Sunday, June 29, 2014

Rahsia Solat Pada Awal Waktu

Bismillahirrahmanirrahim..

Assalamu'alaikum wbt...


Tadi, jalan-jalan di muka buku, terus terjumpa orang share pasal ni. MashaAllah, perkongsian yang sangat menarik.. Jadi, saya copy dan share kat sini untuk bacaan dan rujukan kita bersama. Jom ambil manfaat daripada artikel ni k.. Selamat membaca! :)



LEPAS NI TAK NAK SOLAT LAMBAT LAGI !!!

Setiap peralihan waktu solat sebenarnya menunjukkan perubahan tenaga alam ini yang boleh diukur dan dicerap melalui perubahan warna alam. Fenomena perubahan warna alam adalah sesuatu yang tidak asing bagi mereka yang terlibat dalam bidang fotografi.

Waktu Subuh

Pada waktu Subuh alam berada dalam spektrum warna biru muda yang bersamaan dengan frekuensi tiroid yang mempengaruhi sistem metabolisma tubuh. Jadi warna biru muda atau waktu Subuh mempunyai rahsia berkaitan dengan penawar/rezeki dan komunikasi. Mereka yang kerap tertinggal waktu Subuhnya ataupun terlewat secara berulang-ulang kali, lama kelamaan akan menghadapi masalah komunikasi dan rezeki.
Ini kerana tenaga alam iaitu biru muda tidak dapat diserap oleh tiroid yang mesti berlaku dalam keadaan roh dan jasad bercantum (keserentakan ruang dan masa) – dalam erti kata lain jaga daripada tidur. Di sini juga dapat kita cungkil akan rahsia diperintahkan solat diawal waktu.

Bermulanya saja azan Subuh, tenaga alam pada waktu itu berada pada tahap optimum. Tenaga inilah yang akan diserap oleh tubuh melalui konsep resonan pada waktu rukuk dan sujud. Jadi mereka yang terlewat Subuhnya sebenar sudah mendapat tenaga yang tidak optimum lagi.

Waktu Zuhur

Warna alam seterusnya berubah ke warna hijau (isyraq & dhuha) dan kemudian warna kuning menandakan masuknya waktu Zohor. Spektrum warna pada waktu ini bersamaan dengan frekuensi perut dan hati yang berkaitan dengan sistem penghadaman. Warna kuning ini mempunyai rahsia yang berkaitan dengan keceriaan. Jadi mereka yang selalu ketinggalan atau terlewat Zuhurnya berulang-ulang kali dalam hidupnya akan menghadapi masalah di perut dan hilang sifat cerianya. Orang yang tengah sakit perut ceria tak?

Waktu Asar

Kemudian warna alam akan berubah kepada warna oren, iaitu masuknya waktu Asar di mana spektrum warna pada waktu ini bersamaan dengan frekuensi prostat, uterus, ovari dan testis yang merangkumi sistem reproduktif. Rahsia warna oren ialah kreativiti. Orang yang kerap tertinggal Asar akan hilang daya kreativitinya dan lebih malang lagi kalau di waktu Asar ni jasad dan roh seseorang ini terpisah (tidur la tu ). Dan jangan lupa, tenaga pada waktu Asar ni amat diperlukan oleh organ-organ reproduktif kita. Nak subur? Sila segerakan solat Asar anda!

Waktu Maghrib

Menjelang waktu Maghrib, alam berubah ke warna merah dan di waktu ini kita kerap dinasihatkan oleh orang-orang tua agar tidak berada di luar rumah. Ini kerana spektrum warna pada waktu ini menghampiri frekuensi jin dan iblis (infra-red) dan ini bermakna jin dan iblis pada waktu ini amat bertenaga kerana mereka resonan dengan alam. Mereka yang sedang dalam perjalanan juga seelok-eloknya berhenti dahulu pada waktu ini (solat Maghrib dulu la) kerana banyak interferens (pembelauan) berlaku pada waktu ini yang boleh mengelirukan mata kita. Rahsia waktu Maghrib atau warna merah ialah keyakinan, pada frekuensi otot, saraf dan tulang.

