seorang ayah. Oleh itu dalam rangka berbuat baik kepada ibubapa, hendaklah kita memberi perhatian dan keutamaan kepada ibu.

Mengambil iktibar daripada kisah para sahabat Rasulullah, seorang lelaki pernah bertanya kepada Ibn ‘Abbas r.a, “Saya meminang seorang wanita tetapi dia menolak pinangan aku. Setelah itu datang orang lain meminangnya lalu dia menerimanya. Saya menjadi cemburu kepadanya dan saya membunuhnya. Apakah ada taubat untuk saya?”

Ibn ‘Abbas bertanya: “Apakah ibu kamu masih hidup?”

Dia menjawab: “Tidak.”

Ibn ‘Abbas berkata: “Bertaubatlah kepada Allah dan mendekatlah kepada-Nya semampu mungkin.”

Atha’ bin Yasar (yang hadir sama saat itu) bertanya kepada Ibn ‘Abbas: “Mengapa engkau bertanya kepada lelaki tersebut sama ada ibunya masih hidup?”

Ibn ‘Abbas menjawab: “Saya tidak tahu perbuatan yang paling mendekatkan (seseorang) kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala melainkan berbakti kepada ibu.”[5]



***


Nota Kaki:

[1] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya – hadis no: 5971 (Kitab al-Adab, Bab siapakah manusia yang paling berhak untuk dilayan dengan baik).

[2] Hasan Sahih: Dikeluarkan oleh al-Nasai dan dinilai hasan sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan al-Nasai – hadis no: 3104 (Kitab al-Jihad, Bab kelonggaran daripada berperang bagi orang yang memiliki ibu).

[3] Sayang sekali kebanyakan wanita sekarang ini tidak lagi memandang mulia terhadap peranan mereka untuk melahir dan membesarkan anak. Apa yang dipandang mulia oleh Allah kini dipandang hina oleh manusia. Semua ini berlaku kerana manusia kini mengejar kemuliaan mengikut ukuran mereka sendiri. Mereka tidak sedar bahawa apa yang dianggap mulia oleh sebahagian manusia dianggap hina oleh manusia yang lain. Apa yang dianggap mulia pada masa kini akan menjadi hina pada masa akan datang. Ringkasnya, kemuliaan mengikut ukuran manusia sentiasa bersifat nisbi manakala kemuliaan mengikut ukuran Allah sentiasa bersifat hakiki.

[4] Sanad Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dan sanadnya dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih al-Adab al-Mufrad – hadis no: 9.

[5] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad – hadis no: 4 dan ia dinilai sahih oleh al-Albani dalam Silsilah al-Ahadits al-Shahihah – hadis no: 2799.


Sumber ~  Hamba Allah. :)


Semoga bermanfaat, insyaAllah..

Wassalam..

Monday, May 28, 2012

Menuju Cinta Ilahi

Bismillahirrahmanirrahim..

Jarum masa berdetik tiada undur..
Sedang diri ini masih belum maju ke hadapan.
Masih di situ.. 
Kaku..

Ingin daku menapak menuju cinta Rabbi,
Dekat padaNya, tenang dalam rahmatNya,
Andai bisa, ingin ku berlari..
Agar daku raih bahagia dalam cinta hakiki.

Namun daku alpa dalam pelayaran sementara,
Benar, aku telah melangkah,
Tapi langkahku tersasar..
Bukan jalan itu arah tujuanku..

 Harus berdiam dirikah?
Andai mazmumah mengatasi mahmudah,
Andai syaitan lebih banyak ketawa daripada menangis,
Andai nafsu semakin galak berbalah dengan iman,
 Andai murka Allah lebih banyak dari redhaNya..
Na'uzubillahi min zalik..

Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati,
tetapkan hatiku atas agamaMu.
Ya Allah yang mengarahkan hati, 
arahkan hatiku untuk taat kepadaMu.

Bicaraku kelu di penghujung waktu..
Tiupkan daku ilham,
Agar papan kekunci ini mampu berdetak lagi.

~Qurratu 'Ain~

*******

“Ya Tuhan kami, janganlah Engkau jadikan hati kami condong kepada kesesatan sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami rahmat dari sisi Engkau; kerana sesungguhnya Engkau-lah Maha Pemberi (kurnia).”
(Ali Imran: 7)

Saturday, May 26, 2012

Allah Pemberi Rezeki

Bismillahirrahmanirrahim...

Assalamu'alaikum wbt..

Pagi ini, suria memancar terang. Terdengar burung2 berkicau riang. Langit cerah diselaputi awan. Ayam2 mengais rezeki, kucing2 berlari dan bergurau sesama sendiri, dedaunan pohon melambai2.. Subhanallah, indahnya ciptaanMu ya Allah. Tak terungkap dengan kata2. Mana mungkin kami dapat melihat semua ini, jika bukan kerana KuasaMu yang Maha Agung. Alhamdulillah.. 