Waktu Isyak

Apabila masuk waktu Isyak, alam berubah ke warna Indigo dan seterusnya memasuki fasa Kegelapan. Waktu Isyak ini menyimpan rahsia ketenteraman dan kedamaian di mana frekuensinya bersamaan dengan sistem kawalan otak. Mereka yang kerap ketinggalan Isyaknya akan selalu berada dalam kegelisahan. Alam sekarang berada dalam Kegelapan dan sebetulnya, inilah waktu tidur dalam Islam. Tidur pada waktu ini dipanggil tidur delta di mana keseluruhan sistem tubuh berada dalam kerehatan.

Selepas tengah malam, alam mula bersinar kembali dengan warna putih, merah jambu dan seterusnya ungu di mana ianya bersamaan dengan frekuensi kelenjar pineal, pituitari, talamus dan hipotalamus. Tubuh sepatutnya bangkit kembali pada waktu ini dan dalam Islam waktu ini dipanggil Qiamullail.

Dah baca dan fahami?

Begitulah secara ringkas perkaitan waktu solat dengan warna alam. Manusia kini sememangnya telah sedar akan kepentingan tenaga alam ini dan inilah faktor adanya bermacam-macam kaedah meditasi yang dicipta seperti taichi, qi-gong dan sebagainya. Semuanya dicipta untuk menyerap tenaga-tenaga alam ke sistem tubuh...

Wallahu a'lam bissawab.

Semoga bermanfaat. Wassalam... 

Friday, May 16, 2014

Kita Semua Adalah Guru

Bismillahirrahmanirrahim..

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh..

Guru, satu gelaran yang satu ketika dulu mampu membuatkan kita kecut perut, namun rasa hormat tetap ada pada mereka yang bergelar guru ini. Guru sememangnya mempunyai ruang lingkup tugas yang cukup luas kerana guru bukan sekadar profession, pangkat atau panggilan untuk seseorang yang mendidik di sekolah, tetapi guru sebenarnya amat rapat dan sinonim dengan kehidupan kita.

Semasa kita kecil, ibu bapalah guru yang terawal mendidik dan memantau tingkah laku kita. Mereka membimbing kita untuk berkata-kata, berjalan, berlari sehingga kesemuanya ini dapat dilakukan degan sendiri dan dari hari ke sehari, sepanjang proses kematangan dan kedewasaan, ramai yang telah menjadi guru kita.

Ada yang memberi nasihat, tunjuk ajar, cara untuk lebih berdikari dan sebagainya. Pengalaman yang dilalui juga seringkali memberikan kita satu teladan dan ilmu, dan pengalaman ini juga menjadi guru kita yang amat berharga.

Setiap kita adalah guru, sama ada guru untuk anak-anak, rakan sepejabat, kawan karib dan sebagainya. Guru bukan sekadar mengajar bagaimana untuk membaca dan mengira, tetapi guru seharusnya menjadi seorang pembimbing, penasihat serta dapat mendewasakan pemikiran pelajarnya. Guru bukan sekadar menyampaikan ilmu, malahan perlu memastikan ilmu yang disampaikan dapat difahami dan diamalkan oleh pelajar.

Tetapi, tanpa guru dan pendidik yang bersifat sabar, tajam pemikirannya serta mempunyai ketahanan mental dan fizikal, uslub ilmu tidak akan dapat difahami sepenuhnya. Hasilnya adalah murid yang hanya tahu menghafal tetapi kurang tajam daya pemikirannya.

Orang yang berilmu tetapi tidak mengamalkan ilmunya umpama keldai membawa barang yang banyak, sedangkan orang yang beramal tanpa ilmu umpama tin yang kosong, kelihatan berisi tetapi tiada satupun isinya dapat memberikan manafaat pada dirinya dan orang lain.

Sebagai seorang muslim, perlulah kita kembali kepada asas Islam, iaitu ilmu dan amal. Ini telah dicontohkan sendiri oleh Rasulullah SAW. Keberkesanan kaedah dan teknik pengajaran Rasulullah SAW memang telah terbukti berjaya. Ketika golongan jahiliyah tercari-cari erti kehidupan serta keruntuhan moral yang melanda mereka, kehadiran Rasulullah SAW telah kembali menyinari kegelapan mereka.

Dari bangsa yang jahil, mereka telah bertukar menjadi bangsa yang disegani sehingga kefahaman Islam dapat disebarkan ke setiap pelosok dunia. Ini jelas menunjukkan islam merupakan agama yang amat mementingkan ilmu dan kerana itulah hukum menuntut ilmu itu adalah wajib dalam Islam.

Baginda SAW mempunyai sikap tidak berputus asa, malahan segala halangan akan menjadikan semangatnya semakin kuat dalam memberikan kefahaman ilmu kepada sahabat yang tidak dapat memahami sesuatu ilmu yang cuba disampaikan. Semangat sebeginilah seharusnya dimiliki oleh setiap guru dalam menghadapi pancaroba pendidikan zaman ini.

Kaedah dan teknik pengajaran Rasulullah SAW ini harus dijadikan elemen utama dalam menerapkan kefahaman ilmu kepada setiap murid kerana Baginda SAW merupakan guru dan pendidik terulung sepanjang zaman yang mempunyai kemahiran yang terbaik dalam proses mentarbiyyah jasmani dan rohani. Pasti hasil didikan dengan kaedah ini akan membuahkan hasil yang dapat merealisasikan harapan agama, negara dan bangsa.

Oleh itu, pastinya Hari Guru bukan sekadar diraikan untuk golongan ini sahaja, tetapi hari guru ini juga boleh disambut dan diraikan oleh setiap mereka yang telah memainkan peranan sebagai seorang guru dan pendidik.

Selamat Hari Guru untuk semua.

"Guru terbaik bagi manusia ialah PENGALAMAN." :)

Wassalam..

Saturday, April 26, 2014

Berpurdah.. Biar Bernilai Solehah..

Bismillahirrahmanirrahim...

Assalamu'alaikum wbt..

Hurm.. masih tercari2 pengisian utk perkongsian kali ini. Minda ketandusan idea, namun perlu juga memaksa jari ini menari-nari di papan kekunci.. bimbang terlepas waktu untuk merealisasikan hasrat berkongsi sesuatu di blog ini, sekurang2nya SATU entri untuk SATU bulan. Oleh itu, kesempatan ini perlu dihargai. Kalau tidak.. entah bila agaknya hadirnya waktu untuk saya menyinggah di sini. Selalu terbiar.. Selalu terabai tak terjaga. Huhu..

Mungkin waktu ini boleh saya manfaatkan untuk berkongsi satu tajuk yang sudah lama menjadi isu dalam kalangan pengguna laman sosial. Tentang sehelai kain kecil di wajah bernama PURDAH @ juga dikenali sebagai NIQAB.

Nama kain kecil ini sudah tidak asing lagi. Seringkali dijadikan sebagai pengukur solehahnya seorang Muslimah. Muslimah yang berpurdah atau berniqab sering dipandang tinggi.. dianggap sebagai seorang wanita hebat, penuh ilmu di dada, seorang 'ustazah' yang mampu menjawab segala persoalan agama yang diutarakan, seorang yang sempurna, seorang yang seolah2 tidak berdosa, juga seorang yang imannya sangat terpelihara.

Namun, benarkah segala persepsi itu? Jawapannya, tidak.. Tidak sama sekali. Mengapa? Purdah tidak dipakai oleh Muslimah selepas menepati semua ciri di atas. Seseorang itu tidak solehah hanya kerana sehelai purdah. Kerana nilai solehah bukan ditentukan oleh pakaian yang dipakai, tetapi hati. Namun begitu, pakailah pakaian yang bernilai solehah.. sebagai salah satu cara untuk men'solehah'kan diri. Purdah takkan menjadikan seseorang Muslimah bebas daripada dosa, kerana tiada manusia di dunia ini yang akan terlepas daripada melakukan dosa. Kita manusia biasa, bukan Nabi.. Kita tidak maksum, tidak sempurna. Sesekali tersungkur jua dalam perjalanan menuju Ilahi.

Purdah dipakai kerana mereka ingin melindungi diri daripada fitnah. Tak kira sama ada mereka terlalu cantik atau sebaliknya. Namun, dek kerana wanita adalah fitnah terbesar di dunia ini, maka purdah itu dapat melindungi diri mereka daripada fitnah, dengan izin Allah.

Tetapi.. alangkah sayangnya.. kini purdah tidak mampu sepenuhnya menjadi medium penutup fitnah. Malah, purdah itu jugalah yang membuka pintu fitnah akibat segelintir niqabis yang seolah2 meremehkan nilai purdah itu.