Kasih sayang Allah mengatasi segala-galanya. Tapi, kita, hambaNya yang selalu lupa untuk bersyukur. Sungguh, Allah Maha Pengasih. Tak dibiarkan kita hidup melara walaupun hakikatnya, dosa melebihi pahala. 
Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a.: Nabi S.A.W bersabda, Ketika Allah menciptakan makhlukNya, Dia menulis di dalam KitabNya di atas ArasyNya dan Dia menisbahkan kepada diriNya sendiri:  "Sesungguhnya kasihKu melampaui murkaKu"
Kerana kasihNya, Allah sentiasa memberi rezeki utk hambaNya. Seringkali kita mendengar manusia mengeluh.. "Tak ada rezeki la arini.." Sewajarnya kita sedar, rezeki Allah ada di mana2. Mungkin kalimat 'tak ada rezeki' itu harus digantikan dengan kalimat2 lain yang lebih sesuai, seperti "Mungkin rezeki aku kat tempat lain". Ayat seperti itu lebih menunjukkan keyakinan kita akan kuasa Allah sebagai pemberi rezeki.
Dalam sebuah syair disebut, "Maha Suci Allah yang memberi rezeki kepada hambaNya dan seorang pun dia tidak lupa."
Ingin saya berkongsi satu cerita..

Di zaman Nabi Allah Sulaiman, berlaku satu peristiwa, apabila Nabi Allah Sulaiman nampak seekor semut melata di atas batu, lantas Nabi Allah Sulaiman merasa hairan bagaimana semut ini hendak hidup di atas batu yang kering di tengah-tengah padang pasir yang tandus.

Nabi Allah Sulaiman pun bertanya kepada semut: "Wahai semut apakah engkau yakin ada makanan yang cukup untuk kamu."

Semut pun menjawab: "Rezeki di tangan ALLAH, aku percaya rezeki di tangan ALLAH, aku yakin di atas batu kering di padang pasir yang tandus ini ada rezeki untuk ku."

Lantas Nabi Allah Sulaiman pun bertanya: "Wahai semut, berapa banyakkah engkau makan? Apakah yang engkau gemar makan? Dan banyak mana engkau makan dalam sebulan?"

Jawab semut: "Aku makan hanya sekadar sebiji gandum sebulan."

Nabi Allah Sulaiman pun mencadangkan: "Kalau kamu makan hanya sebiji gandum sebulan tak payah kamu melata di atas batu, aku boleh tolong."

Nabi Allah Sulaiman pun mengambil satu bekas, dia angkat semut itu dan dimasukkan ke dalam bekas, kemudian Nabi ambil gandum sebiji, dibubuh dalam bekas dan tutup bekas itu. Kemudian Nabi tinggal semut di dalam bekas dengan sebiji gandum selama satu bulan.

Bila cukup satu bulan Nabi Allah Sulaiman lihat gandum sebiji tadi hanya dimakan setengah sahaja oleh semut, lantas Nabi Allah Sulaiman menemplak semut: "Kamu rupanya berbohong pada aku! Bulan lalu kamu kata kamu makan sebiji gandum sebulan, ini sudah sebulan tapi kamu makan setengah." 

Jawab semut: "Aku tidak berbohong, aku tidak berbohong, kalau aku ada di atas batu aku pasti makan apa pun sehingga banyaknya sama seperti sebiji gandum sebulan, kerana makanan itu aku cari sendiri dan rezeki itu datangnya daripada Allah dan Allah tidak pernah lupa padaku.

Tetapi bila kamu masukkan aku dalam bekas yang tertutup, rezeki aku bergantung pada kamu dan aku tak percaya kepada kamu, sebab itulah aku makan setengah sahaja supaya tahan dua bulan. Aku takut kamu lupa."

***
Nampak? Sedangkan semut yang kecil itu yakin pada kuasa Allah sebagai pemberi rezeki. Mengapa tidak kita? Hamba Allah paling istimewa, dianugerahkan akal untuk menilai dan menghayati. Apakah kamu masih tidak mahu bersyukur?
 
Firman Allah SWT :

Oleh itu, makanlah (wahai orang-orang yang beriman) dari apa yang telah dikurniakan Allah kepada kamu dari benda-benda yang halal lagi baik dan bersyukurlah akan nikmat Allah, jika benar kamu hanya menyembahNya semata-mata. (An-Nahl : 114)

Dan Dialah yang menghidupkan kamu, kemudian Dia mematikan kamu, kemudian Dia menghidupkan kamu semula. Sesungguhnya manusia sangatlah tidak bersyukur. (Al-Hajj : 66)

Bagaimana untuk bersyukur atas rezeki yang Allah SWT berikan? Tepuk dada, tanya iman.


Wallahu a'lam.. :)

Wassalam..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...