Perlukah setiap aksi seorang niqabis dikongsi di media sosial?
Perlukah kamera di fokuskan pada mata yg dihiasi make up dan contact lens pelbagai warna?
Perlukah seorang niqabis memandang rendah pada Muslimah yang tidak sepertinya?
Perlukah istilah couple Islamik dan cinta ana-enta wujud di kalangan mereka?
Perlukah ditunjukkan kepada sekalian alam betapa 'solehah'nya seorang niqabis?

Bukankah wanita solehah itu tidak memandang dan tidak dipandang...

Duhai niqabis yang melakukan perkara yang tidak perlu di atas, tahukah kalian.. kerana nila setitik, rosak susu sebelanga? Kerana kalian.. habis semua niqabis mendapat tempiasnya. Niqab kini semakin hari semakin dipandang rendah. Muslimah yang ikhlas memakai purdah / niqab kerana Allah dikatakan sebagai Muslimah yang hanya mengikut trend fesyen terkini. Apatah lagi bila segelintir peniaga memberi nafas baru kepada purdah atau niqab itu sehingga menimbulkan unsur tabarruj. Mana hilangnya nilai solehah pada sehelai kain itu?

Segelintir niqabis cepat melenting tatkala ditegur untuk kebaikan. Malah sering melempar soalan, "Mengapa niqabis yang selalu menjadi perhatian dan isu untuk dibincangkan? Bukankah lebih baik menegur mereka yang masih belum tahu menutup aurat dengan sempurna?" Ukhti2 yang disayangi, rasanya kalian sudah tahu.. betapa banyaknya teguran ke atas mereka yang mengabaikan penjagaan aurat. Namun, andai mereka yang kamu lihat 'tidak solehah' itu sukar menerima teguran, adakah kalian yang selalu mengiktiraf diri 'solehah' itu mahu menjadi seperti mereka? Lantang menasihati tetapi tidak mahu dinasihati. Mahu?

Ayuh, tajdid semula niat di hati. Mengapa niqab jadi pakaian kalian? Adakah sekadar mahu tunjukkan kepada dunia bahawa "Akulah si Solehah. Pandanglah aku, pujilah aku" ? Atau mahu tanam dalam hati dalam2 bahawa "Sesungguhnya aku berpakaian begini hanya kerana Allah.." ? Pilihan di tangan kalian. Pilihlah yang terbaik.. Jangan jadikan diri kalian sebagai asbab niqabis lain terus-terusan jadi bahan perbualan yang tidak enak di halwa telinga. Hormati niqabis lain yang benar2 menjaga. Pelihara imej dan nilai purdah itu sebaiknya.

Berpurdah.. Biar bernilai solehah.. Ya, mungkin kita indah di mata manusia. Namun jika begitu akhlak dan peribadi sebenarnya, indahkah kita di mata ALLAH?


Selamat bermuhasabah.. Wallahu a'lam. Wassalam..

Tuesday, March 11, 2014

Kehilanganmu.. MH370.. T_T


Bismillahirrahmanirrahim..

Assalamu’alaikum wbt..

Hari ini, jari kembali brdetak di papan kekunci. Kali ini, apa yang ingin dikongsi? Bukan.. bukan tentang diri ini. Tetapi tentang perkara yang sedang difikirkan seisi dunia kala ini.

MH370.. Saya rasa semua tahu apakah makna di sebalik huruf dan nombor itu. Pesawat milik MAS yang sedang terbang dengan membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal dari KL ke Beijing, tiba-tiba hilang daripada pandangan, terputus hubungan tanpa dapat dikesan. 

Meletup? Jika ya, mana serpihannya?
Terhempas? Kalau benar, di mana tempatnya?
Terapung di udara? Tenggelam di lautan? Tiada siapa mampu memberi jawapan pasti..

***

MH370..

Kamu telah hilang..
Dunia sedang tercari-cari, dunia sedang tertanya-tanya.
Di mana kamu sebenarnya wahai MH370?

Pelbagai spekulasi timbul daripada kehilangan kamu. Ada juga insan yang tidak sensitif, menjadikan isu kehilanganmu sebagai satu bahan lawak. Ultraman yang sorok, alien yang bawa lari, penumpangmu berseronok bersama orang bunian. Allahu Rabbi.. nyawa menjadi bahan gurauan? Apakah akan keluar fikiran-fikiran sebegitu jika keluarga mereka yang berada di situ? 

MH370..

Tapi kamu juga perlu tahu.. terlalu ramai yang prihatin tentangmu, terlalu ramai yang mencarimu, terlalu ramai yang mengharap kepulanganmu, juga terlalu ramai yang sedang mendoakanmu. Di seluruh negara, solat hajat giat dilaksanakan. Bukan hanya Muslim, malah agama-agama lain juga.. dalam kepelbagaian kepercayaan dan agama, masing2 mendoakan kamu muncul semula di depan mata. 

MH370..

Sampai bila kamu mahu hilang? Tidakkah kamu mahu pulang?
Hilangnya kamu membuatkan..
Si isteri/suami menangisi kehilangan pasangannya sehidup semati,
Si ibu ayah merintih hiba mengharap si anak pulang ke pangkuan,
Si anak meraung mencari wajah orang tua yang tiada di depan mata,
Si sahabat menanti sahabatnya kembali bergelak tawa tangis bersama,
Di sini.. Di sana.. Semua mengharap kamu kembali..

MH370..

Tidakkah kamu rindu untuk untuk terbang lagi?
Tidakkah kamu rindu pada landasanmu?
Pulanglah.. Pulangkan isi perutmu pada kami..
Kami menanti..

***
Andai sahaja pesawat mampu mendengar dan mempunyai perasaan, andai dapat disampaikan segala isi hati padanya, pasti itu antara bicara yang mungkin terzahir daripada saya padanya. Buat memujuk dia kembali dan mengembalikan insan di dalamnya kepada yang sedang menanti.

Pesawat tercanggih, juruterbang terlatih.. namun tak siapa mampu melawan qadha dan qadar ALLAH yang Maha Esa. Tak siapa menduga ini akan terjadi. Namun, percayalah ada hikmah di sebalik apa yang telah menjadi rencana Ilahi.

Yang pasti, seluruh dunia sedang bersatu dalam DOA setelah kehilangan pesawat ini..

Ya ALLAH..

Jika benar mereka di langit, turunkanlah mereka dari sana..
Jika benar mereka di dasar lautan, timbulkanlah mereka dari sana..
Jika benar mereka di daratan, tunjukkanlah kami di mana tempatnya..
Jika benar mereka ‘sudah kembali’ padaMU, perlihatkan mereka kepada kami buat kali terakhir..

Dan..
Jika mereka sebenarnya ada di hadapan mata namun masih KAU hijabkan daripada pandangan manusia, Kami mohon ya ALLAH, bukakanlah hijab itu.. tenangkanlah hati2 kami yang gundah, legakanlah jiwa2  kami yang resah, gembirakan kami dengan keajaiban kuasaMU yang tiada tandingannya.

Ya ALLAH..
Hanya Engkau yang berkuasa ke atas segala sesuatu. Sesungguhnya KAU Maha Mengetahui segala sesuatu yang tidak kami ketahui.. Bantulah kami dalam usaha pencarian ini. Permudahkanlah segalanya ya ALLAH.. Wahai Tuhan yang Maha Pemurah lagi Mengasihani..

Aamiin ya Rabbal ‘Alamiin..
***

Masih ternanti kepulangannya. Moga ada keajaiban yang berlaku di sebalik pelbagai andaian yang timbul. Mudah-mudahan ALLAH selamatkan setiap satu nyawa yang bernafas di dalam pesawat itu.

Dalam kita menanti penuh debaran kepada pengakhiran apa sebenar terjadi dengan pesawat ini, kita hendaklah bersabar, bertawakkal, redha, dan bertakwa kepada ALLAH. Sewajarnya insiden ini dapat membantu kita insaf dan kembali dekat dengan ALLAH yang Maha Khaliq. ALLAH Lebih Arif dan Maha Mengetahui segala apa yang berlaku di langit dan bumi serta di antara keduanya!

Andai ini satu peringatan buat kita yang selalu alpa, maka ambillah ibrah daripada kejadian yang sedang berlaku ini. Jika sains tak mampu memberi jawapan, serahkan kepada Pencipta Sains tersebut (ALLAH). Apapun yang berlaku, kembalilah kepada pegangan agama sebagai panduan hidup kita. InshaALLAH, ada jawapan bagi setiap persoalan yang menerjah di minda..

La hawla wala quwwata illa billah.
Wallahu a'lam bissawab.

Wassalam.

Friday, February 14, 2014

Cinta Itu..

Bismillahirrahmanirrahim...

Assalamu'alaikum wbt..

Hai, bertemu lagi kita di sini. Alhamdulillah.. ^_^

Hari ini, betapa ramai yang menghiasi dinding muka buku mereka dengan ucapan Happy Valentine's Day. Namun, tak kurang juga mereka yang mengingatkan kita bahawa tiada hari Valentine dalam Islam. Alhamdulillah.. masih ramai yang meletakkan agama dalam hatinya, mengutamakan agama dalam cinta dan mengingatkan orang lain tentang apa yang dianjurkan oleh agama kita.

Cinta.. mengapa menunggu hari tertentu untuk mengungkap cinta? Jika benar cinta.. ia bukan jatuh pada hari itu. Cinta adalah perasaan anugerah Allah yang sudah pasti ada dalam hati setiap manusia. Cinta itu sentiasa ada. Bukan untuk sehari.

Tolong.. jangan sempitkan fikiran kita dengan perasaan cinta. Apa yang kalian fikirkan ketika saya berbicara tentang cinta di perenggan atas tadi? Bukankah cinta itu luas pengertiannnya. Cinta pada manusia, haiwan, alam, segala makhluk Allah dan cinta yang paling utama ialah cinta pada Pencipta sekalian alam yang kita cintai, iaitu ALLAH SWT.

Namun manusia.. tak tahu itu fitrah atau apa, seringkali mengutamakan cinta kepada dunia melebihi cinta kepada Pencipta Dunia. Juga melebih-lebihkan cinta kepada kehidupan duniawi berbanding ukhrawi. Apakah itu cinta? Atau nafsu?

Mari kita lihat pengertian cinta dalam Islam.

Kata cinta dalam Al Qur’an disebut Hubb (mahabbah) dan Wudda (mawaddah), keduanya memiliki erti yang sama yaitu menyukai, senang, menyayangi. Sebagaimana dalam surah Ali Imran (14) :
“Dijadikan indah dalam pandangan manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini, iaitu: wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia dan di sisi Allah lah tempat kembali yang baik (syurga).”
Dalam ayat ini Hubb adalah suatu naluri yang dimiliki setiap manusia tanpa kecuali baik manusia beriman mahupun manusia durjana.

Dalam Al- Quran, cinta memiliki 8 jenis iaitu :

1. Cinta Mawaddah

Cinta mengebu-gebu, membara dan menyayangi. Orang yang memiliki cinta jenis Mawaddah, mahu selalu berduaan, enggan berpisah dan selalu ingin memuaskan dahaga cintanya. Ia ingin memonopoli cintanya, dan hampir tak biasa berfikiran lain.

2. Cinta Rahmah

Cinta yang penuh kasih sayang, lembut, sanggup berkorban, dan melindungi. Orang yang memiliki cinta jenis Rahmah ini lebih memerhatikan orang yang dicintainya berbanding diri sendiri. Baginya yang penting adalah kebahagiaan sang kekasih meskipun harus menderita. Ia sangat maklum kekurangan kekasihnya dan selalu memaafkan kesalahan kekasihnya. Termasuk dalam cinta Rahmah adalah cinta antara orang yang bertalian darah, terutama cinta orang tua terhadap anaknya, dan sebaliknya. Dari itu maka dalam Al- Quran , kerabat disebut al arham, dzawi al arham, yakni orang-orang yang memiliki hubungan kasih sayang secara fitrah, yang berasal dari garba kasih sayang ibu, disebut rahim (dari kata rahmah). Sejak janin seorang anak sudah diliputi oleh suasana psikologi kasih sayang dalam satu ruang yang disebut rahim. Cinta suami isteri juga termasuk dalam cinta rahmah.

3. Cinta Mail

Cinta yang untuk sementara sangat membara, sehingga tidak mempedulikan hal-hal lain, cenderung kurang diperhatikan. Cinta jenis Mail ini dalam al Qur’an disebut dalam konteks orang poligami di mana ketika sedang jatuh cinta kepada yang muda (an tamilu kulla al mail), cenderung mengabaikan yang lama.

4. Cinta Syaghaf. 

Cinta yang sangat mendalam, alami, kerinduan dan memabukkan. Orang yang diserang cinta jenis syaghaf (qad syaghafaha hubba) biasanya seperti orang gila, lupa diri dan hampir-hampir tidak menyedari apa yang dilakukan. Al- Quran menggunakan terma Syaghaf ketika mengisahkan bagaimana cinta Zulaikha, isteri pembesar Mesir kepada Nabi Yusuf.

5. Cinta Ra’fah

Rasa kasih yang dalam hingga mengalahkan norma-norma kebenaran, misalnya kasihan kepada anak sehingga tidak tegas membangunkannya untuk solat, membelanya meskipun salah. Al- Quran menyebut terma ini ketika mengingatkan agar janganlah cinta Ra`fah menyebabkan orang tidak menegakkan hukum Allah, dalam hal ini khusus hukuman bagi penzina (Q/24:2).
“Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebat; dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap keduanya dalam menjalankan hukum ugama Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat; dan hendaklah disaksikan hukuman siksa yang dikenakan kepada mereka itu oleh sekumpulan dari orang-orang yang beriman”.
6. Cinta Shobwah

Cinta buta, cinta yang mendorong perilaku penyimpang tanpa sanggup mengelak. Al- Quran menyebut terma ni ketika mengisahkan bagaimana Nabi Yusuf berdoa agar dipisahkan dengan Zulaikha yang setiap hari menggodanya (mohon dimasukkan penjara saja), sebab jika tidak, lama kelamaan Yusuf tergelincir juga dalam perbuatan hina, wa illa tashrif `anni kaidahunna ashbu ilaihinna wa akun min al jahilin (Q/12:33).
Yusuf (merayu kehadrat Allah Taala dengan) berkata: “Wahai Tuhanku! Aku lebih suka kepada penjara dari apa yang perempuan-perempuan itu ajak aku kepadanya. Dan jika Engkau tidak menjauhkan daripadaku tipu daya mereka, mungkin aku akan cenderung kepada mereka, dan aku menjadi dari orang-orang yang tidak mengamalkan ilmunya”.
7. Cinta Syauq (rindu)

Terma ini bukan dari Al -Quran tetapi dari hadis yang menafsirkan Al-Quran. Dalam surah Al `Ankabut ayat 5 dikatakan bahawa barangsiapa rindu berjumpa Allah pasti waktunya akan tiba. Kalimat kerinduan ini kemudian diungkapkan dalam doa ma’tsur dari hadis riwayat Ahmad; Wa as’aluka ladzzata an nadzori ila wajhika wa as syauqa ila liqa’ika, aku mohon dapat merasakan nikmatnya memandang wajah Mu dan nikmatnya kerinduan untuk berjumpa dengan Mu.

Menurut Ibn al Qayyim al Jauzi dalam kitab Raudlat al Muhibbin wa Nuzhat al Musytaqin, Syauq (rindu) adalah pengembaraan hati kepada sang kekasih (safar al qalb ila al mahbub), dan kobaran cinta yang apinya berada di dalam hati sang pencinta, hurqat al mahabbah wa iltihab naruha fi qalb al muhibbi.

8. Cinta Kulfah

Perasaan cinta yang disertai kesedaran mendidik kepada hal-hal yang positif walaupun sulit, seperti orang tua yang menyuruh anaknya menyapu, membersihkan kamar sendiri, meski ada pembantu. Jenis cinta ini disebut A-l Qur’an ketika menyatakan bahwa Allah tidak membebani seseorang kecuali sesuai dengan kemampuannya, La yukallifullah nafsan illa wus`aha (Q/2:286).

(Rujukan : kitab Raudlat al Muhibbin wa Nuzhat al Musytaqin dan taksir Al-Quran.)

Begitu luas makna cinta bukan? Sebahagian entri ini saya petik daripada blog lain. Klik sini. Jadi, jom baca dan hayati perkongsian tersebut. Moga ada manfaatnya. Moga kita semakin faham apa erti cinta menurut pandangan Islam. Selamat membaca. Sebelum mengundur diri, saya sertakan hadith ini sebagai bingkisan terakhir.

Rasulullah SAW bersabda:

"Tiga golongan yang akan merasakan manisnya iman iaitu: golongan yang mencintai Allah dan Rasul-Nya lebih dari apapun, golongan yang tidak mencintai orang lain melainkan hanya kerana Allah, dan golongan yang tidak kembali kepada kekufuran sebagaimana ia tidak ingin dilemparkan ke dalam api neraka."

(HR. Al Bukhari dan Muslim, At-Tirmidzi & An-Nasa’i)

Wallahu a'lam. Ma'assalamah wa ilalliqa'.

Wassalam..
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...